| Hazayani Zakaria Wed | Nov 04, 09 | 5:26:31 pm MYT | |
| KUALA LUMPUR, 4 Nov: Ahli Parlimen PAS kesal dengan penyelewengan fakta yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di dewan rakyat berhubung pembayaran royalti petroleum kepada rakyat Kelantan.
Pengumuman Najib bahawa kerajaan pusat akan memberikan wang ehsan kepada rakyat Kelantan, bercanggah dengan akta 144 kemajuan petroleum 1974 yang memperuntukkan lima peratus mesti diberikan kepada negeri pengeluar minyak.Salahuddin Ayub (PAS - Kubang Kerian ) berkata, pembayaran wang ehsan yang diputuskan itu jelas bertentangan dengan akta 144 kemajuan petroleum 144 dan merupakan satu pembohongan terhadap rakyat Kelantan. "PAS kesal dan dukacita dengan jawapan perdana menteri tadi tentang pembayaran royalti minyak yang ditukar dengan wang ehsan. Jelas ianya penyelewengan fakta yang terkandung dalam akta 144 petroleum negara yang jelas memberikan lima peratus untuk negeri yang mengeluarkan minyak," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi parlimen pagi tadi. Beliau juga berkata, rakyat Kelantan tidak mengharapkan wang ehsan sebaliknya mahu hak mereka ke atas royalti minyak dikembalikan. "Rakyat Kelantan bukan peminta sedekah. Mereka memperjuangkan hak di atas semangat federalisme. Kita (ahli parlimen PAS) akan perjuangkan hak ini dan jelas jawapan perdana menteri tadi bertentangan dengan semangat federalisme, bertentangan dengan perlembagaan dan akta 144 petroleum yang disebut tadi," tegasnya yang juga Naib Presiden PAS.
Najib dalam jawapannya berkata Kerajaan Persekutuan akan memberi wang ehsan kepada Kelantan daripada hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu mulai tahun depan. Najib juga berkata, kerajaan Kelantan tidak berhak menerima wang royalti minyak di perairannya kerana ia terletak di kawasan bertindih. Dr. Dzulkifly Ahmad (PAS � Kuala Selangor) pula mahu tindakan undang-undang diambil terhadap Najib yang juga menteri kewangan kerana menyelewengkan fakta dengan mensyaratkan kedudukan telaga minyak mesti tiga batu nautika dari darat untuk mendapat royalti sedangkan dalam akta petroleum tidak disebutkan syarat itu. "Jelas perdana menteri tadi melakukan penyelewengan fakta dengan menyebut tentang pensyaratan 3 batu nautika sementara akta 144 petroleum tidak dinyatakan syarat ituuntuk berikan royalty," tegasnya. Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS Pokok Sena) pula menyifatkan Najib sebagai pengecut kerana tidak berani mengambil tindakan yang betentangan dengan tindakan Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menarik kembali royalti minyak yang diberikan kepada rakyat Terengganu apabila PAS mengambil alih pemerintahan negeri itu. "Saya melihat Datuk Seri NAjib begitu kerdil dan takut untuk mengambil tindakan yang sama dengan bekas perdana menteri dahulu, Tun Mahathir," "Tun Mahathir pernah tarik balik riyalti minyak Terengganu apabila PAS perintah negeri itu. Jadi tindakan yang sama dibuat apabila telaga minyak dan gas ditemui di Kelantan," katanya yang juga Naib Presiden PAS. Menurut beliau juga, PAS akan mendapatkan bantuan daripada pakar undang-undang untuk mengambil tindakan kepada kerajaan persekutuan yang telah menafikan hak rakyat Kelantan. "Kami akan bincang dalam parti untuk memberi nasihat kepada kerajaan Kelantan untuk dengan bantuan penasihat undang-undang untuk ambil tindakan perundangan sepertimana kerejaan Terengganu di bawah pimpinan PAS satu masa dahulu menyaman kerajaan pusat yang telah menafikan hak kerajaan negeri," katanya. Khalid Samad (PAS � Shah Alam) pula menegaskan kerajaan pusat tidak berhak ke atas royalti minyak itu kerana laporan kewangan petronas mengakui negeri-negeri pengeluar minyak di Malaysia adalah Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan. "Ia bercanggah dengan laporan kewangan petronas yang menyebut negeri-negeri pengeluar minyak di malaysia adalah Sabah, Sarawak Terengganu dan kelantan. Berdasarkan kepada laporan, ia mengakui ia milik kelantan. Maka royalti itu harus diserah kepada kerajaan yang dipilih rakyat," "Ianya bererti bahawa kerajaan pusat tidak ada hak untuk memegang wang rakyat Kelantan," tegasnya. Siti Zailah Mohd Yusuf (PAS �Rantau Panjang) dalam pada itu meminta kerajaan menjelaskan kepada rakyat kenapa royalty yang telah sekian lama dituntut digantikan dengan pemberian wang ehsan. Beliau turut mempersoal di bawah akta dan peruntukan manakah wang ehsan ini diberi. "Kami mminta kerajaan jelaskan kenapa rakyat kelantan harus diberikan wang ehsan sedangkan mereka menuntut royalti minyak dikembalikan," "Dan kadar wang ehsan itu dikira berdasarkan akta mana?" Soalnya. |
Rabu, 4 November 2009
Najib seleweng fakta hak royalti minyak Kelantan
Rayuan Nizar esok, PAS Perak solat hajat malam ini
| Harakahdaily Wed | Nov 04, 09 | 4:21:20 pm MYT | |
| IPOH, 4 Nov: PAS Perak hari ini menyeru seluruh ahli parti itu mengadakan solat hajat berdepan keputusan siapa Menteri Besar perak yang sah yang bakal diputuskan Mahkamah Persekutuan esok.
Pesuruhjayanya, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata, ianya bagi memohon pertolongan dari Allah agar memberi kemenangan kepada perjuangan Islam negeri itu.Beliau juga telah mengeluarkan arahan kepada pimpinan PAS di semua kawasan agar menunaikan solat hajat malam ini. "Saya mengarahkan kepada semua ahli PAS Perak disemua peringkat, supaya melakukan solat sunat hajat secara berterusan, mohon kepada Allah SWT agar diberi kemenangan dan kekuatan kepada PAS," katanya. Solat hajat itu juga katanya bagi mendoakan keselamatan Menteri Besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari sebarang perancangan jahat musuh.
22 Mei lalu, Mahkamah Rayuan mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei yang telah memutuskan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah. Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop juga telah mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.Nizar pada 19 Jun lalu bagaimanapun telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.Turut dipohon supaya kes membabitkan pertikaian Menteri Besar Perak itu di dengar oleh 11 hakim.Ekoran itu Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan Nizar dan menetapkan rayuan didengar esok. |
Selasa, 3 November 2009
Jim syor Jais jadikan kes Dr Asri sebagai tauladan
Tue | Nov 03, 09 | 8:41:20 pm
KUALA LUMPUR, 3 Nov:Jamaah Islah Malaysia (Jim) mengesyorkan supaya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengambil kesempatan krisis keyakinan terhadapnya ekoran penangkapan Datuk Dr Asri Zainul Abidin untuk meneliti semula enakmen-enakmen pentadbirannya.
Langkah ini perlu supaya ia tidak mengekang pengembangan ilmu yang boleh memberi manfaat kepada umat Islam, kata Presidennya, Zaid Kamarudin.
Zaid turut sama menyertai kekesalan umat Islam di negara ini ekoran cara penangkapan Asri itu oleh pegawainya dengan bantuan polis.
Pada hari Ahad, 1 November 2009, negara dikejutkan dengan penangkapan bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Dr Mohamad Asri Zainul Abidin oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan bantuan Polis di sebuah rumah banglo di Hulu Kelang.
Penangkapan dilakukan atas dakwaan bahawa Dr Asri tidak mempunyai tauliah ketika beliau menyampaikan kuliah agama kepada lebih kurang 300 orang di rumah berkenaan.
Dr Asri bukan sahaja seorang ilmuan Islam dengan kelulusan ijazah doktor falsafah dalam pengajian Al-Qur'an dan sunnah, beliau adalah bekas Mufti Kerajaan Negeri Perlis dan merupakan pensyarah bahagian pengajian Islam di Universiti Sains Malaysia.
Berikutan penangkapan tersebut, pelbagai pihak telah mempertikaikan cara penangkapan dilakukan. Menurut laporan-laporan media, beliau ditahan pada jam 12.10 tengah malam dan dibawa ke Balai Polis sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira jam 1.10 pagi.
Beliau kemudian diarah hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada jam 9.00 pagi keesokkannya untuk dituduh.
Namun setelah disemak peguam beliau, didapati bahawa tiada pendakwaan telah difailkan di mahkamah.
Beliau akhirnya dibebaskan pada kira-kira jam 12.30 tengahari dengan jaminan JAIS tanpa sebarang pendakwaan tetapi boleh dipanggil oleh JAIS pada bila-bila masa untuk siasatan lanjut.
Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Dr Asri di minta ke mahkamah bukan untuk didakwa tetapi untuk jaminan bon bagi melanjutkan tempoh siasatan.
Menurutnya lagi, Dr Asri akan didakwa selepas jabatan itu selesai menjalankan siasatan berhubung kesalahan mengajar agama tanpa tauliah.
Katanya, Dr Asri akan didakwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) yang menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada Jais.
Ekoran itu, kata Zaid dalam kenyataannya, Jim mempersoalkan kaedah penangkapan yang dilakukan.
"Mengapakah beliau ditahan secara mengejut dan mengaibkan seperti penjenayah besar sedangkan beliau boleh dipanggil dengan cara yang lebih profesional dan hormat untuk bertemu Jais atau mana-mana pihak berkuasa?" soal Zaid.
Pengarah Jais sendiri menyatakan bahawa Dr. Asri telah lama dipantau.
"Mengapakah pula tiada pertuduhan atau pendakwaan difailkan di mahkamah sedangkan tangkapan telah dibuat pada hari sebelumnya? Apakah motif di sebalik penahanan begini?" soalnya lagi.
JIM melihat bahawa adalah menjadi kewajipan kepada umat Islam apabila berselisih untuk mereka kembali kepada Al-Quran dan As-sunnah.
Allah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (An-Nisa : 59)
Apatah lagi sekiranya perkara yang diperselisihkan itu adalah perkara yang boleh diselesaikan secara musyawarah dan tidak perlu dibawa ke mahkamah, kata Zaid.
Jim berpendapat bahawa sewajarnya Jais lebih berhemah dalam membuat penangkapan dan pertuduhan terhadap sesiapa juga tidak kira rakyat biasa atau seorang bekas Mufti kerana dikuatiri tindakan mereka boleh mengakibatkan salah tafsir atau boleh mencacatkan sistem keadilan Islam itu sendiri.
Dalam melaksanakan tindakan, sandaran Al-Qur�an dan sunnah harus dijadikan panduan selain mengambil pendekatan kaedah-kaedah fiqh seperti Al-Aslu bara�atu zimmah iaitu seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah, tambah Zaid.
Di samping itu, katanya, keadilan bukan sahaja dilaksanakan tetapi harus dilihat dilaksanakan dalam proses dan prosidur berkaitannya.
"Jim berharap Jais akan bersikap amanah, jujur dan profesional dalam melaksanakan siasatan yang bebas, adil dan telus ke atas Dr Asri. Pemeliharaan keadilan dan hak asasi serta karamah insan haruslah menjadi pegangan," katanya.Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden MCA - ROS
PUTRAJAYA: Datuk Seri Chua Soi Lek masih Timbalan Presiden MCA, kata Pendaftar Pertubuhan (ROs) Datuk Md Alias Kalil.
Ini kerana tidak berlaku kekosongan jawatan itu memandangkan keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA pada 10 Oktober lepas tidak memenuhi keperluan dua pertiga majoriti supaya beliau dilucutkan seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 35 Perlembagaan MCA, katanya di sini hari ini.
Beliau berkata surat mengesahkan kedudukan Chua itu dihantar kepada MCA hari ini.
"Surat itu mengesahkan tidak berlaku kekosongan jawatan Timbalan Presiden MCA. Jawatan itu hanya boleh terlucut jika delegasi memberi majoriti dua pertiga untuk dilucutkan," katanya.
Chua sebelum itu berkata beliau telah menerima surat daripada ROS yang mengesahkan beliau masih Timbalan Presiden MCA.
Pada Ogos lalu, Majlis Presiden MCA memecat Chua daripada parti itu berkuatkuasa serta merta berikutan kes skandal seks beliau yang terpapar dalam DVD dua tahun lepas.
Bagaimanapun, pada 19 Sept, Jawatankuasa Pusat parti itu membatalkan keputusan pemecatan itu dan sebaliknya mengenakan hukuman gantung keahliannya selama empat tahun. BERNAMA
Koleksi Gambar Dr.Asri Semasa Tangkapan dan Di Mahkamah
Antara gambar semasa tangkapan JAIS dan POLIS semasa kuliah Dr.Asri di Selangor tempohari.Antara yang mendengar kuliah beliau adalah Ahli Parlimen PkkKR ( Yb.Zuraida) dan Yb.Tuan Haji Saari Sungib (Adun Hulu Kelang) dan 200 hadirin yang hadir mendengar kuliah beliau..
Dr Asri di mahkamah….satu penantian kosong...
Jika soal berceramah atau mengajar agama tanpa tauliah dijadikan sebab, tiada yang pelik penahanan bekas mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin kecuali beliau seorang yang dikenali umum kerana beberapa pandangannya pernah dianggap kritikan kepada tertentu.Namun, tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahannya Ahad malam dan tiada pendakwaan terhadap Dr Asri yang hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur hampir tiga jam pagi Isnin, menghairankan ramai pihak.Lebih pelik lagi, sehingga jam 11.30 pagi, tiada pegawai-pegawai JAIS di Pejabat Agama di AU 2 Keramat itu menjelaskan kepada Dr Asri kenapa beliau ditahan dan apakah dakwaannya.
GAMBAR - RIBUAN RAKYAT HADIRI CERAMAH TOK GURU DI PERAK PADA 1.11.2009
N RAKYAT HADIRI CERAMAH TOK GURU
Hujan renyai-renyai dan sekali sekala lebat tidak menghalang ribuan rakyat dari menghadiri ceramah yang disampaikan oleh Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Chemor malam tadi.
Turut serta dalam majlis tersebut ialah YB Dato' Seri Hj Nizar, YB Dato' Ngeh Kho Kham dan Mustapha Kamil Ayob. Mereka juga turut menyampaikan ceramah dalam majlis tersebut.
Ucapan YB Dato' Ngeh Kho Kham mencuit dan menyentuh orang ramai, beliau bukan sahaja mengulas sidang DUN 28 oktober dan bajet 2010 yang dibentang oleh Najib di Parlimen malahan mengupas isi-isi ucapan Tok Guru yang disampaikan dalam konvensyen. Jelas sekali kupasannya terhadap konsep takwa sebagaimana yang dikupas oleh Tok Guru. Ini menunjukkan bahawa beliau cukup memahami beberapa perkara dalam Islam setelah berkawan dan mendengar ucapan-ucapan dari pimpinan PAS, semuga sahaja beliau akan mendapat petunjuk dari Allah swt dan terbuka hatinya untuk menerima Islam.
Kesempatan itu juga, Tok Guru telah merasmikan bangunan Markaz PAS Cawangan Pekan Chemor yang akan menjadi pusat kegiatan parti dan kemasyrakatan.
Dr Asri: Hormati hak individu untuk tuntut ilmu
KUALA LUMPUR, 2 Nov:Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin meminta pihak-pihak tertentu agar tidak menggunakan kuasa agama sewenang-wenangnya untuk menangkap dan menghukum seseorang serta menghormati hak asasi seseorang untuk menuntut ilmu.
Beliau yang ditahan atas kesalahan mengadakan kuliah agama tanpa tauliah berkata, kerajaan seharusnya menyelaraskan tauliah yang diberikan agar dapat digunakan di semua negeri, bukan untuk negeri-negeri tertentu sahaja.
"Kalau satu individu nak berceramah di 14 buah negeri, takkan kena ada 14 tauliah. Kita mahu diselaraskan satu tauliah, supaya boleh dipakai di semua negeri. Saya boleh mengajar di universiti, pensyarah di USM Pulau Pinang. Saya ada pelajar master dan PHD di bawah (seliaan) saya. Mari nak mengajar di sini (Selangor), dia (JAIS) kata tak boleh. Universiti tu universiti kerajaan juga," katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, siang tadi.
Beliau tiba di perkarangan mahkamah itu sejak 8.45 pagi sebelum dijadual dituduh jam 9 pagi.
Bagaimanapun menjelang jam 1 tengah hari, beliau dibebaskan dengan jaminan Jais selepas menunggu pihak pendakwaan hampir empat jam di situ.
Image Ditanya adakah tangkapan ini akan melunturkan semangat beliau untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat, beliau berkata:
"Saya Alhamdulillah tak rasa apa-apa. Saya rasa mudah-mudahan (tangkapan) ini boleh menjadi satu titik tolak dalam negara ini supaya kita menggubal undang-undang yang lebih terbuka dalam negara. Hormati hak asasi hak masyarakat untuk mendapatkan ilmu,"ujarnya penuh semangat.
Dr Mohd Asri ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.
Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk ahli parlimen Ampang (PKR), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.
Sementara itu ahli parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali (gambar bawah) yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat kesal dengan penangkapan yang dilakukan terhadap Dr. Asri.
"Saya rasa memang sangat tidak wajar beliau ditangkap begitu kerana beliau adalah seorang ulama', bukan sahaja terkenal dari segi populariti tetapi dari segi ilmu. Sehingga ke peringkat PhD," katanya ketika ditemui di lobi parlimen siang tadi.
Sebelum itu beliau turut hadir ke mahkamah bagi menunjukkan sokongan moral kepada Dr. Asri.
Beliau turut menyifatkan tangkapan yang dilakukan Jais itu sebagai mengaibkan dan menjatuhkan maruah Dr. Asri sebagai tokoh agama yang disegani masyarakat."Cara penangkapan itu memang mengaibkan dan menjatuhkan maruah beliau. Saya difahamkan antara 50 ke 100 orang polis ada bersama-sama pegawai-pegawai JAIS untuk menangkap seorang ulama. Saya rasa sangat kesal,"ujarnya.
Beliau juga tidak menafikan kemungkinan wujudnya unsur sabotaj pihak tertentu kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor kerana penangkapan itu dilihat sangat bertentangan dengan sikap kerajaan negeri yang sangat terbuka dalam menyalurkan ilmu kepada masyarakat.
"Saya bimbang ada unsur sabotaj kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebab saya lihat penangkapan ini sangat bertentangan dengan kehendak kerajaan Selangor yang sangat terbuka terhadap ilmu. Tiba-tiba seorang yang berpontensi seperti Dr. Asri ditangkap dan dimalukan begitu sekali," katanya lagi.
Ahli parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudin (gambar) yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara pula berpandangan, jika memang benar Dr. Asri ada melakukan kesilapan sewaktu menyampaikan ilmu, beliau tidak seharusnya diperlakukan sedemikian.ImageBeliau juga berkata, masalah tiada tauliah seperti yang didakwa seharusnya tidak timbul memandangkan latar belakang Dr Asri yang terkenal dalam bidang agama dan pernah memegang jawatan mufti.
"Dalam kes Dr. Asri, bagi saya bukan masalah tauliah yang patut kita utamakan. Sebab beliau adalah di antara orang yang dikenali latar belakangnya. Lebih-lebih lagi kerajaan Perlis pernah ambil beliau jadi mufti. Beliau pun bekas pensyarah dan kini menjadi pensyarah pula. Jadi orang-orang yang kita tahu latar belakang pendidikan yang sebegini, saya rasa tauliah bukan satu perkara yang harus kita jadikan satu perkara utama.
"Cuma kalau betul pun ada perkara-perkara yang perlu diperbetulkan disebabkan ketersasulan, kesilapan beliau, bagi saya bukan dengan cara penangkapan begini. Itu boleh dibetulkan dengan saluran yang lain atau lebih selesa," katanya.
Kerajaan Perpaduan: Najib mengigau dan gila talak!
| Harakahdaily Tue | Nov 03, 09 | 4:29:09 pm MYT | |
| KUALA LUMPUR, 3 Nov: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan menangani masalah dalaman Barisan Nasional (BN) dan Umno yang penuh dengan isu rasuah dan moral daripada berunding mengenai kerajaan perpaduan dengan PAS. Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam kenyataannya berkata,"Najib masih mengigau untuk berbaik dengan Pas, walaupun Presiden Pas sudah tutup buku untuk berunding mengenai Kerajaan Perpaduan dengan Umno dan BN. "Kelakuan Datuk Seri Najib tidak ubah seperti orang gila talak, walaupun jandanya tidak mahu berbaik dengan bekas suaminya,"jelasnya. Ustaz Idris menambah, PAS akan terus memacu ke depan bersama dengan Pakatan Rakyat. "PAS ingin menasihatkan Datuk Seri Najib selesailah masalah rasuah dan moral dalam umno dahulu dan parti komponen bn yang semakin kelam kabut,"katanya. Tambahnya, ia adalah strategi pemimpin umno hendak memecah belahkan perpaduan di kalangan Pakatan Rakyat. "Pemimpin umno tidak perlu menangguk di air keruh, kerana pemimpin PAS matang dalam perhitungan politik. PAS adalah parti yang matang kerana dasarnya dan prinsip yang dipegang tidak pernah goyang kerana perhitungan politik PAS berakar kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka. "PAS ingin menasihatkan Presiden umno, tumpukanlah projek 1Malaysia yang menjadi slogan dan retorik Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita tida mahu lagi peristiwa runtuhnya jabatan 1Malaysia berulang lagi sehingga mengorbankan 3 kanak-kanak sekolah di Tapah Perak ketika mengadakan perkhemahan 1Malaysia. "Jika keadaan ini berterusan satu hari nanti mungkin negara Malaysia digelar sabagai 'Darul Runtuh',tegasnya. |
Isnin, 2 November 2009
Jais dibidas, tiada pertuduhan!
Mon | Nov 02, 09 | 10:41:11
Terkini 11.00 pagi:|GOMBAK, 2 Nov: Bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainal Abidin akan menunggu di Mahkamah Syariah sehingga jam 1 petang nanti untuk menunggu pertuduhan ataupun dokumen berkaitan difailkan ke atasnya. Iklan
Sebelum ini, Dr Asri yang tiba di mahkamah sejak jam 9 pagi tadi diberitahu tiada pertuduhan difailkan.
Demikian siri episod tangkapan terhadap Dr Asri yang dianggap aneh oleh pelbagai pihak hari ini apabila diberitahu bahawa tiada pertuduhan atau dokumen berkaitan difailkan pagi ini.
Dr Asri dilihat tiba pada jam 9 pagi tadi kerana diarahkan untuk hadir di mahkamah atas alasan secara lisan oleh pihak Jais bahawa beliau mengajar tanpa tauliah.
Dalam kejadian malam tadi,beliau ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.
Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk Anggota Parlimen Ampang (KeADILan), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.
Namun,Dr Asri yang ditahan tengah malam tadi telah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi. Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke mahkamah pada jam 9 pagi ini.
Di pekarangan mahkamah pagi tadi, Dr Asri menbidas sikap pihak berkuasa dan pendakwa yang tidak hadir lagi sehingga kini.
"Mereka tangkap saya dulu baru tuduh. Tetapi mahkamah kata belum ada apa-apa pertuduhan lagi. Saya pun tak tahu sebab apa nak datang sini
"Pihak Jais yang bagi arahan, tetapi saya nak tahu 'tangan ghaib' siapa di sebaliknya,"tegas Dr Asri.
Menurutnya, tindakan tidak profesional ini menyebabkan membuang masa beliau, para penyokongnya, termasuk wakil-wakil rakyat (Saari Sungib dan Zuraida Kamaruddin) dan wakil Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.Turut kelihatan di pekarangan mahkamah yang memberikan sokongan kepada beliau adalah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Hj Ghazali, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani, Marina Mahathir dan Zainah Anwar (SIS).
Ketika ini, Dr Asri berada di luar mahkamah dan sedang berbincang dengan wakil NGO dan wakil-wakil rakyat.
Beliau difahamkan akan bertemu dengan Datuk Jamil Khir sebentar lagi.
Hampir 100 orang hadir untuk memberikan sokongan kepada beliau termasuk puluhan wartawan.
Ketika ini, Dr Asri sedang menunggu di dalam Mahkamah Syariah dan beliau berkata akan menunggu pertuduhan sehingga jam 1 petang nanti
Bekas Mufti dihadapkan ke mahkamah hari ini!
Mon | Nov 02, 09 | 2:43:32 am
Kemaskini 3.00 pagi:
KUALA LUMPUR,2 Nov: Selepas negara dikejutkan dengan penahanan bekas KSU Mosti atas tuduhan rasuah, kini giliran bekas Mufti pula di hadapkan ke mahkamah hari ini.Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini jam 9 pagi ini atas dakwaan menyampaikan kuliah tanpa tauliah.
Dr Asri ditahan oleh sepasukan anggota polis dan pegawai JAIS ketika mengadakan ceramah agama di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, Ahad malam.
Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang termasuk Anggota Parlimen Ampang (KeADILan), Zuraida Kamaruddin dan Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Klang (PAS), Saari Sungib.
Mengulas lanjut penahanan itu, Zuraida kesal dengan sikap pihak JAIS yang bertindak seperti polis dan FRU, tanpa mahu bertolak ansur dan agak kasar terhadap bekas mufti itu.
"Saya kecewa pegawai JAIS seperti orang tak punya ilmu agama. Tiada budi bicara langsung," katanya di sidang media jam 2.00 pagi tadi di rumah yang sama.
Beliau turut menjelaskan kenyataan pihak JAIS yang mendakwa Dr Asri berfahaman 'Wahabi' yang dianggap menyimpang,sedangkan di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Zahid Hamidi telah mengesahkan bahawa fahaman itu tidak sesat.
Kata Zuraida, hairan sikap jabatan agama dan kerajaan, apabila Asri diizinkan berceramah di Perlis tetapi tidak di Selangor.
Dalam sidang yang sama, Saari juga menganggap kegagalan enakmen syariah telah menyebabkan tindakan pihak berkuasa agama bertindak secara terpilih dan bersifat poltik.
Dr Asri selepas dibebaskan sejam kemudian meminta Jabatan Agama membuat semakan dan menilai semula tindakan yang dilakukan ke atas dirinya.
"Cuba beritahu apa kriteria yang dia mahu... nak beri tauliah pada orang?
"Saya bekas Mufti. Ada PHD daripada UIA. Siapa yang buat keputusan untuk beri tauliah ini?
"Jika demikian, mereka telah menghalang orang untuk sampaikan ilmu," katanya dalam sidang media tergempar yang dihadiri oleh pihak media dan para jemaah yang mengikuti kuliahnya.
Katanya, masih ramai pensyarah di bawah seliaan beliau dan IPTA lain yang tidak diberi tauliah, walaupun layak untuk menerimanya sehingga menyebabkan sekatan ke atas mereka untuk menyampaikan ilmu dan kuliah kepada masyarakat.
Dr Asri juga merakamkan penghargaan kepada kedua-dua wakil rakyat PAS dan KeADILan itu, yang mempertahankan dan membela beliau ketika penahanannya tengah malam tadi.
"Ini tidak bermakna saya sertai politik. Mereka telah membantu saya...terima kasih.
"Terima kasih kepada yang menyokong dan pihak media yang membuat liputan," katanya dan sekaligus bersalaman dengan hadirin semua.
Suasana menjadi agak emosi seketika,apabila ada antaranya berpelukan dengan Dr Asri dan menangisi insiden yang tidak sepatutnya berlaku ke atas seorang tokoh agama.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Abdul Jalil Hassan dilaporkan berkata polis hanya membantu JAIS dalam operasi itu dan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung penahanan bekas mufti Perlis itu.
Sementara itu, Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berkata hanya mereka yang bertauliah sahaja yang dibenarkan untuk menyampaikan khutbah Jumaat dan kuliah agama di masjid dan surau negeri ini.
Hasan Ali menegaskan peraturan dan garis panduan sudah pun dikeluarkan namun masih ada individu tertentu yang ingkar mengikutinya.
Perkara ini disiarkan oleh laman web kerajaan negeri Selangor, Selangorkini Sabtu, 31 Oktober, dua hari lepas.
Bagaimanapun, pentauliahan itu hanya dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan menetapkan beberapa proses tertentu sebelum seseorang itu layak berbuat demikian.
"Peraturan-peraturan itu telah pun diberitahu sebenarnya kepada masjid-masjid dan surau-surau dan selepas ini peraturan itu akan diletak dalam bentuk notis yang agak besar di dinding-dinding tempat yang boleh dilihat dengan terang di surau dan masjid dan sebagainya. Antara peraturan itu ialah setiap pemberi khutbah, pengkuliah dan sebagainya mesti ada tauliah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)," katanya