Khamis, 14 Mei 2009

KRONOLOGI POLITIK PERAK DARI 8 MAC 2008

BERIKUT adalah kronologi politik di Perak sejak pilihan raya umum ke-12, 8 Mac tahun lalu sehingga hari ini:

9 Mac 2008: Gabungan parti DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 31 daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) memenangi 28 kerusi pada pilihan raya umum ke-12.

17 Mac 2008: ADUN kawasan Pasir Panjang dari Pas Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak.

19 Mac 2008: Istiadat angkat sumpah 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

25 Ogos 2008: Dua anggota EXCO Kerajaan Negeri Perak Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Jailu dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas tudahan rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta. Mahkamah tetap 10, 11 dan 12 Feb 2009 sebagai tarikh perbicaraan.

25 Jan. 2009: ADUN Bota dari Umno, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar daripada BN untuk menyertai PKR.

26 Jan. 2009: Menteri Besar Perak mendakwa sekurang-kurangnya tiga lagi wakil rakyat daripada Umno akan mengikut jejak ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PKR.

30 Jan. 2009: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan laporan mengenai anggota exco kerajaan negeri, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, daripada Parti Keadilan Rakyat, akan menyertai BN.

1 Feb. 2009: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan terdapat ADUN daripada pembangkang di negeri Perak akan menyertai BN.

1 Feb. 2009: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meminta dua ADUN dari PKR yang "hilang" sejak 26 Jan. supaya mengisytiharkan segera pendirian mereka jika telah keluar daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

1 Feb. 2009: Speaker DUN Perak, V. Sivakumar berkata, beliau menerima surat perletakan jawatan ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu yang dihantar ke rumahnya pada 5.45 petang.

2 Feb. 2009: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengadap Sultan Perak di Istana Kinta. Beliau tidak mengulas kepada media berhubung istiadat mengadap itu.

3 Feb. 2009: SPR memutuskan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan DUN Behrang serta tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan itu.

3 Feb. 2009: Mohammad Nizar dilihat memasuki Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

4 Feb. 2009: Empat ADUN Perak iaitu ADUN Behrang Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu, ADUN Bota Datuk Nasarudin Hashim dan ADUN Jelapang Hee Yit Foong berada di Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

4 Feb. 2009: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan BN Perak kini mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan apabila tiga ADUN dari PKR dan seorang ADUN dari DAP mengumumkan keluar parti. BN kini mempunyai 28 kerusi, Pakatan Rakyat juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi.

4 Feb. 2009: Mohammad Nizar yang mengadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk meminta perkenan baginda membubarkan DUN meninggalkan Istana Kinta di Ipoh tanpa memaklumkan kepada media keputusan baginda.

3 Mac 2009: Sidang DUN bawah pokok diadakan.

7 Mei 2009: Sidang DUN dirasmikan oleh Raja Nazrin Sultan Azlan Shah selepas kekecohan selama lima jam di DUN.

10 Mei 2009: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR tidak pernah menolak ruang untuk berbincang dengan mana-mana pihak termasuk Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata tidak ada alasan untuk pakatan pembangkang menolak niat baik mana-mana pihak yang mahu mengadakan perbincangan demi kepentingan rakyat.

Pada hari yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ketika berada di Pekan berkata kerajaan BN sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia bukanlah bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Najib berkata, kerjasama kedua-dua pihak mestilah menjurus kepada saling hormat menghormati antara satu sama lain dan mematuhi undang-undang negara.

11 Mei 2009: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

12 Mei 2009: Mahkamah Rayuan menerima rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Nizar sebagai MB Perak yang sah.

13 Mei 2009: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memfailkan rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.

14 Mei 2009: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata pilihan raya semula adalah satu daripada opsyen yang ada untuk menyelesaikan kemelut politik di Perak tetapi ia bukanlah sesuatu yang harus.

Namun Perdana Menteri berkata keputusan sama ada untuk mengadakan pilihan raya negeri di Perak bergantung kepada budi bicara Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Bekas Perdana Menteri, MTun Dr Mahathir Mohamad menyarankan supaya Barisan Nasional (BN) mengemukakan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin jika mempunyai suara majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Pakatan Rakyat bersedia untuk mengadakan perbincagan dengan Barisan Nasional (BN) namun mereka telah menetapkan pendirian bahawa krisis politik Perak perlu dikembalikan kepada rakyat untuk penyelesaian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan