Rabu, 27 Mei 2009

Akar umbi tentukan calon PAS pertahan Dun Manek Urai

Salmah Mat Husain
Wed | May 27, 09 | 6:54:18 pm MYT


KOTA BHARU, 27 Mei (Hrkh) - PAS Kelantan akan menerima pandangan peringkat akar umbi bagi menentukan calon untuk mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Dato� Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan mempertimbangkan tiga daripada senarai calon untuk diketengahkan kepada PAS Pusat.

"PAS Pusat telah meminta supaya Badan Perhubungan PAS negeri mencadangkan nama calon-calon yang akan mewakili PAS pada pilihan raya itu.

"Jadi keputusan muktamad akan ditentukan PAS Pusat, bagaimanapun biasanya pandangan dari Kelantan diambil kira terlebih dahulu," katanya ketika ditemui di JKR 10 petang semalam.

Pilihan raya kecil Dun Manek Urai akan diadakan tidak lama lagi berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Haji Ismail Yaakob pada pagi Jumaat lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengumumkan esok tarikh penamaan calon dan hari pengundian pilihan raya kecil terbabit.

Takiyuddin yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, PAS tidak mempunyai masalah untuk memilih calon kerana mempunyai ramai tokoh yang berkelayakan.

Katanya juga PAS akan memulakan gerak kerja dengan melancarkan jentera pilihan raya pada 29 Mei ini. Ia akan dirasmikan Pesuruhjaya PAS negeri, Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Dengan bermulanya pelancaran jentera berkenaan, maka secara automatiknya bermula gerak kerja pilihan raya PAS di Dun berkenaan," ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, PAS kawasan terbabit telah memulakan gerak kerja pilihan raya sejak dua hari lalu. - mj_

Tiada ulasan:

Catat Ulasan