Khamis, 7 Mei 2009

Kek Altantuya: 3 pemuda dibebas


Muda Mohd Noor | May 7, 09 1:51pm
Tiga pemuda yang ditahan polis kerana cuba "menyambut ulang tahun kelahiran Altantuya Shaaribuu ke-31" di depan pejabat perdana menteri di Putrajaya telah dibebaskan pagi ini.

Yasir Sheikh Abdul Rahman, Saufi Mihat dan Sani Md Shah dibebaskan dengan jaminan polis daerah Putrajaya, tempat mereka ditahan, kira-kira jam 11.15 pagi tadi selepas 24 jam di lokap.

Selain tiga orang aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) itu, turut disiasat pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin yang mengepalai perkumpulan tersebut dan temannya Nor Azizi Abdul Aziz di ibu pejabat polis daerah berkenaan.

Badrul Hisham memberitahu Malaysiakini, ketiga-tiga mereka dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan.

"Dalam tempoh tersebut, mereka akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis," katanya.

malaysia youth solidariti send altantuya birthday cake to najib 060509 05Kecuali Badrul Hisham dan Nor Azizi, tiga lelaki itu ditahan sewaktu memegang kek hari jadi dan sekeping kain rentang dekat pintu masuk kompleks pentadbiran kerajaan itu.

Kek putih dan kain itu bertulisan "Selamat Hari Jadi Altantuya".

Jika masih hidup, Altantuya yang dibunuh pada 2006 kini berusia 31 tahun.

Kumpulan kira-kira 30 aktivis SAMM juga merancang menyerahkan sepucuk surat daripada bapa mangsa bunuh itu Shaariibuu Setev dan memorandum kepada Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan