Rabu, 9 November 2011

Pemimpin ADIL Akan Diselamatkan Di Mahsyar - Hassan Din


PONTIAN - Imam atau pemimpin yang bersikap adil diberi jaminan perlindungan oleh Allah swt apabila dibangkitkan di padang Mahsyar kelak, kata Datuk Hj. Abu Hassan Din al-Hafiz, Bekas Penasihat Agama di Istana Negara.

Menurut beliau lagi pengertian adil itu perlu diperluaskan lagi yang bukan hanya kepada kelompok pemimpin atasan malah ia juga melibatkan peranan manusia dalam memimpin institusi kekeluargaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa ada enam lagi golongan lain yang turut diberi keistimewaan oleh Allah swt di akhirat nanti.

''Ada tujuh golongan yang Allah swt selamatkan di Mahsyar. Satu, Imam yang adil, dua, pemuda yang asyik beribadah kepada Allah. Ketiga, lelaki yang hatinya terpikat dengan masjid. Keempat, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah. Kelima, lelaki bila bersunyian ingat Tuhan, mengalir air matanya. Keenam, lelaki bila diajak buat maksiat oleh perempuan, dia kata saya takutkan Allah, ketujuh, bersedekah.'' jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramahnya yang tajuk 'Menuju Titian Sirotalmustaqim' di Masjid Jamek Temenggong Ibrahim Benut dekat sini, baru-baru ini.

Beliau menambah lagi dengan katanya bersedekah selain menjadi 'perlindungan' kepada seseorang, ia juga dilihat memudahkan urusan perjalanan ke Mahsyar.

Hal ini kerana katanya banyak bentuk perjalanan yang akan dihadapi seseorang itu adalah dengan bersandarkan amalan masing-masing.

''Ada yang berjalan laju seperti Burak, ada yang seperti angin, ada yang seperti burung, ada yang seperti lelaki hebat, ada yang seratus tahun baru sampai dan ada yang seribu tahun baru sampai.

''Ada juga dalil mengatakan barang siapa yang banyak sedekah, mudahkan jalan ke Mahsyar.

''Bersedekah kena rahsiakan. Hingga tangan kiri tak tahu tangan kanan yang hulur. Nak bagi derma, janganlah ini nak derma bagi cek dua orang yang usung!'' katanya dengan nada sinikal.

Bagaimanapun katanya lagi masih ada golongan yang berpeluang mendapat bantuan Nabi Muhammad saw setelah menghadapi kesulitan yang amat sangat di akhirat nanti.

''Golongan yang mendapat syafaat Nabi Muhammad saw pula. Pertama, umat Nabi Muhammad saw sendiri. Kedua, dosa yang tak banyak dan ketiga masa hidup dengan memperbanyakkan selawat.'' ujarnya lagi.

Hadir sama, Sohibus Samahah, Sheikh Ustaz Mohd. Fauzi Bachok, Tuan Kadhi Daerah Pontian.

www.ibn75.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan