Azamin Amin
Mon | Nov 02, 09 | 2:43:32 am
Kemaskini 3.00 pagi:
KUALA LUMPUR,2 Nov: Selepas negara dikejutkan dengan penahanan bekas KSU Mosti atas tuduhan rasuah, kini giliran bekas Mufti pula di hadapkan ke mahkamah hari ini.Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini jam 9 pagi ini atas dakwaan menyampaikan kuliah tanpa tauliah.
Dr Asri ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai JAIS ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, Ahad malam.
Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk Anggota Parlimen Ampang (KeADILan), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.
Mengulas lanjut penahanan itu, Zuraida kesal dengan sikap pihak JAIS yang bertindak seperti polis dan FRU, tanpa mahu bertolak ansur dan agak kasar terhadap bekas mufti itu.
"Saya kecewa pegawai JAIS seperti orang tak punya ilmu agama. Tiada budi bicara langsung," katanya di sidang media jam 2.00 pagi tadi di rumah yang sama.
Beliau turut menjelaskan kenyataan pihak JAIS yang mendakwa Dr Asri berfahaman 'Wahabi' yang dianggap menyimpang,sedangkan di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Zahid Hamidi telah mengesahkan bahawa fahaman itu tidak sesat.
Kata Zuraida, hairan sikap jabatan agama dan kerajaan, apabila Asri diizinkan berceramah di Perlis tetapi tidak di Selangor.
Dalam sidang yang sama, Saari juga menganggap kegagalan enakmen syariah telah menyebabkan tindakan pihak berkuasa agama bertindak secara terpilih dan bersifat poltik.
Dr Asri selepas dibebaskan sejam kemudian meminta Jabatan Agama membuat semakan dan menilai semula tindakan yang dilakukan ke atas dirinya.
"Cuba beritahu apa kriteria yang dia mahu... nak beri tauliah pada orang?
"Saya bekas Mufti. Ada PHD daripada UIA. Siapa yang buat keputusan untuk beri tauliah ini?
"Jika demikian, mereka telah menghalang orang untuk sampaikan ilmu," katanya dalam sidang media tergempar yang dihadiri oleh pihak media dan para jemaah yang mengikuti kuliahnya.
Katanya, masih ramai pensyarah di bawah seliaan beliau dan IPTA lain yang tidak diberi tauliah, walaupun layak untuk menerimanya sehingga menyebabkan sekatan ke atas mereka untuk menyampaikan ilmu dan kuliah kepada masyarakat.
Dr Asri juga merakamkan penghargaan kepada kedua-dua wakil rakyat PAS dan KeADILan itu, yang mempertahankan dan membela beliau ketika penahanannya tengah malam tadi.
"Ini tidak bermakna saya sertai politik. Mereka telah membantu saya...terima kasih.
"Terima kasih kepada yang menyokong dan pihak media yang membuat liputan," katanya dan sekaligus bersalaman dengan hadirin semua.
Suasana menjadi agak emosi seketika,apabila ada antaranya berpelukan dengan Dr Asri dan menangisi insiden yang tidak sepatutnya berlaku ke atas seorang tokoh agama.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Abdul Jalil Hassan dilaporkan berkata polis hanya membantu JAIS dalam operasi itu dan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung penahanan bekas mufti Perlis itu.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata hanya mereka yang bertauliah sahaja yang dibenarkan untuk menyampaikan khutbah Jumaat dan kuliah agama di masjid dan surau negeri ini.
Hasan Ali menegaskan peraturan dan garis panduan sudah pun dikeluarkan namun masih ada individu tertentu yang ingkar mengikutinya.
Perkara ini disiarkan oleh laman web kerajaan negeri Selangor, Selangorkini Sabtu, 31 Oktober, dua hari lepas.
Bagaimanapun, pentauliahan itu hanya dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan menetapkan beberapa proses tertentu sebelum seseorang itu layak berbuat demikian.
"Peraturan-peraturan itu telah pun diberitahu sebenarnya kepada masjid-masjid dan surau-surau dan selepas ini peraturan itu akan diletak dalam bentuk notis yang agak besar di dinding-dinding tempat yang boleh dilihat dengan terang di surau dan masjid dan sebagainya. Antara peraturan itu ialah setiap pemberi khutbah, pengkuliah dan sebagainya mesti ada tauliah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan