( harakahdaily )
KOTA BHARU, 6 Jan: Pemuda Umno Kelantan didakwa cuba mencipta isu untuk 'berkokok' apabila mendakwa beberapa isu membabitkan kepimpinan Kelantan, berlaku akibat 'pantulan' doa musibah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yussof dalam satu kenyataan memberitahu, tindakan pemuda Umno itu tidak lebih dari cuba mengelirukan dengan hujah yang mencabar kuasa Allah.
"Pemuda Umno Kelantan nampaknya mencipta isu untuk 'berkokok'.
"Adakah wajar pemuda Umno membuat penilaian atas fakta yang bersandarkan pengamatan semata-mata untuk mengisytiharkan ”bencana" melanda Kelantan,?" soalnya.
Ujarnya jika hujah Umno itu diterima, maka beberapa peristiwa melanda Negara juga boleh dikatakan sedang terkena 'bencana' akibat doa Tuan Guru Nik Aziz.
"Jika mengambil kira hujah pemuda Umno itu sebagai ’bencana’, maka logiknya Negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib sekarang sedang kalut dengan fakta-fakta ’bencana’ selepas Tok Guru berdoa," katanya lagi.
Antara 'bencana' yang menimpa negara disenaraikan beliau seperti berikut:
Kematian pelajar yang tidak berdosa akibat runtuhnya jambatan gantung di Perak, negeri yang Mohd Najib mengetuai ’rampasan kuasa.’
Kemalangan dahsyat di lebuh raya utara selatan berlaku di Perak, negeri yang Mohd Najib mengetuai ’rampasan kuasa.’
Kini sudah terbongkar kehilangan dua enjin jet pejuang angkatan tentera (bernilai RM100 juta) semasa Mohd Najib jadi menteri yang menjaga angkatan tentera.
Perletakan jawatan tergesa-gesa ketua pesuruhjaya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan kematian TBH (Teoh Beng Hock) ekoran penyiasatan yang dipertikaikan yang tidak selesai sampai kini dan turut menjatuhkan imej SPRM di mata dunia.
Paling mensengsarakan lagi, ekonomi negara makin teruk, upaya kebajikan sudah punah bila mana gula ditarik subsidi dan harga dinaikkan sebanyak 20 sen sekilo yang sudah pasti membawa impak kenaikan harga barangan makanan lain yang berkait. Bencana makanan sebagai hak asasi sedang ditanggung rakyat buka sahaja di Kelantan malah seluruh negara.
Paling malang dan bala besar kepada umat Islam, berlaku pula keputusan mahkamah yang membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada agama Kristian Katolik sehingga mencabar hak eksklusif umat Islam di Malaysia. Maka dimana maruah kehebatan Malaysia yang diisytiharkan Negara Islam!
Umno tegasnya perlu sedar bahawa kesemua musibah yang melanda negara ini berkemungkinan berpunca dari sikap pemimpin negara yang mengenepikan ajaran syariat Islam sebenar.
"Apakah ’mereka’ tidak berfikir kesemua itu adalah gara-gara pemimpin yang tolak dasar syariat?
"Semoga Tuhan Yang Esa membuka pintu kesedaran dan masukkan hidayah kepada mereka yang ’kabur mata dan tersumbat jantung hati’ di dalam menilai kebenaran," katanya.
3 Januari lalu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Sapian seperti dilaporkan media mendakwa beberapa kes yang berlaku di Kelantan mungkin disebabkan pantulan doa musibah Nik Aziz kepada Najib.
Antaranya termasuklah isu tajaan Haji kepada Menteri Besar, isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dan isu saman RM800 juta terhadap kerajaan negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan