Rabu, 9 Mei 2012

TANAH : Perhimpunan Raksasa Di Nusajaya?

Oleh ibn_bacoks

JOHOR BAHRU – Gabungan Tanah Rakyat (TANAH) membayangkan satu perhimpunan raksasa akan diadakan jikalau Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor tidak mempedulikan tuntutan rakyat berkaitan masalah tanah.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, himpunan yang berlaku di Plaza Angsana baru-baru ini lahir daripada kesedaran rakyat yang berhadapan dengan isu tanah yang kritikal.

”Himpunan rakyat ini lahir daripada kesedaran rakyat yang mana isu tanah yang kritikal.

”Kalau tiada respon daripada (Datuk) Abdul Ghani Othman (Menteri Besar Johor), kita akan berhimpun jauh lebih besar dan berarak ke Nusajaya.

”Barisan Nasional bersiap sedialah. Kerajaan UMNO akan jatuh dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang,” tegas beliau lagi.

Sementara itu, Dr Boo Cheng Hau, Pengerusi DAP Johor berkata perhimpunan TANAH tidak mencetuskan sebarang kekacauan dan huru hara seperti didakwa kerana keselamatan negara adalah menjadi keutamaan Pakatan Rakyat (PR).




Sehubungan itu tambahnya lagi, dengan kehadiran rakyat pelbagai bangsa dan agama menggambarkan bahawa rakyat cintakan keamanan dan menolak kezaliman, rasuah dan penyelewengan.

”Ada pemimpin UMNO kata (sindir), Dr Boo Cheng Hau, seorang doktor kayap. (tidak mengapa) Kita perjuangkan semua kaum. Kalau pemimpin rasuah, kita tolak mereka untuk masa depan kita nak tanah untuk rakyat semuanya.

”Ada orang kata, (dengan adakan himpunan) kita huru-harakan di sini. Tidak ada! Kita hargai keselamatan negara,” tegasnya lagi.

Selasa, 8 Mei 2012

BERSIH 3.0 : Khidmat Guaman Untuk Mangsa



JOHOR BAHRU – Pusat Aduan Rakyat (PAR) Johor bercadang untuk menyediakan khidmat guaman kepada Fadzil Salleh, 53, setelah mendakwa dilanggar sebuah kereta peronda polis dalam satu kejadian pada perhimpunan BERSIH 3.0 baru-baru ini.
Penyelianya, Syed Othman Syed Abdullah turut menggesa pihak polis menjalankan siasatan secara telus dan profesional serta mengesan individu yang bertanggungjawab untuk dihadap ke muka pengadilan.
Dalam kejadian 28 April lepas, Fadzil bersama 5 rakannya berjalan kaki dalam perjalanan ke Dataran merdeka untuk menyertai perhimpunan itu.
Difahamkan, ketika berada di hadapan pusat membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dia ternampak sebuah kereta peronda polis berada pada jarak kira-kira 20 meter di pandu oleh seorang anggota polis sebelum hilang kawalan lalu merempuhnya.
”Kejadian berlaku terlalu pantas. Sebelum itu, saya ternampak seorang individu bertindak melontar botol mineral menyebablan cermin hadapan kereta peronda berkenaan retak, lalu kereta bergerak laju sebelum menghimpit ke sebelah kanan laluan.
”Dalam suasana panik itu, kereta itu terbabas lalu merempuh saya menyebabkan saya melambung dan tidak sedarkan diri,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat di Balai Trafik Seri alam, Pasir Gudang pada 29 April lalu.

TANAH Gegar ‘DATARAN RAKYAT’ !



JOHOR BAHRU – Pekarangan pusat beli belah terkenal Plaza Angsana yang dimiliki UDA Holdings Berhad telah dinobatkan sebagai Dataran Rakyat kerana ia sinonim dengan himpunan Tanah Rakyat yang menyatukan suara mangsa-mangsa berkaitan tanah dan sebagai mesej jelas kepada Menteri Besar Johor.
Menurut Naib Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim, selain menjadi tempat perbincangan buat rakyat biasa ia turut mendapat jolokan Parlimen rakyat apabila berjaya membongkar penyelewengan yang dilakukan kerajaan UMNO-BN selama 25 tahun lalu yang didakwa merampas tanah rakyat.
”Saya bercakap dengan penuh tanggungjawab. Kalau sesiapa rasa tidak setuju, boleh ambil tindakan.
”Tanah yang dirampas. Zaman (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) jadi menteri besar selama 2 penggal. (Datuk) Abdul Ghani Othman 3 penggal. Sebagai contoh, tanah orang Melayu di Pasir Gudang. Pembinaan pelabuhan. Johor Port. Ini siapa punya? Syed Mokhtar dan Dr Mahathir. Tanah orang Melayu diambil untuk kepentingan Melayu istimewa.
”Di Gelang Patah. Di bina pelabuhan Tanjung Pelepas. Dirampas dengan harga yang murah. Dibina pelabuhan Tanjung Pelepas. Siapa punya? ?Syed Mokhtar dan Dr Mahathir.
”Di Kukup, Pontian. Janakuasa Tanjung Ben. Diambil tanah orang Melayu. Siapa yang ambil?  Syed Mokhtar. Cukup beberapa bukti untuk heret ke mahkamah kalau salah,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya di hadapan ribuan manusia di pekarangan Plaza Angsana, dekat sini, baru-baru ini.

Isnin, 7 Mei 2012

Himpunan TANAH Berjaya Kumpul Ribuan Mangsa Tanah



Oleh Ibn_bacoks

JOHOR BAHRU – Himpunan tanah rakyat yang dimulakan tepat jam 2 petang di pekarangan pusat beli belah terkenal Plaza Angsana, dekat sini, sabtu lepas telah menghimpunkan ribuan orang yang mewakili mangsa-mangsa yang berkaitan tanah, pimpinan parti politik, wakil NGO (badan bukan kerajaan) dan pengunjung.

Antaranya yang berucap seperti wakil Denai Pinggiran Sri Rahmat, 6 badan bukan kerajaan (NGO) Pengerang, Desa Kempas, Manong, Ayer Hitam, Felda Cahaya Baru, Batu 18 Mersing, Kampung Setingga sekitar Johor Bahru, Tanah Gatecore Negeri Sembilan, Paya Ledang, Felda Ayer Hitam Simpang Renggam, Felda Pasak Kota Tinggi, Kampung Plentong Tengah, Gelang patah dan Ceroboh hutan simpan bakau di Sanglang Pontian.

Selain itu, pimpinan daripada Pakatan Rakyat (PR) yang turut berpeluang membuat kenyataan seperti Dr Mahfodz Muhamed, Pesuruhajaya PAS Johor, Dr Boo Cheng Hoo, Pengerusi DAP Johor, Hassan Karim, Naib Pengerusi PKR Johor, Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS, Mazlan Aliman, Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Johor, Badrul Hisham Shaharin (Che’gu Bard), Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM),

Dalam pada itu, himpunan yang berakhir jam 4.10 petang berada dalam keadaan aman itu turut menyaksikan kehadiran kira-kira 379 anggota keselamatan yang bertindak untuk memantau perjalanan majlis dengan diketuai sendiri oleh Ketua Polis Daerah Johor Bahru, ACP Ruslan Hassan.

Sementara itu, Gabungan Tanah Rakyat (TANAH) menegaskan bahawa rakyat negara ini berasa curiga terhadap penjualan tanah strategik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada kerajaan Singapura. Demikian kata Ketua Sekretariatnya, Suhaizan Kaiat.

”KTMB mempunyai tanah pajakan selama 999 tahun yang bermula pada tahun 1932 sehinggalah ke tahun 2931 kira-kira 1000 tahun, seluas 217 hektar di Singapura. Tanah sepanjang 30 kilometer ini adalah daripada Woodland, Kranji, Tanjung Pagar dan 3 lot di Bukit Timah (lot 76-2mk 16, lot 249 Mk 4 dan lot 32-10 Mk 16).

”Tanah ini cukup strategik kerana terletak di tengah-tengah Singapura, terlengkar dari utara di Woodland hingga ke Selatan di Tanjung Pagar. Tanah bernilai sejarah ini telah dijual kerajaan Malaysia kepada Singapura. Rakyat Malaysia khususnya di Johor Bahru berasa curiga terhadap penjualan tanah strategik ini.” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Salahuddin ayub, dalam kenyataan medianya menyebut himpunan tersebut mempunyai kesinambungannya dan program susulan akan diteruskan hingga ke peringkat akat umbi.

”Langkah seterusnya, kami akan adakan program road show secara besar-besaran seluruh Parlimen di Johor. Hal ini kerana untuk meningkatkan kesedaran rakyat berkenaan masalah tanah,” katanya lagi.

TANAH satu organisasi NGO mula mendapat perhatian umum setelah Dialog Masalah Tanah berjaya diadakan di Hotel Gode Hope bulan lepas dengan mengumpulkan mangsa berkaitan tanah di Johor.

Berikutan itu, pemilik UDA Holdings Berhad, Plaza Angsana, Datuk Nur Jazlan Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa sebarang perhimpunan yang melibatkan premisnya tidak dibenarkan sama sekali penganjurannya.

Bagaimanapun, Suhaizan dalam kenyataan balasnya mempersoalkan Jazlan di mana kewajaran bertindak sedemikian sedangkan premis itu merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), maka ini bermakna ia adalah milik rakyat. Oleh itu, rakyat berhak berhimpun di mana-mana tempat yang difikirkan perlu.

Dalam pada itu, beberapa hari sebelum perhimpunan, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff dilaporkan berkata pihaknya mengingatkan kepada mana-mana penganjur perlu mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan.

Malah, Ketua Polis Daerah Johor Bahru, ACP Ruslan Hassan ketika bercakap kepada pemberita selepas himpunan berkata penganjur perlu menghantar notis pemberitahuan 10 hari sebelum sebarang perhimpunan diadakan bagi mempamerkan kepada umum jika terdapat sebarang bantahan.

Difahamkan, beberapa hari sebelum perhimpunan, pihak penganjur telahpun menghantar notis kepada polis sebagai memaklumkan yang perhimpunan bakal diadakan pada premis milik UDA tersebut.

Janji Tinggal Janji?



PONTIAN – Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut mempersoalkan peruntukan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) An-Nur, Benut dekat sini yang didakwa belum diterima oleh pihak pengurusan sekolah terbabit.
Katanya, peruntukan itu diumumkan bagi kerja-kerja menaiktaraf kemudahan infrastruktur dan prasarana sekolah berkenaan.
Malangnya, janji yang ditabur itu hanya tinggal janji manakala program jelajah janji ditepati dicipta untuk tarik sokongan rakyat.
”Datuk Ahmad Maslan (ahli Parlimen Pontian) sebagai penasihat (sekolah) An-Nur. Peruntukan sebanyak RM7.5 juta diluluskan zaman (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin, Timbalan Perdana Menteri), sampai hari ini tidak diberinya lagi.
”PAR Benut sekadar ingin bertanya. Kenapa tidak disempurnakan (diagihkan peruntukan)?. Hal ini seolah-olah memburukkan UMNO sanggup tidak diberi peruntukan tersebut,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada majlis Ceramah Umum anjuran Dewan Pemuda PAS Pontian di pekarangan Markas PAS Cawangan Parit Markom Benut, dekat sini, baru-baru ini.
Turut berucap, Zaaba Abd Samad, AJK Gabungan Tanah Rakyat (TANAH), Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Pontian, Ustaz Mohd Faizul Hakim Ahmad, Ketua Dewan Pemuda PAS Pontian.
Pada majlis yang sama, pelancaran tandatangan berhubung isu Jalan Alternatif Pekan Tampok Ke Parit Betak telah dibuat bagi sama-sama menyokong tindakan penduduk sekitar dalam proses menghantar memorandum kepada YAB Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor. 

Ahad, 6 Mei 2012

Pesakit Strok Disantun PAR Benut



PONTIAN – Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut dalam program Ekspedisi Dakwahnya berkesempatan mengunjungi seorang pesakit strok, Mohd. Som Abd Wahid, 72, di Kampung Parit Keroma, Unit Peti Undi (UPU) Parit Keroma Benut, dekat sini, baru-baru ini.
Menurut Penyelianya, Ustaz Atan Gombang, kira-kira sepuluh bulan yang lepas Mohd Som merupakan seorang yang cergas aktif bagaimanapun menghadapi hidup yang sukar setelah terjatuh dalam bilik air.
Berikutan dengan itu, keadaan badan di sebelah kiri menjadi lumpuh dan dia hanya mampu terbaring di atas tilam dengan diurus oleh isteri dan anak-anaknya.
”Kata isterinya, dia strok sebelah kiri sejak sepuluh bulan lalu. Waktu itu dia nak solat isyak dan masuk bilik air. Tergelincir lalu jatuh.
”Daripada situ dia sakit sehinggalah sekarang. Setakat ini dia menggunakan khidmat perubatan tradisional dengan mengurut. Kos yang dikeluarkan lebih RM2000,” katanya lagi.
Terdahulu, kira-kira 11 orang ahli rombongan PAR Benut hadir sama dan sumbangan berbentuk wang tunai turut disampaikan oleh Ustaz Atan Gombang.
Dalam pada itu, kedatangan rombongan ini sedikit sebanyak membuatkannya berasa senang hati dan meringankan beban yang ditanggung.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang mempunyai keprihatinan yang tinggi diminta tampil membantu atau terus salurkan sumbangan kepada PAR Benut.

Khamis, 3 Mei 2012

TANAH : Yakin Lebih 10,000 Akan Berhimpun Di Angsana



AYER HITAM – ”Kalau tengok sambutan hari ini, 10,000 lebih boleh sampai (akan hadir perhimpunan Tanah Rakyat TANAH). Respon yang diberikan cukup baik momentum dari BERSIH lepas,” demikian kata Suhaizan Kaiat, Ketua Sekretariat Gabungan Tanah Rakyat (TANAH).
Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada kehadiran peserta yang menggalakkan pada majlis pelancaran program Konvoi TANAH di pekarangan Dewan Marwan Al-Hakim, Ayer Hitam, dekat sini, semalam.
Hadir sama, Ustaz Azam Abdul Razak, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Hj. Mardi Marwan, Naib Yang Dipertua PAS Ayer Hitam.
Katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, program yang bermula 10.00 pagi itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada ramai berhubung masalah tanah dengan aktiviti edaran risalah dan jelajah ke seluruh daerah di negeri ini.
Pada program yang sama, para peserta diagihkan mengikut kumpulan dengan melibatkan daerah seperti Batu Pahat, Pontian, Gelang Patah dan lain-lain,
Difahamkan, sebelum perhimpunan besar-besaran yang dijadualkan di Johor Bahru hujung minggu ini, perhimpunan bagi menyampaikan memorandum turut diadakan di pejabat tanah di setiap daerah.
Dalam pada itu, TANAH menuntut supaya dikembalikan Pulau Batu Putih, siasat penyerahan tanah KTM Tanjung Pagar, hentikan pengurniaan tanah KPRJ dan kroni, rampas tanah penyeleweng, selamatkan tanah rizab Melayu, wartakan tanah rizab orang Asal, ketelusan pengurniaan tanah, pemilik tanah miliki ekuiti projek mega, selesaikan projek rumah terbengkalai dan menghentikan manipulasi dan kurangkan birokrasi.
Sehubungan itu, gesaan umum agar menyertai pehimpunan di pekarangan pusat beli belah terkenal Plaza Angsana 5 Mei dibuat sebagai menyokong tuntutan yang dibawa dan didengari pihak kerajaan UMNO-BN.

Tidak Mampu Mentadbir? Ghani Diselar



PONTIAN – Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor diselar berhubung kenyataannya mempertikai kemampuan pembangkang mentadbir negara ini sedangkan beliau didakwa gagal menunaikan tanggung jawabnya sebagai pemerintah di negeri Johor.
Akhbar Sinar Harian 24 April lepas menyiarkan kenyataan Abdul Ghani Othman memperlekeh pembangkang sebagai menyebut ‘Tidak Mampu Mentadbir’ lalu mendakwa pelbagai cara dilakukan untuk tolak kerajaan sedia ada.
Menurut Ustaz Atan Gombang, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut bahawa pihaknya menerima banyak aduan berkaitan kegagalan UMNO melengkapkan prasarana dan kemudahan kepada rakyat terutamanya di kawasan pedalaman.
Katanya lagi, di Kampung Pekan Tampok yang berkedudukan di Parlimen Pontian, bersempadanan dengan Parlimen Batu Pahat seolah-olah terpinggir dari arus kemajuan kerana ada jalan yang separuh diturap dan keadaan ‘jiran’nya jauh lebih baik.
”Pekan Tampok berada di Dun Benut. Manakala di Kampung Parit Wak Kawek pula, Dun Rengit. Prasarana di Dun Rengit jauh lebih baik dari di Benut.
”Kami terima aduan. Kampung Parit Lapis Tampok banyak yang berlubang. Dewan orang ramai pula tidak menampakkan bayang. Begitu juga Jeti memancing yang sudah reput. Penduduk mendakwa, walaupun peruntukan telah diluluskan untuk membaikinya tapi kenapa dialih ke Tanjung Piai?.
”Malangnya, Kampung ini adalah kubu kuat UMNO. Bekas wakil rakyatnya adalah orang sini. Tapi apa penghargaan UMNO kepada penduduk di sini?,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada majlis Dialog Bersama Penduduk Tampok Laut Benut, dekat sini, baru-baru ini.
Pada majlis yang sama, penduduk telah mencapai kata sepakat dengan menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi mendesak kerajaan memenuhi tuntutan mereka.
Antara tuntutan penduduk seperti mengadakan gelanggang futsal, dewan orang ramai, mewujudkan industri Kecil Sederhana (IKS), tangani isu jalan dan membaiki jeti di kuala sungai Tampok.

Rabu, 2 Mei 2012

Lagi Provokasi Dibuat, Kini Giliran PAGOH



PAGOH – Setelah Johor digegarkan dengan Perbuatan pihak tertentu yang membuat provokasi di tiga kejadian simbah cat dalam masa seminggu nyata geraf saraf sebuah parti perkauman dalam negara tidak putus asa mencipta propaganda agar sentimen agama terus dimainkan dengan licik sekali.
Terbaru, Bunting provokasi turut dikesan di Parlimen Pagoh yang mana Tan Sri Muhyiddin Hj. Yassin, Timbala Perdana Menteri Malaysia adalah penyandangnya.
Hairan dengan tindakan tidak bertamadun ini, Dewan Pemuda PAS (DPPK) Pagoh menyifatkan ia sebagai satu tindakan yang tidak profesional yang dilakukan oleh golongan terdesak tersebut.
“Ini namanya baling batu sembunyi tangan. (tindakan ini)Tak profesional langsung,” Ujar jurucakapnya di laman sosial rasmi facebooknya.
Bengang dengan isu tanah yang diperjuangkan PAS negeri dipercayai antara sebab yang mendorong tindakan itu dilakukan setelah DPPK Muar, Bakri dan Pagoh menyerahkan memorandum tanah kepada Pejabat Daerah Muar baru-baru ini.
“Alhamdulillah, penyerahan memorandum kepada Pejabat Daerah Muar sempurna di terima oleh Encik Farhan, Penolong Pegawai Daerah Muar. Memorandum TANAH dan sekali lagi penyerahan memorandum Peneroka Sungai Pulai di sertai 100 yang lain. Tahniah kepada Dppk Ledang, Dppk Bakri, Dppk Pagoh dan semua yang memberi sokongan. Semoga diberkati Allah,” kata Mohd Faizul Salleh, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Johor dalam satu kenyataan.
Selain itu, isu Lynas dipercayai turut memberi tekanan perasaan pihak tertentu apabila sekumpulan rakyat mengadakan perhimpunan aman di Pekan Pagoh baru-baru ini.
Kira-kira 100 orang berhimpun sebagai membantah pembinaan loji nadir di Lynas, Pahang seperti yang disiarkan dalam laman facebook Dppk Pagoh.
Walaupun Pagoh dianggap selesa bagi Muhyiddin bagaimanapun dengan provokasi sebegini sedikit sebanyak mencalarkan kredibiliti ahli Parlimen itu yang rata-ratanya, umum menganggap publisiti murahan seperti ini adalah satu strategi lapuk dan ketinggalan zaman. Soalnya, adakah  Muhyiddin sudah rasa tergugat untuk mengekalkan kedudukannya dalam Plihan raya Umum (PRU) 13 nanti?

GHANI Syok Sendiri Dengan Slogan Rakyat Didahulukan?



ADAKAH Datuk Abdul Ghani Othman, Pengerusi Barisan Nasional Johor menyedari setelah kenyataannya dibuat dengan menyebut pelbagai pendekataan telah diterjemahkan melalui program atau inisiatif, sedangkan masih ada kampung yang belum menerima prasarana dan kemudahan asas sepenuhnya.
Paling memalukan beliau dilaporkan berkata program tersebut merupakan bukti rakyat didahulu malangnya bagi sebahagian penduduk di Kampung Parit Betong Darat, Parit Sulong yang disiarkan Sinar Harian 24 April lepas meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa berhadapan dengan jalan lecak terutama pada musim hujan.
Mereka mendakwa keadaan sedemikian seolah-olah dipinggirkan dan permasalahan itu seperti tidak diendahkan.
Sebelum ini, Ghani turut menegaskan bahawa kerajaannya kini hanya melakukan kerja melebar jalan sahaja kerana 20 tahun dulu sudah diturapnya jalan di setiap kampung di negeri ini.
Bagaimanapun, penduduk di situ mendakwa sudah menanti 20 tahun untuk mendapatkan jalan yang lebih selesa meskipun banyak kali aduan dan permohonan sudah diajukan kepada pihak berkenaan.
Malah penduduk turut mendakwa bagaimana di kawasan lain yang boleh dinaik taraf dengan segera dan hal ini telah menimbulkan kehairanan yang berpanjangan.
Bukan itu sahaja, mereka juga bimbang apabila laluan berkenaan tidak disediakan kemudahan lampu jalan, di mana keadaan itu boleh mengundang bahaya kepada penggunanya.
Sikap syok sendiri Ghani nyata memakan diri lebih-lebih lagi Datuk Seri Mohd. Shafei Apdal sebelum ini pernah melabelkan Johor adalah antara negeri ‘termaju’ apabila mendakwa kampung pedalaman sudah ada jalan berturap dan kenderaan masing-masing untuk menjalankan rutin harian.
Soalnya, siapa yang ditipu atau yang berbohong apabila kenyataan seperti ‘Sepanjang tiga tahun Perdana Menteri menerajui kepimpinan negara dengan pelbagai pendekatan pendekataan telah diterjemahkan melalui program atau inisiatif dan ia adalah bukti rakyat didahulukan’ dibuat?