Ahad, 17 Mei 2009

Isu Altantuya Najib PM baru takut ke luar negara


Saidah Hairan
Sun | May 17, 09 | 1:30:52 pm MYT

SHAH ALAM, 17 Mei (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyelar sikap Dato' Seri Najib Tun Razak yang sudah menjadi Perdana Menteri selama dua bulan tetapi tidak berani membuat lawatan ke luar negara kecuali Manado, Sulawesi dan Thailand.

Menurut beliau, sudah menjadi amalan Perdana Menteri sebelum ini selepas mengambil alih pentadbiran langkah pertama dilakukan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan di luar negara.

Bagaimana pun katanya, perkara itu tidak berlaku terhadap Najib kerana beliau berasa takut disebabkan isu berkaitan dengan dirinya (kes pembunuhan Altantuya) sudah didedahkan dalam 11 akhbar antarabangsa.

Beliau berkata demikian dalam ceramah perdana meraikan petugas negeri Selangor di Stadium Melawati, Shah Alam. Turut berceramah Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali.

Mengulas laporan akhbar terhadap Najib katanya, Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang telah memenangi kes saman ke atas Daily Mirror, sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris berhubung kes laporan palsu ke atas beliau.

Katanya, akhbar tersebut secara terang-terangan menyiarkan gambar Dato' Seri dan mengaitkan beliau sebagai perancang beberapa siri pengeboman di United Kingdom termasuk sebuah pusat membeli-belah di Kent.

Beliau juga telah dituduh sebagai orang ketiga dalam pertubuhan Al- Qaeda, dan sedang di tahan di Guantanamo Bay.

Menurut beliau, Daily Mirror telah mengakui kesilapan di atas laporan palsu tersebut dan telah menyiarkan permohonan maaf tersebut di akhbar dan web mereka.

"Tetapi perkara ini tidak dilakukan oleh Najib, kenapa Najib tidak saman akhbar tersebut. Kalau Presiden boleh saman satu akhbar, Najib ada 11 akhbar kalau menang banyak dapat...," katanya disambut sorakan hadirin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok tidak sabar menanti tarikh 15 Jun bermulanya sidang Dewan Rakyat kerana Nizar akan mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Bukit Gantang.

"Saya mendapat maklumat pihak Parlimen sukar untuk meletakkan tempat duduk Nizar. Sebab Nizar bukan saja Ahli Parlimen tetapi beliau juga Menteri Besar."

"Paling seronok saya hendak melihat Ahli Parlimen Kepala Batas, dulu tempat duduk Perdana Menteri sekarang jadi seperti saya Ahli Parlimen," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan