May 17, 09 1:37pm (malaysiakini)
Kira-kira 2,000 membanjiri kuil Batu Caves di Kuala Lumpur untuk menyaksikan pemimpin Hindraf, P Uthayakumar memotong jambangnya dan rambutnya sebagai tanda kesyukuran pembebasannya dari tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Kira-kira 20 orang, termasuk kanak-kanak, turut mencukur rambut mereka sebagai tanda sokongan terhadap peguam tersebut.
Mereka yang datang sejuh Kedah dan Pulau Pinang, kemudiannya mengusung Uthayakumar dan berarak dari tebing sungai, di mana rambutnya dipotong, hingga ke kuil Batu Caves dekat situ.
Mereka turut melaungkan 'Valga Uthayakumar' (Hidup Uthayakumar) dan 'Valga Hindraf'. Poster, baju-T dan lencana wajah pemimpin Hindraf itu turut dijual.
Sebelum itu, ahli Parlimen Puchong (DAP) Gobind Singh, yang turut hadir, menyifatkan Uthayakumar sebagai satu "ikon Malaysia."
Turut hadir memberi sokongan ialah Ahli Parlimen Kapar (PKR) S Manikavasagam.
Jumlah anggota polis yang hadir juga adalah minima.
Uthayakumar adalah antara lima pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA sejak Dec 2007 selepas terbabit dalam bantahan jalanan di ibunegara.
Kesemua mereka telah dibebaskan atas arahan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan