Rabu, 30 November 2011

PAS Bergerak Seiring Dengan Politik Moden


Oleh : ibn_bacoks

AYER HITAM – Tuan Guru Dato’ Seri Hj. Abdul Hadi Awang, Presiden PAS menjelaskan bahawa dalam amalan Politik moden hari ini PAS mengikuti perkembangannya kerana Islam boleh menghadapi cabaran sepanjang zaman.

Oleh yang demikian, PAS katanya telah mengambil keputusan untuk menyertai pilihan raya bagi tujuan memartabatkan Islam.

Bagaimanapun, Tuan guru kesal dengan tanggapan serong sesetengah pihak tentang penglibatan parti itu dalam pilihan raya kerana umum masih belum mengetahuinya secara mendalam.

Jelas beliau lagi, apabila Eropah mengalami perubahan dari Greek kepada moden, maka para Orientalis mengkaji Islam dengan membawakan kitab-kitab daripada ulamak-ulamak Islam bagi diterjemahkan kepada bahasa eropah.

Beliau mendakwa, masyarakat Eropah tidak mengetahui secara jelas demokrasi cara mereka sehingga berlakunya revolusi menyebabkan ramai pemimpinnya digulingkan akibat rasa tidak puas hati.

Setelah kajian dibuat, kata Presiden lagi maka Barat telah menjumpai dan kenal demokrasi cara Islam melalui sistem ‘syura’ yang diamalkan Nabi Muhammad saw sehingga ke zaman pemerintahan Khalifah yang lalu.

Namun katanya, kesilapan pengamalan demokrasi Barat adalah dalam soal dosa dan pahala iaitu matlamat menghalalkan cara.

Sehubungan itu, beliau menyelar pengamal demokrasi moden terutama para pemimpin politik negara ini yang tidak mengambil perhitungan akhirat yang disifatkannya melakukan kesalahan politik menyamai dengan kesalahan ibadah yang lain.

”Politik yang tak ada perhitungan dosa dan pahala, boleh buat apa sahaja. (contohnya) Lepas tunai haji boleh minum arak,” ujarnya lagi.

Sebaliknya PAS mementingkan soal itu termasuklah cara berpolitik. Hal ini kerana parti itu ingin mengembalikannya seperti yang diajar oleh Baginda saw.

”Kita pilih pilihan raya asalnya demokrasi pemilihan daripada Islam. (memang) amalan pilihan raya dari Barat.

”Bukan semua ditolak. Seperti ibadah guna microfon untuk laungkan azan di masjid,” terangnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup pada majlis Karnival Sambutan PAS Ke-60 di Dewan Marwan al-Hakam, Dataran Hj. Mardi, dekat sini, ahad lepas.

Hadir sama, Tn. Hj. Mohammad Sabu, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Dr. Hj. Mahfodz Mohammed, Pesuruh jaya PAS Johor, Sdr. Mazlan Aliman, AJK PAS Pusat.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa PAS tidak berubah dari sudut dasar perjuangannya walapun menang atau kalah dalam pilihan raya disamping pernah menyertai kerajaan campuran dengan Barisan Nasional, Semangat 46 termasuklah yang terbaru bersama Pakatan Rakyat.

Sebaliknya PAS dilihat mempunyai sistem pemantauannya tersendiri dengan dikawal selia melalui Majlis Syura Ulamaknya iaitu mengkaji, berbincang, berbahas dan membuat keputusan termasuklah dalam soal kerjasama politik dengan bukan Islam.

”Kita berjaya tubuhkan kerajaan bersih dan berakhlak. Tahun 1978 jatuh di Kelantan. Tahun 1961 jatuh di Terengganu bukan kerana kita amalkan kezaliman dan rasuah. Akan tetapi kerana (musuh) amalkan penipuan pilihan raya dengan cara yang tak bermoral.

”Zaman mutakhir ini, kita berjaya memecahkan tembok pemisah dengan buka Islam. Kita buka pintu (buka keahlian), ramai yang sertai DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS).

”Orang tak faham politik Islam. Inilah politik,” terang beliau lagi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan