Salmah Mat Husain / Foto: Rizal Tahir Sun | Apr 12, 09 | 12:21:05 pm MYT | |
KOTA BHARU, 12 April (Hrkh) - Sempena program yang bertemakan 'Jom Sertai PAS', vokalis kumpulan rock Arrow, Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli, 40 telah membut kejutan apabila secarah sah menyertai PAS. Beliau menyerahkan sendiri borang keahlian itu kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri di atas pentas sebelum majlis berkenaan berakhir tengah hari semalam. Turut menyaksikan majlis yang penuh bersejarah lagi ceria itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato' Ahmad Yaacob, anggota exco kerajaan negeri Haji Abdul Fatah Mahmood, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah di samping beberapa orang pimpinan peringkat parti. Renggo yang berasal dari Tanah Merah Kelantan juga terkenal dengan jolokan raja syahdu adalah antara 50 orang golongan belia lain yang turut menyertai PAS sempena majlis yang julung kali pernah diadakan di peringkat negeri itu anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri. Menurutnya, beliau bersedia menyertai parti Islam itu setelah tertarik dengan ucapan Tuan Guru ketika merasmikan majlis berkenaan, walaupun ringkas namun padat serta berisi dengan mesej yang baik. Beliau yang tidak pernah mendengar ceramah agama dari pimpinan PAS sebelum ini, mengakui ucapan Tuan Guru cukup meresap dalam jiwanya. Beliau hadir pada majlis itu hari ini bersama artis lagenda kumpulan rock, Amy Search sempena majlis Himpunan Belia Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan. Bagaimanapun Amy Search yang menjadikan Tuan Guru sebagai 'idolanya' belum berbuat demikian. Katanya, untuk ketika ini beliau ingin kekal imejnya sebagai seorang penyanyi rock dengan tidak menyertai mana-mana parti politik. Katanya, pergerakannya dilihat secara halus oleh peminatnya sendiri, jadi untuk ketika ini beliau ingin berdiri sebagaimana artis biasa. "Namun pada masa hadapan saya belum dapat tentukan lagi keadaan saya, jika itu (sertai PAS) kehendak Allah tidak mustahil saya akan berbuat demikian," ujarnya. Sambungnya, beliau bersedia menerima undangan Dewan Pemuda PAS Negeri atas dasar tanggungjawabnya tanpa melihat risiko pada masa hadapan, kerana beliau tidak pernah memikirkan soal itu. "Tidak perlu fikir soal risiko sebab kedatangan saya ke sini langsung tidak pernah saya fikir ianya suatu risiko bahkan saya sebagai artis berhak ke mana-mana untuk tujuan yang baik dan untuk bersama peminat," ujarnya lagi. Namun bagi Amy jemputan menghadiri program tersebut merupakan suatu rezeki Allah yang tidak ternilai, apa lagi dapat membuat persembahan di hadapan Tuan Guru. Amy ketika berucap pada majlis itu turut menceritakan saat mula beliau bertemu dengan Tuan Guru yang turut hadir ke restorennya Cheng Ho di Kuala Lumpur. Selepas itu bertemu lagi di tanah suci Mekah selepas tiga hari berada di sana untuk menunaikan umrah. Peminat kedua-dua artis rock itu tidak melepaskan peluang untuk melihat Amy dan Renggo dari dekat di samping untuk bersalaman sehingga memaksa pengawal keselamatan bertindak untuk menjaga keselamatan Amy untuk menaiki kereta selepas majlis berakhir. |
Ahad, 12 April 2009
Vokalis kumpulan Arrow sertai PAS, Amy Search cuma perhati
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan