Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN (mstar)
BERIKUT perkembangan proses penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan.
11.15 PAGI: Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin mengumumkan status calon. Calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat dan calon PAS, Mohd. Fauzi Abdullah disahkan layak bertanding.
11.00 PAGI: Sesi pameran dan bantahan pencalonan sudah berakhir.
10.30 PAGI: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim juga berkunjung ke khemah PAS dan berbual-bual dengan pemimpin Pakatan, antaranya Datuk Husam Musa, Saifuddin Nasution Ismail, Hadi, Azmin dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
10.15 PAGI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkunjung ke khemah tetamu PAS dan bersalaman dengan pemimpin-pemimpin Pakatan. Ketika itu Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tiada di khemah kerana telah meninggalkan pusat penamaan calon kira-kira 20 minit yang lalu.
10.05 PAGI: Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengumumkan proses bantahan bermula. Sesi pameran dan bantahan borang penamaan calon bermula. Ia akan berlangsung selama sejam.
10.00 PAGI: Proses penamaan calon ditutup. Hanya dua calon serahkan borang iaitu calon BN dan PAS.
9.22 PAGI: Giliran calon PAS, Fauzi melengkapkan borang dan menyerahkannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin.
9.20 PAGI: Calon BN, Tuan Aziz selesai menyerahkan borang penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya. Selepas itu beliau kelihatan bersalam dan memeluk calon PAS, Fauzi.
9.10 PAGI: Calon PAS, Fauzi melangkah ke Dewan Petra untuk menyerahkan borang penamaan calon.
9.02 PAGI: Calon BN, Tuan Aziz masuk ke Dewan Petra untuk menyerahkan borang penamaan calon.
9.00 PAGI: Proses penamaan calon dibuka, akan berlangsung selama sejam.
8.50 PAGI: Calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tiba di pusat penamaan calon dengan diiringi ketiga-tiga Naib Presiden Umno iaitu Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.
8.32 PAGI: Calon PAS, Mohd. Fauzi tiba dengan diiringi pemimpin Pakatan Rakyat, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Azmin Ali, Salahuddin Ayub dan Tan Sri Khalid Ibrahim serta Dr. Tan Seng Giaw. Kira-kira 1,000 penyokong parti itu berkumpul di luar pusat penamaan calon.
8.25 PAGI: Anggota polis juga mengadakan kawalan keselamatan ketat di kawasan pusat penamaan calon.
8.15 PAGI: Penyokong-penyokong BN juga sudah mula berkumpul.
7.55 PAGI: Kira-kira 500 meter dari Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai, penyokong-penyokong PAS sudah mula berkumpul untuk berarak ke pusat penamaan calon.
7.45 PAGI: Kira-kira 100 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan mula berkawal di pintu masuk ke pusat penamaan calon iaitu di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai. Keadaan kelihatan tenang. Penyokong parti-parti utama bertanding belum kelihatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan