mstar
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyiasat surat terbuka bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim yang mendakwa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mempunyai peranan dalam insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira 12 tahun lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kabinet mengarahkan beliau dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk berjumpa Abdul Gani bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan surat terbuka Mat Zain itu.
"Saya dan Rais telah diarahkan oleh kabinet yang bermesyuarat pada 12 November lalu untuk berjumpa Abdul Gani bagi mendapatkan penjelasan mengenai surat terbuka itu sebelum sebarang tindakan diambil.
"Buat masa ini, kami sedang menunggu Abdul Gani pulang dari Mekah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.Mohamed Nazri berkata beliau dan Rais perlu menemui Abdul Gani berhubung surat terbuka Mat Zain itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.
Dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada Isnin lepas, Mat Zain merujuk kepada usul memotong gaji Peguam Negara RM10 yang dibawa Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada sidang Dewan Rakyat 9 November lepas.
Beliau juga mengesahkan ada menghantar e-mel kepada Lim yang juga pemimpin veteran DAP pada 14 April lepas. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan