Rabu, 24 November 2010

PAS kemuka usul bincang serangan Korea Utara

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub akan mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) untuk menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat bagi membincangkan serangan Korea Utara terhadap jirannya, Korea Selatan.

“Dengan ini diberikan notis bahawa saya akan mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan,” ujarnya dalam usul tergempar yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Berikutan adalah usul tergempar beliau.

Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) mohon mencadangkan:

Bahawa mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan tindakan Korea Utara baru-baru ini telah melancarkan serangan ke atas Korea Selatan dengan melepaskan berpuluh-puluh tembakan meriam ke atas pulau Yeonpyeong, yang menempatkan kira-kira 1,000 tentera Korea Selatan, berhampiran sempadan Laut Kuning, yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.

Hubungan di antara Korea Selatan dan Korea Utara sejak insiden sempadan terburuk pada perang 1950-1953 dahulu kini semakin membimbangkan. Berikutan daripada insiden serangan tersebut ke atas pulau nelayan itu juga menyebabkan dua anggota marin Korea Selatan maut, sementara 15 anggota marin lagi dan tiga penduduk awam cedera.

Perkara ini berlaku berikutan sepasukan unit tentera Korea Utara melepaskan tembakan meriam sebagai tindakan provokasi pada kira-kira pukul 2.34 petang waktu tempatan (1.34 petang waktu Malaysia) dan pasukan tentera Korea Selatan melancarkan serangan balas sebagai pertahanan. Berikutan itu juga amaran ketenteraan Kelas A bagi situasi tempur ini dikeluarkan serta-merta oleh Korea Selatan.

Saya berharap, Parlimen Malaysia pada hari ini perlu membincangkan perkara tersebut sebagai dasar luar Kerajaan terhadap kedua-dua Negara tersebut. Ianya juga ada protes kita terhadap krisis peperangan yang bakal berlaku di sana. Penegasan terhadap kancah peperangan perlu dimuktamadkan oleh Malaysia kerana kita ada hubungan perdagangan dikedua-dua Negara tersebut.

Oleh yang demikian, saya meminta agar bantahan Parlimen Malaysia dibuat serta-merta terhadap kedua-dua Negara tersebut demi memelihara keharmonian hubungan dagangan atau pun warga Malaysia yang kini berada di sana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan