Harakahdaily Tue | Oct 20, 09 | 8:36:58 am MYT | |
KUALA LUMPUR, 20 Okt: PAS telah melantik AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu untuk mengetuai satu jawatankuasa kajisiasat (post mortem) kenapa calonnya kalah teruk dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Mohamad dilantik berdasarkan beliau tidak terlibat secara langsung dalam jentera pilihan raya kecil tersebut. Mustafa memberitahu perkara ini ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut petang semalam. Calon Pakatan Rakyat dari PAS, Zulkefly Mohamad Omar kalah kepada calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad dalam pilihan raya itu dengan majoriti 5, 435 undi berbanding hanya 2,333 undi dalam pilihan raya umum 2008 lalu. Mustafa dalam pertemuan yang sama menjelaskan pandangannya dengan terperinci kenapa PAS kalah dalam pilihan raya ini. "Punca utama adalah undi pos yang tidak telus...bukan pilihan raya ini sahaja, proses pengundian undi pos di mana-mana sahaja dalam negara ini tidak telus. "Bagi saya, inilah punca utama kemenangan besar Umno," kata beliau yang berada di Bagan Pinang sejak sebelum hari penamaan calon lagi. Selain Bagan Pinang, Barisan Nasional (BN) khasnya Umno sudah dikira menang di mana-mana sahaja kawasan Dun yang mempunyai undi pos melebihi 5,000. "Selain Bagan Pinang, Umno sentiasa menang di Dun Pangkor (kawasan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir) yang mempunyai 12,000 undi pos dan Sungai Udang yang mempunyai 10,000 undi pos," beritahu Mustafa. Oleh itu, beliau berpendapat, undi pos perlu dikaji semula bukan kerana dengki kepada Umno tetapi supaya negara ini dilihat mempunyai sistem pilihan raya yang telus. "Saya cadangkan, undi pos dikekalkan kepada pelajar dan diplomat yang berada di luar negara serta petugas SPR sahaja...yang lain undi biasa. "Pusat pengundian boleh dibuat di luar pagar kem pun tidak apa, asalkan parti-parti yang bertanding boleh menyaksikan dengan telus proses pilihan raya berjalan," katanya. Selain faktor undi pos, Mustafa yang juga bekas Pengarah Pilihan raya PAS sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung berpendapat, faktor kelemahan PAS dan Pakatan Rakyat sendiri di Bagan Pinang juga menjadi faktor. "Bayangkan PAS hanya mempunyai 100 ahli sahaja di sini dengan hanya dua cawangan sedangkan Umno ada 30 cawangan di sini," katanya. Namun begitu, beliau menolak, masalah yang berlaku dalam Pakatan Rakyat di Selangor sebagai satu punca utama undi PAS merosot di kalangan orang Cina. "Kalau isu itu memberikan kesan, sepatutnya ia memberi kesan di Permatang Pasir lagi kerana isu di Selangor meletup menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir...kenapa di sana tidak?" soal beliau. Untuk undi kaum India pula, Mustafa berpendapat, antara puncanya adalah kegagalan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menembusinya kerana dikawal ketat termasuk oleh gengster. Di samping itu, curahan wang dan benda untuk mereka juga memihak kepada BN di samping kelemahan perkhidmatan para wakil rakyat Pakatan Rakyat sebelum ini. Namun beliau percaya, pilihan raya kecil ini bukan satu batu asas (bechmark) kepada pergerakan politik di negara ini kerana ia bukan satu neraca yang tepat untuk melihat politik Malaysia secara keseluruhannya. |
Selasa, 20 Oktober 2009
Mohamad Sabu ketuai post mortem PAS
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan