Ahad, 23 Oktober 2011

DHPP Antara Nadi Parti Islam – M.Subramaniam


BENUT – Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) merupakan nadi kepada Parti Islam SeMalaysia (PAS) meskipun ramai yang tahu bahawa keanggotaan Dewan itu terdiri daripada orang bukan Islam.

Ketua Penerangan DHPP Johor, M. Subramaniam berkata PAS mengambil pendirian untuk menjadikan Islam sebagai penyelesai segala masalah menyebabkan ramai dikalangan orang bukan Islam melihat Parti Islam itu berupaya memerintah.

Menurut beliau lagi BN dianggapnya bahawa kesungguhan dalam melaksanakan Islam berada pada tahap yang terlalu rendah hingga kebejatan jenayah mahupun gejala sosial sukar untuk dibendung.

”3 tahun masuk DHPP, sekarang telah diiktiraf. Kita (DHPP) menjadi nadi dan naluri kepada Parti Islam walaupun kami bukan Islam.

”Dalam Islam ada banyak nilai-nilai murni daripada agama Islam. BN nampaknya tidak bersungguh terhadap agama sehingga jenayah sosial berleluasa.

”Dalam akhbar misalnya ada ibu yang campak anak dari atas flat hingga mati.

”Walaupun kami bukan Islam, kita sanggup belajar nilai-nilai yang ada dalam Islam. Ini perlu wujud, melainkan PAS saja yang bersungguh-sungguh, tapi BN tak bersungguh-sungguh” terangnya.

Justeru katanya lagi jika pemimpin UMNO masih lagi dilihat melengah-lengahkan tuntutan menegakkan perintah agama maka selagi itulah nasib rakyat tidak terbela.

”Bila sikap pemimpin (UMNO) tidak berubah (pembela agama), bila lagi nasib rakyat akan berubah” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan majlis Ceramah Isu Semasa ‘Membongkar Rahsia Cincin Rosmah 24 juta’ bersama Che’gu Bard di Pekan Parit Betak, Benut, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau menambah dengan katanya bahawa orang Melayu mempunyai kelebihan tersendiri kerana Islam.

Akan tetapi soalnya bagaimana mungkin UMNO yang mengaku beragama Islam dalam masa yang sama dilihat cuba lari dari prinsip dan dasar Islam seperti mengamal ‘Politik Islam’ sedangkan Nabi Muhammad saw sendiri berpolitik dalam kerangka agama yang diredhai Allah swt.

”Kan bagus (orang Melayu) ikut dasar Islam. Nabi (Muhammad saw) dulu ajar politik Islam. Kalau UMNO (boleh) solat lima kali dalam sehari tapi tolak Islam (tidak berpolitik cara Islam). Tengok sajalah kelab-kelab malam buka sampai dua pagi. Oleh itu, buatlah keputusan (tepat) dalam pilihan raya akan datang.” terangnya lagi.

Atas keyakinan itu beliau sekali lagi menegaskan bahawa PAS kini dilihat lebih terbuka kepada kaum bukan Islam kerana terbukti pentas PAS boleh dihadiri oleh golongan itu tanpa sebarang halangan.

”Rakyat perlu bangkit. Restu Tuhan bersama kita sekarang. Kalau 15 tahun dulu, kita tak boleh tengok ramai (pendengar ceramah) macam ini. Hari ini lain. Sekarang orang Hindu boleh berada di pentas PAS. Parti Islam ini ditubuhkan ulamak berlandaskan Islam” tegasnya lagi.

Hadir sama Badrul Hisham Shaharin, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Hj. Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Pontian, Ustaz Atan Gombang, Pengelola Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut.



Oleh : www.ibn75.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan