Jumaat, 30 Oktober 2009

Dr Asri akan sertai parti politik ?

Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Harun Taib berkunjung ke rumah Dr Mohd Asri di Mengkuang Bukit Mertajam baru-baru ini.Foto ihsan laman blog drmaza, Minda Tajdid.

PETALING JAYA: Krisis dalaman PAS yang sedang hangat diperkatakan turut mengheret bekas Mufti Perlis yang khabarnya telah dijemput untuk menyertai parti Islam itu.

Adakah kemungkinan beliau akan terjun ke bidang politik, samada Umno atau PAS. Atau mungkin juga menyertai pihak ketiga? Ini adalah kerana setelah pulang dari UK, Dr Asri yang juga bekas Mufti Perlis, bebas dari jawatan.

Banyak pihak menjemput beliau menjadi aktivis mereka. Yang terbaru, ada khabar angin mengatakan Dr Asri akan menyertai parti politik PAS.

Yang menguatkan lagi kesahihan berita ini apabila tersiarnya gambar Ketua Dewan Ulamak PAS, Dato Harun Taib yang berkunjung ke rumah Dr Mohd Asri di Mengkuang Bukit Mertajam baru-baru ini di laman web Minda Tajdid (www.drmaza.com).

Khabarnya, majlis yang dipenuhi dengan ukhuwwah dan kemesraan itu diikuti dengan makan malam bersama.

Difahamkan, Ketua Dewan Ulamak PAS itu turut menjemput Dr Mohd Asri menyertai perjuangan PAS dalam menegakkan Islam di Malaysia.

Namun, seperti yang dipetik dari laman web minda tajdid, Dr Mohd Asri hanya mengucapkan terima kasih atas jemputan itu dan menyatakan penghormatan beliau kepada Ketua Dewan Ulamak PAS berkenaan.

Sementara itu, menurut sumber terdekat Dr Asri, bekas Mufti Perlis itu yang mempunyai hubungan rapat dengan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, telah membuat kunjungan hormat ke rumah Mahathir untuk mendapatkan nasihat pada minggu ini.

Kata sumber itu, Mahathir tidak setuju jika Dr Asri mengambil apa-apa jawatan lantikan politik termasuk kerajaan.

"Dia menasihatkan Dr Asri agar kekalkan sikap tidak berpihak dan berkecuali. Dia tidak bersetuju kalau Dr Asri mengambil jawatan lantikan politik termasuk kerajaan.

"Alasan Tun, tulisan Dr Asri dibaca oleh semua pihak termasuk Tun sendiri. Jika Dr Asri menerima jawatan lantikan politik, orang akan kurang minat melihat beliau berpihak dan tidak lagi adil," kata sumber itu.

Namun ketika dihubungi, Dr Asri enggan mengulas lanjut.

"Saya mempunyai hubungan baik dengan berbagai pihak. Yang lain saya tak nak komen," jelas tokoh agama yang selalu lantang menyuarakan pandangannya itu.

Lembaga Disiplin PAS bersidang esok

Harakahdaily
Fri | Oct 30, 09 | 3:36:49 pm

KUALA LUMPUR, 30 Okt:
Lembaga Disiplin PAS akan bersidang buat pertama kalinya esok mulai jam 10.30 pagi selepas mendapat arahan menyelesaikan segera beberapa isu dalaman PAS, kata ketuanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun, dimaklumkan bahawa, tidak akan ada sebarang sidang media atau kenyataan media berkaitan dengan hal ini sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat, katanya.

"Kami akan bermesyuarat esok dan akan melihat dokumen-dokumen yang ada sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Lembaga ini, katanya, mempunyai lima anggota termasuk beliau. Mereka terdiri dari peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS.

"Namun saya tidak bercadang untuk mendedahkan nama mereka," kata Tuan Ibrahim.

Lembaga Disiplin PAS telah diarahkan bersidang segera bagi menyiasat beberapa dakwaan kepada PAS Selangor.

ImageArahan ini dibuat oleh mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini. Ia dimaklumkan kepada media oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya kira-kira jam 1.00 pagi 29 Oktober semalam.

Selain Lembaga Disiplin diminta bersidang segera, PAS juga akan mengadakan satu seminar khas yang bakal disertai lebih 1,000 pemimpin parti di semua peringkat 7 November nanti.

Ia akan diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub diamanahkan untuk menguruskan seminar ini.

Turut diputuskan dalam mesyuarat khas itu adalah, isu kerajaan perpaduan telah ditutup dan tidak akan dibicarakan lagi.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau telah menerima beberapa dokumen yang disampaikan kepada beliau.

"Ada yang sampai melalui Setiausaha Agung. Dan ada yang disampaikan kepada saya melalui presiden sendiri," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, lembaga ini akan meneliti segala dokumen itu apakah ia bertentangan dengan didiplin parti atau ia hanya ijtihad peribadi individu berkenaan sahaja.

Dari situ, katanya, lembaga ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil.

Badrul didakwa bermasalah sejak Mac 2008

Oleh Nazri Abdullah ( harakahdaily)
30/10/09

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Klang hari ini mendedahkan ‘perwatakan’ sebenar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang mengumumkan keluar dari PKR semalam dan menjadi Adun bebas semalam.

Ketua AMK, Cabang Klang, Irwan Ismail dalam satu kenyataan memberitahu alasan perletakan jawatan yang diberikan Badrul itu sebagai menutup pekongnya yang sebelum ini terpalit dengan pelbagai masalah.

“Beliau harus sedar bahawa, kegagalan kepimpinan dan sikapnya sendirilah yg menjadi sebab utama punca masalah di Dun Pelabuhan Klang dan sangat tidak wajar serta matang, menyalahkan pihak lain khususnya YAB MB Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Setiausaha Sulit YAB Menteri Besar Selangor,” kenyataannya dipetik.

Irwan ketika dihubungi Harakahdaily mengesahkan dakwaan tersebut.Badrul tegasnya tidak menjalankan tanggungjawab dan amanah sebagai wakil rakyat di Dun Pelabuhan Klang sejak menang Pilihan Raya Umum, Mac 2008 lagi.Beliau didakwa jarang turun padang dan tidak mesra rakyat selain menghabiskan peruntukan yang deberi kerajaan negeri Selangor dari 2008 hingga pertengahan 2009 secara meragukan.Tegasnya lagi, tiada program yang dibuat Badrul untuk menyalurkan sumbangan kepada rakyat di kawasannya.

“Beliau tidak turun padang dan kurang mesra dgn rakyat, peruntukan beliau utk tahun 2008 sehingga pertengahan 2009 dihabiskan secara meragukan, dengan tiada program & sumbangan kepada mereka yg layak menerimanya,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga didakwa tidak memberi kerjasama yang baik kepada kerajaan negeri bahkan sering tidak hadir program rasmi kerajaan negeri yan diadakan di kawasannya sendiri.Sifat Badrul yang eksklusif juga didakwa menyebabkan bukan sahaja beliau terlalu sukar duhubungi dan dutemui rakyat, bahkan oleh pucuk pimpinan PKR sendiri.

AMK Cabang Klang ketanya telah berusaha membantu beliau dalam urusan pentadbiran Dun Klang selain memaklumkan program-program terkini parti, namun usaha menghubungi Badrul tetap gagal.Sehubungan itu AMK katanya menyeru agar seluruh rakyat di Pelabuhan Klang bertenang dan tidak terpedaya dengan putar belit Badrul.

Mereka juga akan terus menjalankan program biarpun tanpa kehadiran Badrul demi memastikan hak dan kepentingan rakyat khususnya di Pelabuhan Klang terus dibela.Badrul Hisham pada satu sidang media semalam mengumumkan keluar dari PKR dan mengisytiharkan diri beliau sebagai Adun bebas yang ‘mesra BN’.Beliau memberi alasan kes liwat membabitkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah antara sebab beliau berbuat demikian.

Tiga lagi turut didakwa beliau sebagai punca adalah presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan setiausaha politiknya kepada Khalid, Nik Nazmi Nik Ahmad.AMK Klang juga bagaimanapun yakin tindakan Badrul itu akibat telah ‘dipengaruhi’ oleh ‘orang ezam’Ia kerana Badrul dilihat banyak dipandu bekas setiausaha PKR Selangor, Nizam Rosli sewaktu menjawab soalan para wartawan.Nizam juga dikenali sebagai rakan karib bekas ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor meninggal PKR dan menyertai Umno selepas tidak sehaluan lagi dengan Anwar

Khamis, 29 Oktober 2009

Kenyataan Media Presiden PAS: “Isu Dalaman Parti Islam SeMalaysia (PAS)”




Kenyataan Media Presiden PAS
“Isu Dalaman Parti Islam SeMalaysia (PAS)”




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

PAS adalah merupakan sebuah organisasi siyasah, dakwah dan tarbiyah yang ditubuhkan sejak dari tahun 1951 dan pernah berhadapan dengan suasana yang lebih getir dalam lipatan sejarah perjuangannya. Semuanya berjaya dihadapi dan terus menerus mematangkan organisasi parti sehinggalah PAS mencapai kedudukan yang ada pada masa kini. Sehubungan dengan itu, saya meminta seluruh ahli dan kepimpinan PAS di pelbagai peringkat untuk bersabar dan bertenang dalam menghadapi persoalan dalaman parti pada waktu ini. Persoalan yang timbul ini tidak akan dapat diselesaikan menerusi penggunaan media massa dan media baru. Ianya perlu diselesaikan secara musyawarah dengan berpegang kepada budaya dan panduan yang menjadi pegangan PAS, sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya.

Saya juga sudah mengarahkan Dato’ Setiausaha Agung PAS untuk menentukan tarikh yang sesuai di waktu terdekat ini untuk diadakan satu mesyuarat bagi membincangkan persoalan yang timbul ini. Kita berdoa agar Allah SWT senantiasa memberikan taufik dan hidayah Nya kepada kita semua dalam usaha untuk merungkai permasalahan ini dan seterusnya memperkukuhkan parti.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS)

Kenyataan Media: Ahli PAS Kena Bijak Menghadapi Fitnah Media

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingatkan setiap ahli agar bijak dalam membaca sebaran berita di internet khususnya dalam blog, facebook dan juga media massa lainnya. Pada waktu ini PAS mendapati semakin banyak tuduhan liar dilontarkan oleh CyberTrooper Umno yang menyamar sebagai ahli PAS atau wakil pimpinan PAS di dalam media alternatif ini.
PAS mendapati mereka mengunakan isu Unity Goverment dan juga cadangan Tuan Guru Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat bagi menunjukan bahawa PAS kini berpecah.

Pemimpin Umno seperti Najib Tun Razak, Muhyiddin Yasin dan Zahid Hamidi bersilih ganti menangguk di air keruh dengan memberikan komen seolah-olah PAS kini sedang berpecah yang mana sebahagiannya mengambarkan seperti ada kumpulan dalam PAS yang mahu bergabung dalam Umno, sebahagian lagi mahu Mursyidul Am dan Presiden letak jawatan.

Dalam ucapan Muktamar yang lepas, telah dijelaskan oleh Presiden, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang, bahawa PAS tiada hasrat untuk bergabung dengan Umno dan isu Unity Goverment tidak berbangkit lagi.

Sehubungan dengan itu, kewujudan fitnah seolah-olah wujudnya pertemuan sulit pimpinan PAS yang Pro Unity Goverment dan Pro-Erdogan wajar difahami ahli sebagai satu gerak kerja saraf Umno untuk memecahkan parti ini kepada dua kelompok. Sesungguhnya tiada sebarang pertemuan sulit yang dilaporkan dan belum ada bukti yang diterima diperingkat kepimpinan PAS tentang kewujudan dua kumpulan ini melainkan individu-individu yang berbeza pandangan dengan pimpinan.

PAS melihat, selain jalan Musyawarah perlu juga Laporan Disiplin dibuat bagi mengesahkan setiap tuduhan yang dibuat untuk memudahkan kita mengetahui asal punca masalah ini.
Lembaga Disiplin PAS juga membuka ruang yang seluas-luasnya terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang mempunyai bukti mengenai fitnah ini atau mereka-mereka yang menyebarkan berita bahawa terdapat segelintir pimpinan PAS sedang berusaha membawa PAS bergabung dengan Umno untuk membuat Laporan Disiplin. Jika ada laporan dan bukti yang sahih kita akan membuat keputusan, walaupun yang didakwa itu Mursyidul Am, Presiden atau mana-mana pemimpin tertinggi parti sekalipun.

PAS yakin kerja-kerja fitnah CyberTrooper Umno dan mereka-mereka yang kononnya menjadi ahli PAS tetapi bekerja untuk Umno akan mati dengan sendirinya jika sebarang Laporan Disiplin gagal dibuat dan tiada sebarang pembuktian diserahkan kepada pihak Lembaga.
PAS meminta ahli bertenang dan tidak membuat sebarang ulasan terbuka mengenai perkara ini dan memberikan ruang kepada pemimpin bermusyawarah bagi mencari punca masalah ini. Gunakanlah saluran yang ada (Lembaga Disiplin) bagi mencari kebenaran dan menguatkan Ukhuwah dalam parti.

Marilah kita bersama-sama melakukan solat hajat moga mereka yang cuba menganiaya parti ini diberikan hidayah oleh Allah untuk menginsafi perbuatan mereka. Kita mohon pada Allah semoga PAS dileraikan dari belenggu fitnah dan perjuangan kita terus mendapat hidayah dariNya.


Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Kenyataan Media Siva : Siapa yang berbohong ?

29 Oktober 2009

Gambar yang ditunjukkan oleh Sivakumar membuktikan bahawa benar beliau dikasari dan dicekik oleh polis.

IPOH, 29 Okt :-Saya memanggil sidang media selepas penafian Ketua Polis Perak dalam akhbar Sinar menafikan polis bertindak kasar dan saya berbohong. Demikian kenyataan media oleh Speaker Dun Perak, V.Sivakumar dalam sidang media sebentar tadi di sini.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Adun-Adun Pakatan Rakyat, Drs. Khalil Idham Lim (Titi Serong), Ong Boon Piao (Tebing Tinggi), Chang Min Kai (Simpang Pulai), Tai Sing Eng (Kuala Sepetang), Chen Fok Chai (Keranji) dan Yee Siew Kai (Pokok Asam).

Rakan media ditayangkan rakaman kekasaran polis yang dilakukan terhadap Adun Pakatan Rakyat.

Beliau menegaskan siapa tipu, saya atau akhbar??, tanyanya.

Kenyataan Ketua Polis Perak seperti dibaca dalam Sinar Harian, apa yang dikatakan oleh Adun Pakatan Rakyat tidak benar.

Sivakumar mengatakan mereka merancang untuk membuat kekasaran kepada Adun dalam bangunan SUK. Saya juga mempersoalkan ramai orang lain termasuk peguam UMNO boleh masuk, namun kenapa kami Adun hanya satu persatu dibenar masuk ikut pintu besar yang buka sedikit sahaja.

Siva mengatakan yang sebenarnya yang mengatur drama ialah Zambry.

Bukti saya bukan buat drama ialah cebisan baju yang koyak yang ditunjukkan kepada media kelmarin, katanya lagi.

Saya menegaskan saya bukan menipu dan yang menipu ialah Ketua Polis Perak.

Saya mempersoalkan kenapa Ganesan di kawal oleh 22 orang yang mengelilingi tempat duduk Ganesan. Sedangkan saya pada 7 Mei lalu, saya tidak dijaga langsung oleh polis dan membantu apa yang saya arahkan.

Ipoh bagai zon perang, selar dakwaan Adun PR tidak dihalang-Nizar

Nazri Abdullah
Thu | Oct 29, 09 | 3:59:53 pm MYT

KUALA LUMPUR, 29 Okt:
Pakatan Rakyat Perak menyelar penafian yang dibuat ketua polis negeri itu yang mendakwa anggota keselamatan mereka tidak melakukan sebarang halangan dan kekasaran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan.

Menteri Besar Pakatan Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada satu sidang media di lobi parlimen siang tadi berkata, penafian oleh mana-mana pihak berhubung berlakunya kekasaran dan halangan terhadap Adun pakatan adalah satu penafian bohong.

Menurutnya, kesemua Adun Pakatan semalam di halang dan ada di antara mereka dikasari sewaktu ingin menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) tersebut.

"Kalaulah dinafikan oleh ketua polis Perak, ketua polis negara mahupun menteri dalam negeri, ini satu pembohongan," katanya.

Pihak polis dakwanya telah melanggar peraturan Panel Kod 124 Kanun Keseksaan kerana telah menghalang ADUN dari melaksanakan tugasan menghadiri sidang Dun.

ImageMenceritakan kembali pengalaman mereka menghadiri Sidang Dun Perak semalam, beliau memberitahu kesemua Adun pakatan berdepan sekatan pihak polis di lima tempat iaitu tiga sebelum masuk ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, dan dua sebelum masuk ke dewan persidangan.

"Kami disekat dengan lima 'check point' (pemeriksaan), di setiap check point itu kami hanya dibenar masuk seorang demi seorang.

"Keadaan itu sengaja dibuat supaya kami tidak masuk (dewan persidangan) sebelum pukul 10," katanya yang juga Adun Pasir Panjang.

Selepas memasuki pagar bangunan SUK, kesemua Adun Pakatan katanya ditolak ke kawasan letak kereta di bawah bangunan tersebut.

Jelasnya, tindakan tersebut bagi menghalang oarang ramai dan pihak media melihat kekasan yang mereka lakukan kepada Adun pakatan.

"Mereka menolak kami ke kawasan parking kereta supaya tidak dilihat umum.

"Di situlah mereka menjalankan 'operasi' mencekik sivakumar," ceritanya lagi.

Image

(Gambar: Ngeh Ko Ham menunjukkan aksi bagaimana speaker Pakatan Perak, V.Sivakumar di cekik)

Apa yang diketahui rakyat berhubung insiden semalam katanya, hanya antara secebis yang berlaku yang sempat dirakam oleh petugas media, malah masih banyak kekasaran lain diperlakukan kepada mereka khususnya kepada Speaker, V Sivakumar sebelum memasuki dewan persidangan.

"Saya lihat seorang anggota polis, ASP Bala nama dia, merampas songkok speaker Sivakumar di hadapan kami," katanya lagi.

Beliau juga mendakwa selain dicekik, Sivakumar turut dihentak diperut.

Selain itu, pelbagai tekanan lagi dilakukan kepada Adun pakatan termasuk dipaksa menggunakan laluan tangga kerana lif ke dewan persidangan diberhentikan, komputer riba dan kamera dirampas dan kesemua pintu masuk ke dewan dikunci dengan hanya satu laluan dibuka.

Kehadiran ratusan anggota polis mengawal bangunan SUK itu juga di ibarat Ipoh seperti berada dalam 'zon perang'.

Jelasnya jalan-jalan menuju ke bangunan tersebut yang ditutup, berpuluh trak polis dan simpanan persekutuan FRU merintangi pintu masuk ke bangunan SUK serta notis larangan berada di dalam kawasan 50 meter dari kawasan bangunan SUK seolah-olah wujud ancaman besar terhadap ibu negeri itu.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah semalam menafikan anggota keselamatan mereka melakukan kekasaran dan menghalang Adun Pakatan Rakyat memasuki Bangunan SUK untuk menghadiri sidang.

Beliau turut menolak dakwaan yang mengatakan speaker yang juga Adun Tronoh V.Sivakumar dikasari sehingga menyebabkan jubah yang dipakainya terkoyak.

Hadir sama pada sidang media tersebut, Adun Pantai remis, Nga Kor Meng dan Adun Setiawan Ngeh Ko Ham.

Semalam, Adun Pakatan memberitahu selain Sivakumar, sekurang kurangnya dua lagi dikasari pihak polis termasuk Nga Kor Meng di mana alat sulitnya dipegang manakala seorang lagi Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai diseret di lantai.

Dalam persidangan berasingan semalam, Pakatan Rakyat telah meluluskan dua usul dan satu usul tergempar.

Usul tergempar adalah rakaman takziah kepada mangsa tragedi program 1Malaysia di Kuala Dipang dan semua kem program latihan khidmat negara dan program luaran lain digantung sehingga siasatan kes tersebut selesai.

Dua usul lagi adalah bersetuju melantik bekas pengerusi PKR Perak, Osman Abdul Rahman sebagai senator dan merakam penghargaan terhadap laporan Ketua Audit Negara, sewaktu pentadbiran Pakatan pada tahun 2008.

Adun Perlabuhan Klang isytihar jadi Adun Bebas sokong BN

Harakahdaily
Thu | Oct 29, 09 | 3:43:02 pm MYT
SHAH ALAM, 29 Okt: Ekoran tindakan Menteri Besar Selangor mencadangkan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR), agar Adunnya di Perlabuhan Klang melepaskan jawatan, Badrul Hisham Abdullah hari ini mengisytiharkan dirinya keluar dari PKR dan menjadi Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional.

Beliau membuat pengumuman itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang ini

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo pula berkata, Umno sedia menerima Badrul untuk menyertainya.

Tan Sri Khalid Ibrahim dalam respon segeranya berkata, Umno boleh ambil Badrul sebagai wakil rakyatnya jika mereka mahu sangat. Namun Khalid mendesak, Badrul mesti bertanggungjawab kepada rakyat kawasan Perlabuhan Klang yang diwakilinya.

Pagi tadi, Badrul Hisham dicadangkan Pengerusi PKR Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar meletakkan jawatan.

Tindakan ini diambil selepas hampir setahun proses membetulkan keadaan dibuat namun terbuktinya ianya gagal dan sikap Adun berkenaan tidak berubah.

Menurut kenyataan pejabat MB, kerajaan Selangor prihatin terhadap aduan penduduk di Pelabuhan Klang mengenai ketidakupayaan Badrul Hisham menjalankan kewajipan beliau sebagai wakil rakyat.

"Sejak surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada beliau pada 20 Ogos 2009. Beliau tidak mengambil sebarang langkah untuk memperbaiki prestasi kerja beliau.

"Dalam surat jawapannya. Badrul Hisham telah menyatakan kesudian untuk berjumpa dengan pimpinan negeri dan parti..

"Namun demikian beliau masih enggan berjumpa dengan pimpinan kerajaan negeri ataupun parti, menjawab panggilan telefon dan SMS, serta membuka semula Pusat Khidmat beliau untuk penduduk Pelabuhan Klang," kata kenyataan tersebut.

ImageBerikutan itu, Khalid hari ini membuat satu usul kepada MPP PKR supaya Badrul Hisham meletakkan jawatan sebagai ADUN Pelabuhan Klang.

"Menteri besar juga akan menghantar satu delegasi untuk memaklumkan pendirian tersebut kepadanya dalam masa terdekat.

"Kerajaan Negeri tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin yang tidak bertanggungjawab kerana mereka ini hanya akan menggagalkan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf ekonomi dan sosial rakyat," kata kenyataan itu lagi.

Prof Abd Aziz Bari : PAS tidak akan berpecah

Oleh Prof Abd Aziz Bari

Saya menyinggung politik dalam Pas kerana saya melihat parti ini penting dalam Pakatan Rakyat. Dan Pakatan pula penting dalam politik baru Malaysia. Seterusnya politik baru ini kritikal dalam membina sistem dua parti yang akan menentukan sama ada perlembagaan kita dapat diperkasakan atau terus dimanipulasi untuk kepentingan politik sebagaimana yang kita saksikan selama ini.

Sesiapa yang menafikan bahawa perlembagaan telah dikembirikan selama 52 tahun ini adalah jahil dan menipu dirinya sendiri. Selain tindakan UMNO, istana dan mahkamah dalam krisis politik di Perak apa yang dilakukan sejak merdeka juga sebenarnya telah menghambat perkembangan kemerdekaan. Jika ada yang tidak percaya silalah teliti laporan Suruhanjaya Reid dan draf yang mereka sediakan dan bandingkan dengan dokumen perlembagaan yang ada hari ini. Kaji juga keputusan-keputusan mahkamah sejak merdeka.

Memang Pakatan belum tentu tidak jadi macam Barisan Nasional. Tapi saya fikir kita perlu realistik dan beri mereka peluang. Jika mereka gagal kita akan letakkan kembali Barisan di tempatnya sekarang. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini sahaja cara yang kita boleh lakukan.

Inilah gambar besar yang kita harus perhatikan. Bukan soal remeh temeh yang para pencacai politik cuba paparkan dalam blog-blog mereka. Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah nyanyuk dan menyusukan kera di hutan tidak relevan. Begitu juga dengan mereka yang cuba menonjolkan betapa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa dan perlunya orang baik ini dipertahankan.

Rakyat yang sedar kepentingan negara tidak bicara soal individu. Kita bicara soal arah dan masa depan negara. Tentang perlunya sistem negara ini diperbetulkan. Proses ini sudah pasti panjang dan berliku. Apa yang berlaku dalam Pas adalah salah satu daripada mata rantainya. Proses sama sudah bermula dalam PKR. Ini baik. Tak perlulah kita bertengkar tentang namanya. Kalau nak kata krisis pun katalah. Yang penting ia ubat yang akan menyembuhkan penyakit-penyakit yang ada.

UMNO baru sahaja mendapat suntikan baru dan ia pastinya tak senang dengan perkembangan itu. UMNO mahu Pas terus kekal dengan bisul yang sekarang cuba diubati oleh Nik Aziz. Sebab itu media miliknya ramai-ramai mengatakan bahawa krisis Pas dan PKR itu adalah tanda bahawa musuh ketat mereka sudah mula buang tabiat. Sebagaimana orang Pas dan PKR mengejek pergelutan dalam UMNO. Sebagai rakyat yang prihatin kepada hidup mati negara kita tidak harus terjebak dengan gelagat dan permainan ahli-ahli politik seperti mereka. Kita perlu fokus kepada gambar besar tadi. Kita perlu lupakan soal-soal yang tidak wujud dan remeh seperti kedudukan dan perpaduan Melayu, Islam dan macam-macam lagi. Lagipun sejak bila yang UMNO prihatin sangat dengan Melayu dan Islam ini?

Gambar besar yang dikatakan tadi merujuk kepada imej Pas dan ini berkait dengan persepsi rakyat kepada parti itu. Dalam senario dan landskap yang ada sekarang Pas cuma boleh mendapat sekitar 40 peratus undi Melayu. Ini bermakna ia perlu mengekalkan sokongan bukan Melayu jika hendak mengekalkan kedudukannya sekarang. Ini bukan soal menjual maruah Melayu dan Islam. Sebaliknya ia adalah cabaran kepada Pas bagaimana hendak menjelaskan konsep-konsep negara kebajikan dan Pas untuk semua yang telah dimulakannya. Abdul Hadi gagal di sini. Atau memang tidak mampu. Dalam keadaan sebegitu dia dan kawan-kawannya sembunyi-sembunyi berkira dengan UMNO.

Kita tak peduli apa namanya. Kita juga tak peduli sama ada mereka masih lagi meneruskannya atau tidak. Yang jelas aktiviti itu telah membolehkan UMNO memberikan ciuman maut buat Pas dan sekarang virusnya merebak dalam parti. Ia menyebabkan syak wasangka dan menimbulkan kemarahan bukan Melayu. Abdul Hadi dan kumpulannya perlu ingat bahawa UMNO mahu memujuk bukan Melayu dan sekiranya Pas boleh digambarkan berada bersamanya itu sudah cukup baik. Dalam keadaan itu hanya tinggal DAP dan PKR sahaja yang perlu ditangani.

Imej Pas sudah tercalar dan Nik Aziz sebagai seorang pemain yang licik dapat menghidunya. Abdul Hadi dan kawan-kawannya semacam terlupa siapa yang mengundi mereka dalam PRU ke 12. Jika tidak masakan Datuk Dr Hassan Ali terus berdegil dan cuba menjaringkan gol sendiri! Saya sudah beritahu bahawa beliau boleh lakukan apa yang dibuatnya itu. Tapi kenalah letak jawatan dan jadi penyokong kerajaan sahaja.

Sehingga ini nampaknya usaha Nik Aziz belum disekat secara rasmi meskipun ada suara-suara yang mempersoalkan. Tak kiralah apa cara dan namanya. Muktamar khas atau sekadar mesyuarat majlis syura atau mesyuarat jawatankuasa agung membincangkan isu itu. yang penting persepsi rakyat diperbetulkan sebelum pilihan raya kecil yang akan dating. Dalam senario politik yang ada sekarang pastinya UMNO gian hendak bertanding. Saya fikir orang Pas dan Pakatan takut sekarang. Saya dapat tahu Nasrudin Hassan ada berkata tidak takut berlengan di Bagan Pinang. Tetapi inikah jenis kepemimpinan yang hendak kita pamerkan?

Oleh kerana isu besar yang hendak ditangani berkait dengan imej dan persepsi saya fikir elok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pecat Hassan Ali dari kerajaan kerana kesalahannya cukup besar dan cukup jelas: melanggar perlembagaan negara dan negeri. Memang ini tak pernah dilakukan oleh UMNO Barisan. Tetapi inilah yang hendak ditunjukkan; yakni bahawa Pakatan serius dalam mendaulatkan perlembagaan yang menjadi tunjang dan nadi kepada demokrasi dan apa sahaja yang bersifatkan merakyatkan di negara ini. Saya tak fikir ada siapa yang boleh menghalang. Lagipun bukankah telah ada ketetapan yang menyekat gelagat seperti yang dilakukan oleh Hassan Ali itu? Di sisi undang-undang itu kuasa mutlak Khalid. Kalau Khalid tidak buat dia boleh dipersalahkan kerana tidak menjunjung perlembagaan.

Berbalik kepada Pas Datuk Seri Azizan Razak dikatakan tidak berminat. Mungkin itu cara orang politik: malu tapi mahu. Lagipun takkan dia hendak kata mahu. Pas perlu paksa Azizan. Lagipun dalam parti ramai yang kuat-kuat dan bertenaga. Khalid Samad contohnya. Dan ramai lagi.

Oleh sebab yang menjadi masalah ialah imej maka mereka yang terpalit dengan imej-imej yang negatif itu kenalah berundur. Ini bukan soal sudah tak buat kerja itu atau sudah bertaubat. Yang penting imej parti sudah rosak dan dalam politik hukumannya ialah letak jawatan dan beri laluan kepada orang lain. Saya tahu orang Pas ada yang marah. Tetapi mereka kena fikir bahawa itulah risiko yang perlu diambil apabila parti dirakyatkan. Dahulu mereka ejek UMNO. Sekarang baru mereka tahu susahnya mentadbir parti yang besar. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah ada orang Pas yang berfikir seperti zaman Pas masih parti kecil dahulu. Mereka inilah yang gagal meletakkan keutamaan. Bagi mereka yang berfikiran sempit ini apa sahaja cadangan untuk memperbaiki parti akan dilihat sebagai agenda anasir UMNO yang menyusup ke dalam parti.

Apakah Pas akan pecah? Saya tak fikir begitu. Dan saya tak fikir saya yang kerdil ini boleh menggoncang Pas. Lainlah kalau Pas ini harimau kertas. Sejarah politik ini cukup jelas bahawa parti serpihan tak lama. Pas bukan parti serpihan. Kalau pemimpin tertentu disingkirkan pun saya tak fikir akan ada yang ikut. Mungkin mereka akan merajuk beberapa hari. Lepas itu mereka akan balik. Kalau dalam UMNO pun begitu apalagi dalam Pas. Lagipun para pemimpin bermasalah yang disebut oleh Nik Aziz itu bukan hero; kebanyakannya sakit nak menang pilihan raya. Jadi kalau letak jawatan atau disingkirkan pun tidak akan ada kesan pada parti. Orang Pas tak perlulah percaya ramalan dan analisis media UMNO.

Ada juga yang mempersoalkan tidakkah penyingkiran bermakna membelakangkan keputusan perwakilan muktamar yang membuat pemilihan? Saya fikir ini tidak timbul kerana kita bukan mempertikaikan keputusan pemilihan. Kita mengatakan ada di antara yang terpilih telah gagal. Dan kita cadangkan supaya diminta berhenti atau letak jawatan. Kalau Pas berdegil dan tidak mahu membuat anjakan tunggulah keputusan rakyat nanti.

Apakah perubahan drastik itu semestinya menyelesaikan kelesuan? Kita tidak tahu. Tetapi apa yang penting sesuatu perlu dilakukan kerana jika Pas tidak berbuat apa-apa ia telah melakukan dua kesalahan; yakni sudah sedar ada sesuatu yang tak kena tetapi tidak berbuat apa-apa. Apa pun pemimpin baru itu akan diadili juga. Tidakkah kita beroperasi dalam sistem demokrasi?

BAGAIKAN DIJANJI - YB HJ NIZAR MENGIRINGI TUANKU RAJA MUDA MELAWAT JAMBATAN RUNTUH

http://misabah.blogspot.com 29/10/09

Kebetulan atau bagaikan di janji, YB Dato' Seri Hj Nizar telah mengiringi Tuanku Raja Muda Perak melawat tapak berlakunya jambatan gantung runtuh di Kuala Dipang semalam.

YB Hj Nizar telah berada di tapak jambatan gantung runtuh 2 jam sebelum ketibaan Tuanku. Sambil menunggu ketibaan Tuanku, beliau berjumpa dan bersalaman dengan pihak polis, bomba, pegawai-pegawai dari Kementerian dan Jabatan Pendidikan serta Adun-adun BN yang turut berada di situ.

Beliau sempat memberi pandangan kepada wartawan, polis, bomba, pegawai kerajaan dan yang lain-lain sebagai seorang jurutera profesional betapa silap dan salahnya kontraktor binaan tersebut yang membuat jambatan tanpa menggunakan plan asal yang mesti mempunyai spesikasinya. Beliau percaya kontraktor tidak ikut spesikasi yang sebenar.

Sehinggalah Tuanku tiba, YB Hj Nizar turut menyambut dan mengiringi tuanku sehingga tuanku berangkat pulang. Sepanjang mengiringi tuanku, orang ramai menyaksikan sendiri betapa akrabnya tuanku dengan YB Hj Nizar. Tertolaklah segala tohmahan UMNO BN kononnya Hj Nizar derhaka pada tuanku, mana mungkin orang yang derhaka pada tuanku, boleh bersama tuanku tanpa sedikitpun rasa bersalah atau malu.

Bukan sekali ini, YB Hj Nizar bersama dalam majlis bersama tuanku, sebelum inipun selepas UMNO BN tuduh Hj Nizar derhaka pada tuanku, Hj Nizar tetap menghadiri majlis bersama tuanku apabila dapat jemputan, dan ternyata hubungan tetap akrab dan mesra.