Ahad, 23 Oktober 2011

Beri kebebasan ahli akademik berakademik - Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat

Nazri Abdullah (harakahdaily)

GOMBAK, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik mat menyeru semua pihak termasuk universiti, tidak menyekat ahli akademik menyuarakan padangan akademik mereka.

Mengulas isu penggantungan pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), beliau berkata ahli akademik perlu diberi peluang mengulas apa jua isu mengikut kepakaran akademik yang dimiliki mereka.

"Aziz Bari ni orang akademik. Berilah peluang orang akademik berakademik," katanya yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan ICT dan Media Baru 2011 anjuran Lajnah ICT PAS Pusat di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar di sini.

"Dia juga pakar perlembagaan, saya tak fikir pakar perlembagaan buat benda bercanggah dengan perlembagaan," katanya sebagai membantah tindakan penggantungan oleh UIAM itu.

Kelmarin UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober d untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

"Dua hari lalu dia ada orang tulis dalam surat khabar, ada orang kata 'natang' kepada raja-raja Melayu tapi tak ada apa-apa tindakan pun.

"Rakyat jadi pelik, apa dah jadi ni," soal Tuan Guru Nik Aziz.

Sementara itu Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menasihatkan rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) untuk menarik balik penggantungan kontroversi ke atas Prof Abdul Aziz Bari.

Menurutnya, apa sahaja (sebab-sebab untuk tindakan itu), ia masih
salah dari segi moral dan intelektual (kerana) Aziz belum didapati bersalah.

"Harap tarik balik penggantungan... harap jangan ambil tindakan terhadap mahasiswa yang demonstrasi (semalam)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan