Sabtu, 26 November 2011

'KELAINAN' Teserlah Pada Malam Pembukaan Karnival Sambutan PAS Ke - 60 Tahun Negeri JOHOR



Oleh : ibn_bacoks

AYER HITAM - Kelainan program PAS sejak akhir-akhir ini nampak begitu terserlah termasuklah pada Majlis Karnival Sambutan PAS Ke - 60 Tahun yang diadakan di Dewan Marwan al-Hakam, Dataran Hj. Mardi, Ayer Hitam, dekat sini, malam tadi.

Kemeriahan pada program yang menapak tepat jam 9.00 malam itu, dipanggil 'Warong Kopi O Pentas Pemuda' dimulakan dengan persembahan kumpulan Alternatif Band Club (ABC) dengan membawakan beberapa buah lagu antaranya nyanyian penyanyi Amar dan kumpulan Nasyid Saujana dengan lagunya 'Keluarga Bahagia'.

Difahamkan, kumpulan ini yang berada di bawah Jabatan Amal Johor itu, ditubuhkan rentetan daripada isu serangan Amerika Syarikat ke atas Afghanistan sedikit masa lalu setelah mengadakan satu konsert yang diberi nama 'Untukmu Palestin'.

Menurut penyanyi solonya, sdr. Mohd. Nazri, kumpulan ini dianggotai seramai enam orang dengan diketuai sdr. Abas Suboh telah banyak mengadakan persembahan di pentas PAS.

''Kumpulan ini banyak buat persembahan seperti di Mersing, Parit Sulong dan Yong Peng. Kami turut mempunyai sebuah studio sebagai latihan dibuat secara mingguan.

''Sebelum ditubuhkan, kami telah mendapat nasihat daripada Dewan Ulamak negeri Johor.Hasil pertemuan itu, persembahan boleh diteruskan selagi tidak melanggar syarak'' ujarnya lagi ketika ditemu bual oleh wartawan Mtd Pas Benut sejurus selepas melakukan persembahan.

Menyusul kemudian, pasukan Team Tomoi Pulai pula mengambil alih gelanggang. Kumpulan yang julung kali membuat persembahan itu mempunyai 4 orang anggota terlatih dengan bimbingan daripada juru latihnya iaitu Pak Drahim cukup tangkas beraksi seolah seperti juara Tomoi dalam filem aksi Thailand.

Teruja dengan persembahan itu membuatkan para hadirin tidak berganjak dari kedudukan masing-masing sehinggalah seniman Amni Jagat naik ke pentas utama untuk mendeklamasikan Sebuah sajak.

Amni, sastrawan muda, anak didik Dinsman, diberi peluang beraksi dengan menampilkan judul sajaknya iaitu 'Ranjau 6 Dekat' itu ternyata tidak mengecewakan hadirin kerana penyampaiannya yang cukup menghiburkan dan menyentuh jiwa.

Apa kurangnya pula dengan bakat yang dipamerkan oleh sdr. Khairul Faizi Ahmad Kamil, Setiausaha Dewan Pemuda Malaysia. Beliau dengan penampilan yang segak telah menghadiahkan sesuatu pada malam tadi dengan menyampaikan sebuah lagu daripada nyanyian Anuar Zain.

Orang kata, PAS cukup sinonim dengan majlis ilmu. Pendek kata, meskipun perjalanan majlisnya santai, namun para hadirin tetap dibekalkan dengan santapan rohani. Ini dapat dilihat, seusai sahaja penyempurnaan majlis perasmian oleh Dato' Dr. Mahfodz Muhammad, Pesuruh jaya PAS negeri Johor, acara forum yang bertajuk 'Melangkah Ke Putrajaya' pula menyusul.

Slot itu telah menampilkan beberapa tokoh besar seperti YB Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS, Sdr. Badrul Hisham Shaharin (Cikgu Bard), Pengerusi Solidariti Anak Malaysia (SAMM), Sdr. Khairul Faizi Ahmad Kamil, Mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor dan sdr. Suhaizan Kaiat, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Johor dengan mengupas initipati tajuk sebagai dorongan dan harapan menjuarai hati rakyat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat amat layak menjadi pemerintah buat mereka kelak.

Sementara itu, majlis terhenti seketika bagi memberi laluan kepada sdr. Suhaizan Kaiat berceloteh dengan mirip sebuah sajak yang diberi judul 'PAS Johor, Dulu Dan Sekarang' buat bekalan dan azimat kepada para hadirin yang hadir.

Majlis yang berakhir jam 12.00 malam yang dihadiri daripada pelbagai lapisan peringkat umur dan jantina, sekali lagi menyaksikan persembahan terakhir daripada Band ABC bagi menutup tirai majlis pada malam tadi.

Sesungguhnya, malam pertama bagi Karnival Sambutan Ke - 60 Tahun PAS disifatkan berjaya mempamerkan kelainan disamping ia merupakan nostalgia yang tidak mampu ingin dilupakan buat para pengunjung kerana PAS sudah jauh lebih matang dan terbuka sesuai dengan usianya yang menjangkau ke 60 tahun. Teruskan Perjuangan. Allahu Akbar !

Tiada ulasan:

Catat Ulasan