KUALA LUMPUR, 13 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat, sedia menggerakkan massa untuk mengadakan himpunan Bersih sekali lagi, seperti diumumkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semalam jika kerajaan masih berdegil dan enggan mendengar tuntutan rakyat.
Menerusi perhimpunan itu, rakyat menuntut kerajaan melaksanakan 8 perkara iaitu membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasruddin Hassan berkata, tuntutan tersebut bukanlah sesuatu yang rumit untuk dilaksanakan jika kerajaan benar-benar jujur kepada rakyat.
Menurut beliau, tambahan pula, kesemua tuntutan itu bukanlah sesuatu yang pelik, malah ia amat wajar dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjamin keadilan kepada rakyat dan membersihkan imej kerajaan serta negara.
Katanya, kerajaan perlu sedar, perhimpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan pada 9 Julai lalu adalah atas kehendak rakyat dan ia diadakan ekoran desakan rakyat agar kerajaan melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil.
"Ia bukan diadakan untuk suka-suka, tetapi kerana hasrat yang murni, sehingga para pesertanya sanggup datang dari jauh dari seluruh pelosok negara dan terpaksa menempuhi pelbagai halangan," katanya ketika ditemui di sini.
Perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, menurut beliau, sememangnya perhimpunan aman, tetapi ia telah mencatatkan rekod buruk sehingga menjadi sejarah hitam kepada negara.
"Semua itu terjadi kerana kerajaan BN menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kekerasan terhadap para peserta sehingga lebih 1,400 orang ditangkap, ada yang tercedera, malah ada yang meninggal dunia.
"Peserta yang meninggal dunia itu, Allahyarham Baharudin Ahmad. Beliau adalah bekas tentera dan telah berumur 56 tahun. Walaupun telah berumur, Allahyarham tetap hadir menyertai perhimpunan itu bagi bersama-sama orang ramai mendesak kerajaan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil.
"Allahyarham Baharudin meninggal dunia selepas pengsan di perkarangan KLCC dan disahkan meninggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Allahyarham mengalami kecederaan parah sehingga patah tulung rusuk dan patah gigi.
"Sesungguhnya, Allahyarham Baharudin itu adalah wira negara. Pengorbanannya amat besar kepada negara. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan takziah kepada keluarganya di atas pemergian Allahyarham dan kita mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan para syuhada," katanya.
Walaupun perhimpunan Bersih 2.0 memberikan pengalaman pahit kepada rakyat ekoran penggunaan kekerasan melampau oleh kerajaan BN terhadap para pesertanya, tegas beliau, rakyat negara ini tidak takut untuk mengadakan perhimpunan seperti itu sekali lagi jika kerajaan terus enggan membersihkan sistem pilihanraya di tanah air.
"Kerajaan BN tidak mempunyai pilihan lain dalam hal ini, melainkan mesti memenuhi 8 tuntutan itu kerana ia adalah desakan rakyat," tegas beliau. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan