PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor yang mereka menangi pada pilihan raya umum 2008 lalu.
Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, parti itu akan tetap mempertahankan penguasaan mereka di kawasan berkenaan pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Kekosongan ini berlaku dalam negeri Selangor yang sememangnya dikuasai oleh Pakatan Rakyat... insyaAllah kita tak ada masalah untuk pertahankan kerusi berkenaan," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.
Kerusi Parlimen Hulu Selangor kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, akibat barah otak di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras semalam.
Adik Allahyarham, Md. Hambali mengesahkan Zainal Abidin menghembuskan nafas terakhir pada pukul 9.27 malam.
Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Siti Zaharah Mohd. Zin dan empat orang anak.
Selain itu Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, PKR masih belum menetapkan tarikh khas untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan mengenai kekosongan kerusi berkenaan.
"Kita belum tentukan apa-apa lagi, Allahyarham baru sahaja meninggal dunia semalam, insyaAllah kita akan mengadakan perbincangan bila tiba masa yang sesuai nanti.
"Tambahan pula bagi PKR dan Pakatan Rakyat, perkara berkaitan pilihan raya adalah isu berterusan dan bukannya mengikut musim, jadi perkara sebegini sememangnya menjadi perhatian kita setiap masa," katanya.
Ditanya sama ada pihaknya sudah mempunyai individu yang sesuai untuk diletakkan sebagai calon pada pilihan raya kecil itu nanti, beliau berkata: "Dalam negeri Selangor kita memang ada ramai calon yang sesuai.
"Cuma sekarang kita perlu pilih yang terbaik dikalangan calon yang ramai itu."
Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk G Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.
Allahyarham yang menyertai PKR pada 2005, memperoleh 23,177 undi, manakala Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, mendapat 22,979 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan