Jumaat, 25 November 2011

UNIT AMAL Iringi Konvoi Berbasikal Fixie 2011


Oleh : ibn_bacoks

PONTIAN - Bagi tujuan memasyarakatkan PAS, Jabatan Amal dibawah Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian telah memainkan peranan itu dengan bersama-sama mengiringi para peserta program Konvoi Kemanusiaan Berbasikal Fixie 2011.

Menurut Naib Ketuanya, Ustaz Muhammad Nazar berkata program tersebut merupakan antara aktiviti yang telah disertai oleh Jabatan itu dengan bertindak sebagai pengiring peserta.

Menurut Nazar lagi, tujuan pasukan Amal Pontian menyertainya adalah disebabkan rasa kebertanggung-jawaban bersama bagi menyedarkan masyarakat akan bahaya dadah disamping membantu penganjur melicinkan lagi perjalanan program.

''Saya difahamkan program ini anjuran bersama Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Pontian dan beberapa agensi kerajaan terbabit bagi mengisi masa para remaja dengan aktiviti berfaedah.

''Disamping itu, kita mahu menyokong usaha mana-mana pihak dalam kempen memerangi dadah hingga ke akar umbi'' ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Mtd Pas Benut sejurus majlis penyampaian hadiah kepada peserta program di Dataran Pak Wan, Benut, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Puan Faridah Sulaiman, Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pontian, Tuan A. Kader Abu Bakar, Pengarah Urusan Syarikat Nur Qamar and Son Enterprise.

Sementara itu, Penyelaras Program, Cikgu Ibrahim Abdul Rahman berkata selain bertujuan mendekatkan diri dengan aktiviti kebajikan yang dianjurkan NGO, ia juga boleh memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa aktiviti kebajikan, kesukanan dan kesukarelawan adalah satu kaedah yang perlu diberikan sokongan dalam menangani masalah sosial.

''Kami juga ingin tekankan kepada para peserta bahawa mereka juga disaran menjauhi daripada melakukan gejala anti sosial disamping bersama menyampaikan bantuan kepada golongan yang dhaif'' ujarnya lagi.

Tinjauan mendapati, peserta konvoi telah dilepaskan pada jam 8.00 pagi yang bermula dari Taman Megah Pontian dan berhenti sebentar di beberapa lokasi terpilih seperti Pekan Ayer Baloi, Pekan Sanglang dan Pekan Benut bagi tujuan edaran risalah dan misi kemanusiaan kemudian berakhir di Kampung Parit Kerimun Benut.

Kira-kira 60 orang peserta yang menyertai konvoi itu adalah terdiri daripada murid lepasan UPSR dan PMR di beberapa buah sekolah di daerah ini.

Program anjuran JKPD dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pontian itu turut disertai agensi kerajaan seperti Pusat Kesihatan Parit Ismail Benut, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pontian dan Angkatan Relawan Malaysia (RELA) Benut serta penaja daripada Syarikat Nur Qamar And Son Enterprise.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan