Sabtu, 5 November 2011

Sukan PASTI Tarik Kehadiran Ramai


PONTIAN - Majlis Sukaneka Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) Peringkat Kawasan Pontian berjaya menarik pengunjung daripada kalangan lapisan masyarakat.

Program Tahunan Dewan Pemuda PAS Pontian itu telah berjaya diadakan dengan menarik penglibatan ibu bapa, guru, murid dan masyarakat menjadikan PASTI setanding dengan institusi pendidikan pra sekolah yang lain.

Menurut ketuanya, Ustaz Faizul Hakim Ahmad program seumpama ini dianjurkan bagi melihat potensi murid yang mempunyai kepelbagaian bakat supaya mereka mempunyai pengalaman tersendiri bila dewasa kelak.

Tambahan pula ia merupakan aktiviti kokurikulum dan membuang persepsi yang mengatakan PASTI hanya mementingkan pengajaran di bilik darjah semata-mata.

''Anak-anak kita ramai yang berbakat. Mengapa tidak bakat itu dipamerkan pula di luar bilik darjah'' jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada perasmian program Sukaneka PASTI Kawasan Pontian di perkarangan Markas PAS Kawasan Pontian, Kampung Api-api, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau menambah dengan katanya program sehari itu membuka penyertaan kepada 7 buah PASTI di seluruh Pontian dan daripada kalangan ibu bapa masing-masing.

Pelbagai acara menarik telah dipertandingkan termasuklah penyertaan daripada masyarakat seperti anyaman ketupat, raut lidi, bowling kelapa, kelim ketupat, mewarna keluarga dan lain-lain lagi.

''Kita tak sangka penyertaan dikalangan orang dewasa begitu memberangsangkan seperti acara pancing botol. Kita jangka mungkin tiada sambutan. Tapi lain pula jadinya'' ujarnya lagi.

Pada majlis yang sama seramai 14 orang guru dengan dibantu 10 orang anggota Jabatan Amal Pontian bertungkus lumus menjayakan program itu.

Disamping itu, kaunter semakan daftar pemilih turut dibuka bagi memberi peluang kepada orang ramai menyemak kedudukan tempat mengundi masing-masing.

Terdahulu sesi penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Dr. Hj. Mumazaini Misri, bakal calon PAS Dun Pulai Sebatang merangkap Timbalan Yang Dipertua PAS Pontian.

Hadir sama Hj. Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Kawasan, Sdr. Amin Sanusi, Pengerusi PASTI Pontian, Cg. Kalthom, Ketua Majlis Guru PASTI (MGP) Pontian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan