Ahad, 10 Julai 2011

Pasca-Bersih 2.0: Simpang risiko dan potensi politik

July 10, 2011

ANALISIS, 9 Julai — “Ini hanya saluran, bukan pengakhiran.” Demikian menurut Pengarah Jabatan Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad di akhir perhimpunan semalam, yang mengulangi peristiwa 2007 di ibu negara.

“Saya kira usaha kali ini berjaya walaupun kami berhadapan dengan pelbagai halangan dan tekanan sejak sebulan lalu . . . tindaka pihak berkuasa lebih kejam berbanding 2007,” kata wakil rakyat penggal pertama ini kepada The Malaysian Insider.

Ketika 2007 kerajaan menghalang tetapi tidak menggunakan kekerasan macam kali ini, kata beliau.

Arena politik negara memasuki persimpangan baru susukan perhimpunan Bersih 2.0 menjelang pilihan raya umum ke-13. — Foto TMI
Perhimpunan Bersih 2007 digerakkan oleh ahli-ahli politik dari pembangkang. Bagaimanapun pergerakan tahun ini atas nama Bersih 2.0 diusahakan oleh gabungan 62 pertubuhan bukan kerajaan.

Sementara pemimpin-pemimpin dan penyokong Bersih 2.0 menyifatkan perhimpunan semalam “satu kejayaan besar”, namun penganalisis politik berpendapat ia tidak akan mengubah persekitaran arena politik negara secara total.

Pun begitu, mereka tidak menolak kemungkinan Pakatan Rakyat akan menggunakan perkembangan sehingga detik akhir perhimpunan sebagai “modal” untuk meraih simpati rakyat terutamanya orang Melayu.

“Saya rasa sudah pasti insiden tangkapan dan keganasan yang berlaku ini akan membolehkan Pakatan Rakyat untuk menagih orang ramai dan membuktikan bahawa Pakatan Rakyat berada di belakang Bersih 2.0.

“Saya rasa itu yang akan membolehkan mereka mendapat simpati. Saya percaya penyokong mereka tidak melihat tindakan polis (mengawal keselamatan) tapi akan melihat tangkapan yang dilakukan dengan mengatakan polis bertindak kejam kepada mereka,” kata pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian.

Justeru kata beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menilai kedudukan Barisan Nasional (BN) terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Saya rasa melihat apa yang berlaku perdana menteri tidak boleh mengadakan pilihan raya umum dalam masa terdekat kerana ia akan beri kesan (jika diadakan),” katanya.

“Jadi apa yang perlu dilakukan adalah BN perlu meyakinkan pengundi-pengundi atas pagar sebab saya merasakan pada pilihan raya umum nanti pengundi atas pagar akan menjadi penentu.

“Kalau pilihan raya diadakan tahun ini, risiko (untuk kalah) itu tinggi, jadi perdana menteri juga perlu memberi tumpuan kepada pembangunan sektor ekonomi dan bila sudah OK mungkin tarikh paling baik (adakan pilihan raya umum) adalah tahun depan,” katanya.

Bersih 2.0 mendakwa telah dapat menghimpunkan seramai 50,000 orang. Namun Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menafikan dengan berkata 6,000 orang sahaja yang datang.

Sukar untuk memberikan satu angka yang tepat kerana himpunan manusia berselerak di merata lokasi di ibu negara.

Pokoknya, melihat pada perkembangan semasa angka sudah tidak penting. Bagi Bersih 2.0 dan pihak-pihak yang menyokong mereka merasakan mesej yang dibawa sudah sampai ke bawah.

Bersih 2.0 mengundang bersama kepimpinan BN, tetapi Pakatan Rakyat mengambil kesempatan lalu memberikan sokongan dari awal lagi.

Pemimpin BN menentang Bersih 2.0. Pemuda Umno mengadakan perhimpunan balas Patriot menentang Bersih 2.0, tetapi mobililasi mereka terhalang dan tidak dapat mengatasi pergerakan Bersih 2.0.

Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia berkata Pakatan Rakyat menggunakan platform Himpunan Bersih 2.0 untuk melihat sokongan rakyat terhadap mereka.

Selain itu, kata beliau, Pakatan Rakyat juga mahu meneruskan momentum “tsunami politik” yang dicapai pada pilihan raya umum 2008.

“Kalau dari segi Pakatan Rakyat dilihat ia ada sokongan terhadap perjuangan Bersih 2.0 tentang transformasi pilihan raya... sokongan itu ada cuma tidak dapat berkumpul serta ramai yang ditangkap tapi kalau dilihat dari sudut Pakatan Rakyat mereka sebenarnya mahu melihat sejauh mana kekuatan mereka.

“Mereka juga nak lihat sama ada momentum tsunami politik pada 2008 masih bersama mereka atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun menurut Azizuddin, BN juga akan menerima kesan ekoran pendekatan keras polis menahan peserta perhimpunan.

“Kesan juga diterima BN kerana mereka (polis) menangani secara keras dan ia akan beri kesan kepada sokongan rakyat kepada BN.

“Jadi, pada pandangan saya sudah pasti ini akan digunakan oleh Pakatan Rakyat untuk menagih simpati rakyat,” katanya.

Datuk Dr Zainal Kling pula berpendapat perhimpunan semalam tidak menggambarkan keseluruhan sokongan rakyat kepada Bersih 2.0.

Sebaliknya, penganalisis itu percaya peralihan sokongan boleh berlaku sekiranya Bersih 2.0 memberikan bukti terhadap lapan tuntutan yang harus dilaksakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sebab orang sekarang mahu melihat bukti bukan hanya cakapan, bila ada buktio jelas baru rakyat akan percaya dan ia bukan sekadar retorik semata-mata,” katanya.

Perhimpunan semalam merupakan kali kedua selepas kelahirannya akhir 2007, yang diadakan beberapa bulan sebelum pilihan raya umum ke-12. Pilihan raya itu menyaksikan tsunami politik.

Pentadbiran Najib yang mengharapkan mandat baru tidak mahu tsunami politik berulang dengan tempias perhimpunan Bersih 2.0. Justeru, Kementerian Dalam Negeri dibertanggungjawabkan agar perhimpunan semalam dihalang walau dalam apa cara sekalipun. Justeru usaha dipertingkat sepanjang sebulan lalu termasuk Bersih 2.0 diharamkan.

Laman web msnbc memetik Bridget Welsh, pakar hal ehwal Malaysia di Singapore Management University berkata, “daripada persepktif Najib, mengadakan pilihan raya dalam waktu terdekat adalah satu langkah silap kerana kemudaratan telah diakibatkan.”

“Hakikatnya, kehadiran kumpulan yang besar meskipun berhadapan dengan tindakan keras (polis) menunjukkan kemarahan pengundi masih dalam dan ia akan mengalih mereka yang berada di kedudukan pertengahan untuk menyokong pembangkang,” kata Welsh.

Dzulkefly, Ahli Parlimen Kuala Selangor merumuskan, “saya secara peribadi terharu dengan sokongan diperlihatkan oleh rakyat... ini saya lihat dengan sokongan pengunjung hotel (KL Hilton) kami berhimpun.”

“Saya sebenarnya memohon maaf kepada beberapa pengunjung atas ketidakselesaan mereka alami apabila polis melepaskan gas pemedih mata. Tetapi kata mereka, tidak mengapa, kami faham perjuangan anda... ini sesuatu yang memberikan kami semangat,” kata beliau lagi.

Pokoknya, mesej tentang Bersih 2.0 sudah meresapi di kalangan rakyat pelbagai lapisan masyarakat. BN diketuai Najib tiada pilihan lain ‘membersihkan’ implikasinya jika mahu mengelakkan risiko tsunami politik.

Sebenarnya, pentadbiran Najib gagal menggunakan pergerakan Bersih 2.0 sebagai sebahagian reformasi politik yang beliau hasratkan. Tetapi, kini beliau cuba memperbaiki keadaan. Najib mengadakan langkah awal bertemu dengan kepimpinan bahagian Umno hari ini.

Percaturan politik era pasca-Bersih 2.0 menarik untuk dilihat. Masing-masing BN dan Pakatan Rakyat akan cuba mengekalkan momentum bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan