Oleh : ibn_bacoks
BENUT bagi kebanyakan orang dianggap asing kerana mungkin tiada catatan sejarah mahupun peristiwa penting yang berlaku bagi menonjolkan pekan tersebut kepada umum.
Namun bagi kebanyakan orang tua-tua di Dun ini, mungkin masih mengingati bahawa salah satu tempat yang menjadi perintis kepada pergerakan PAS itu menapak adalah di pekan ini berbanding di tempat-tempat lain dalam negeri Johor.
Dalam erti kata yang lain, PAS sudah punya penyokong sejak dahulu lagi. Buktinya, untuk rekod, cawangan kedua PAS di negeri Johor ditubuhkan di Benut pada 6 Mei 1959. Selepas itu beberapa cawangan lagi menyusul seperti di Sungai Tempayan, Pontian (24 Mei 1959), Pulai Sebatang, Pontian (3 Ogos 1959) dan Kampung Parit Kerimun, Benut (4 Ogos 1959).
Untuk paparan kali ini, Mtd-Benut.blogspot.com cuba menyorot seorang tokoh iaitu Haji Yusof Hakim, merupakan Pesuruhjaya PAS Johor yang Keempat iaitu dari 1969-1972. Beliau dipercayai berasal dari Benut, Johor.
Dilantik memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Johor yang Keempat dengan menggantikan Hajah Khadijah Sidek yang telah meninggalkan PAS tahun 1969.
Sebagaimana gigihnya pimpinan-pimpinan terdahulu dalam memimpin PAS Johor, Haji Yusof Hakim juga tidak terkecuali dari memikul amanah ini.
Walaupun pada masa itu PAS Johor telah menunjukkan perkembangan yang agak memberangsangkan terutamanya di Batu Pahat, Rengit dan Senggarang namun bagi mengembangkan pengaruh PAS yang berada dalam keadaan begitu dhaif ketika itu, beliau telah mengorbankan banyak masa, tenaga dan juga wang ringgit semata-mata melihat cahaya Islam bersinar di negeri ini.
Dalam pada itu, kawasan dan cawangan masih tidak dapat ditubuhkan di seluruh negeri namun pengaruh PAS sudahpun menjalar ke beberapa kawasan lain seperti Mersing dan Muar. Ini terbukti apabila terdapat ramai calon PAS bertanding sejak pada pilihan raya Umum 1959 walaupun kawasan dan cawangan masih tidak wujud lagi di tempat bertanding pada ketika itu.
Justeru, adakah Benut bakal memberi kejutan kepada UMNO dalam PRU yang akan datang? Jawapan mudah, WalLahu A'lam bissawab.
Selasa, 20 Disember 2011
Isnin, 19 Disember 2011
PENJAJAH : Pisahkan Agama Dengan Politik Untuk Diwarisi
Oleh : ibn_bacoks
PENJAJAHAN Barat ke atas umat Islam sebelum ini telah menerapkan satu ajaran asing yang dikenali 'agama suku politik suku' menyebabkan fahaman itu sudah sebati dalam masyarakat.
Perkara ini ditegaskan oleh Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dengan katanya sejarah tidak pernah mengatakan bahawa kedatangan Islam yang asalnya dibawa oleh pedagang Arab ke rantau ini hanya sebahagian sahaja ajaran dalam agama.
Akan tetapi pelaksanaan Islam dilihat menyeluruh setelah pemerintahan Kesultanan Kerajaan Melayu Melaka menjadikan ajaran agama itu sebagai rujukan kepada pelaksanaan undang-undangnya.
''Islam di bawa ke Malaysia adalah sempurna bukan dipotong-potong sekerat.
''Islam perintah negara. Penjajah datang Portugis, mereka hapus kerajaan adil. Bawa ajaran asing dari Islam. Pisahkan politik daripada agama,'' ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, siri-siri penentangan telah dilakukan oleh masyarakat Melayu adalah kerana ingin membebaskan Tanah air mereka daripada sebarang bentuk penjajahan sama ada fizikal mahupun pemikiran.
''Kedatangan penjajah ditentang seluruh penduduk serta yang datang ke Tanah Melayu.
''Masyarakat Bugis (seperti) Raja Haji. (masyarakat) Banjar (dan) Minang datang ke Tanah Melayu untuk menentang Penjajah. Ini penulisan sejarah sebenar.
''Nenek moyang bukan nak datang tanam kelapa tetapi (dengan tujuan) menentang Penjajah.
''Kemudian Penjajah angkut (kaum) Cina dan India. Tak cukup mengperhambakan Melayu di sini. Cina-India pun sama. (tujuan) untuk kaut hasil di bawa ke negeri Penjajah
''Islam ajar, bumi ini milik Allah. Hukum Allah hendaklah dilaksanakan. Ini diperkenalkan PAS . Perintah Kelantan, cuba laksanakan dengan adil,'' ujarnya lagi.
Sementara itu, Tuan Guru yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang menegaskan kebaikan politik Islam dapat dilihat dengan pembentukan negara Islam pertama Madinah yang melibatkan sama masyarakat bukan Islam setelah kedatangan Baginda Muhammad SAW ke Tanah air mereka.
Menurutnya antara penyebab masyarakat tersebut ingin bersama Nabi adalah kerana mengetahui bahawa corak pentadbiran Islam itu telah diyakini keadilannya dan tidak mengamalkan sebarang bentuk penindasan terhadap kaum bukan Islam.
''Apabila pemimpin Madinah yang bergaul dengan Yahudi ahli Kitab. Manakala berita kelahiran Nabi membawa rahmat seluruh alam. Pemimpin Madinah kedatangan Nabi bersedia serahkan Tanah air dirikan negara yang adil
''Perkara menarik daripada hijrah bukan sahaja melibatkan orang Islam termasuk bukan Islam. Bukan semua tentang Islam termasuk kalangan orang bukan Islam, bencikan kezaliman,'' ujarnya lagi.
Ahad, 18 Disember 2011
Orang ASLI Mahu Tubuh Cawangan PAS
Oleh : Ibn_bacoks
PONTIAN – Walaupun komuniti ini dianggap Jauh daripada kemajuan. Tinggal pula di ceruk pendalaman. Pencarian nafkah kebanyakannya adalah sebagai nelayan, rupa-rupanya jauh di sudut hati mereka ada yang dahagakan perubahan.
Tidak kurang pula ada yang telah menyatakan sebagai penyokong. Malah apa yang membanggakan, ada yang mempunyai pengetahuan sangat mendalam tentang PAS dan isu semasa.
Perkara ini dapat dikongsi bersama kepada pembaca Mtd-Benut.blogspot.com apabila beberapa orang anak muda orang Asal Benut yang ditemui telah menyatakan kesediaan dan bercita-cita ingin menubuhkan sebuah cawangan PAS di kampung mereka.
Bagi seorang nelayan, Jefri, 27, berkata beliau amat berterima kasih dengan kunjungan daripada PAS Dun Benut yang bertujuan merapatkan silaturrahim dan memberi penerangan bagaimana undi bagi masyarakatnya itu sama nilainya dengan yang lain.
Oleh itu, katanya lagi hasrat ingin menubuhkan cawangan sudah lama dipendam lebih-lebih lagi dengan kehadiran rombongan tersebut semakin memberi suntikan semangat ke arah itu.
”Harapan nak tubuhkan satu cawangan (PAS) di Kampung Baru ini insya-Allah,” ujarnya lagi.
Sementara itu, rakannya pula Mohd. Arif Ismail, 22, pekerja Operator Pengeluaran berkata pemerintah bagi sebuah negara Islam seharusnya menitik-beratkan soal perintah Allah. Tapi apa yang mendukacitakannya apabila tiba waktu sembahyang, kepekaan ke arah itu tidak berlaku kepada pihak pengurusan tempatnya bekerja.
”Saya kenal PAS (sejak) dari belajar (tentang) Islam. Saya kerja kilang contoh dari segi pakaian. Waktu kerja nak solat susah. (katanya) Negara Islam. Kena titik beratkan itu (solat). Tapi kecewa solat tak dipentingkan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, sebahagian masyarakat orang Asal telah diraikan oleh PAS Dun Benut pada program XPDC Dakwah di kampung Baru, Parit Lapis Sayang, Benut, dekat sini, baru-baru ini.
Pada majlis yang sama juga, Ustaz Atan Gombang, Pengelola Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut telah menyampaikan sumbangan kebajikan berupa barang keperluan harian kepada 6 keluarga yang terdiri daripada Ibu tunggal dan anak yatim.
Sabtu, 17 Disember 2011
Terap Konsep Negara Berkebajikan Hingga ke akar umbi

Oleh : ibn_bacoks
PONTIAN - Banyak dakwaan yang mengatakan konsep negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS adalah menyamai dengan istilah Negara Kebajikan yang diamalkan di negara Britain dan Sweden serta di Amerika Syarikat.
Sebaliknya, Negara Berkebajikan adalah berbeza dengan Negara Kebajikan kerana banyak perbezaan dari segi dasar, objektif dan wawasannya walaupun terdapat sedikit persamaan tertentu dari aspek fizikal yang ingin dibangunkannya tetapi berbeza dari segi semangat rohnya.
Walaupun aspek fizikal mungkin ada kesamaan atau selari tetapi tamadun Barat meninggalkan aspek rohani atau pembangunan jiwa.
Perkara ini diturut diakui oleh Ustaz Muhammad Nazar, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian dengan katanya bahawa penerapan itu telah berjalan dan berjaya direalisasikan hingga ke akar umbi berikutan dengan pelaksanaan program XPDC Kebajikan dan Jejak Veteran anjuran PAS Kawasan Pontian.
Katanya lagi, selain menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban pesakit yang dilawati, penekanan dari sudut semangat ruhiyyah melalui tazkirah penjagaan kesihatan dan pembacaan doa juga merupakan konsep kebajikan yang dituntut oleh agama.
"Dalam sesi lawatan itu, pihak kami turut menyediakan khidmat perubatan secara Islam dengan iringan doa-doa yang ma`thur serta ucapan-ucapan yang boleh menguatkan jiwa dan fizikal," ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui Mtd-benut.blogspot.com sebagai reaksi kepada program XPDC Kebajikan dan Jejak Veteran di Kampung Parit Kerimun, Benut, baru-baru ini.
Hadir sama, Hj. Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Pontian, Dr. Hj. Mumazaini Misri, Timbalan Yang Dipertua PAS Pontian dan Ustaz Fadhil Sarnap, Ketua Urusan Ulamak PAS Pontian.
Menurutnya lagi, program bermula dengan menziarahi pesakit strok iaitu Hj. Fuad Alias, Guru Besar di salah sebuah sekolah di daerah ini yang hanya terlantar di rumah sewaktu dilawati.
Sementara itu, ahli rombongan turut berkesempatan melakukan lawatan ke atas seorang lagi yang mengalami penyakit yang sama iaitu Harun Sanusi. Sepanjang sesi lawatan itu, Harun diberi peluang dengan pengubatan cara Islam daripada Ustaz Fadhil kerana penyakit yang dihadapi itu dikhuatiri ada kaitan dengan makhluk halus.
"Saudara Harun ini, kena strok dari pinggang ke bawah dan tak boleh bergerak. Saya
difahamkan ada 'sesuatu'. Bila Ustaz Fadhil rawat, alhamdulillah, ada sedikit perubahan," katanya lagi.
Pada program yang sama, XPDC diteruskan dengan mengunjungi seorang veteran PAS Hj. Muhammad Tahir Abdul Latif,76, yang merupakan penggerak awal PAS Dun Benut. Beliau yang seangkatan dengan Allahyarham Pak Turus, mantan Pesuruhjaya PAS Johor adalah antara individu yang terlibat menubuhkan cawangan PAS sekitar tahun 50-an iaitu di Kampung Parit Kerimun.
Untuk rekod, Dun Benut adalah ranting (kawasan) PAS Johor yang ke-2 yang berjaya ditubuhkan selepas di Johor Bahru sedikit masa dulu.
"Kami dapat berkongsi pengalaman bernilai dengan beliau bila cawangan itu mula-mula
ditubuhkan, pengasasnnya hadapi pelbagai ujian dan kebanyakannya sudah meninggal dunia," jelasnya lagi.
Jumaat, 16 Disember 2011
Pisang AJAIB : Tiada Yang Ajaib Kalau UMNO Tumbang
Oleh : Ibn_bacoks
PONTIAN – Pisang boyan selalunya digemari oleh kaum ibu dengan mengenakan resepi turun temurunnya untuk membuat kuih lepat pisang.
Antara ramuannya ialah dilecek-lecek lalu dicampurkan air dengan tepung gandum, tepung pulut dan garam.
Apa yang menjadi kemusyilannya adalah kepada penggunaan kicap pekat yang turut ditaruh bersama air gula Melaka. Katanya supaya kelihatan lebih cantik.
Bagi generasi baru, sudah tentu tidak mampu untuk mengenal pasti pisang apakah yang sesuai untuk hidangan kuih tradisional itu. Apa yang penting, pisang sudah terhidang, maka disuapnya sahaja ke dalam mulut.
Pun begitu, disebalik keenakannya, ramai yang tidak tahu pada satu keajaiban yang Mtd-Benut.blogspot.com temui untuk paparan kali ini. Sebelum itu, pernahkah anda mendengar cerita ‘Pisang Boyan Kembar Ajaib’?.
Pemiliknya iaitu Tn. Hj. Abdullah Genu, 67, berkata selalunya bila pokok pisang itu disebut, ramai yang tidak ambil pusing tentang kewujudannya. Namun pisang yang ingin dimaksudkan ini berbeza dengan jenis pisang yang lain.
Anehnya, kejadian ini katanya merupakan pertama kali yang disaksikannya sendiri. Pisang boyan kembar yang berkongsi batang tapi bercabang dua dan berusia 10 bulan itu difahamkan mempunyai 4 sisir, namun yang menjadikan ia bertambah ajaib iaitu buah, kuantiti dan saiznya sama diantara satu sama lain.
”Ini baru pertama kali lihat. Sudah beratus ribu ditanam sejak umur dari bangku sekolah. Lebih 40 tahun. Ajaibnya ada 4 sisir, biji sama, saiz sama,” katanya lagi ketika ditemui di kebunnya, Kampung Sanglang, Dun Benut, baru-baru ini.
Dalam pada itu beliau dilaporkan berkata keunikan pisang ini adalah salah satu dari tanda kebesaran Allah swt yang ingin diperlihatkan supaya manusia ini tidak sombong dan angkuh.
”Kalau ingin dibandingkan dengan kuasa Allah dengan manusia memang jauh,” katanya lagi.
Namun jelasnya lagi adalah suatu yang tidak mustahil sebuah kerajaan yang didakwa hebat pastinya ia boleh tumbang dengan izin Allah swt.
”Tak ada yang ajaib. Kalau Allah kata ‘Kun fayakun’, jadilah. Tak ada yang mustahil dan ajaib di Benut ini, UMNO boleh ditumbangkan. Sudah terlalu lama. (kejadian) Inilah kebesaran Allah,” ujarnya lagi.
Khamis, 15 Disember 2011
UMNO : Ibarat Diberi Ubat Tapi Enggan Telan
Oleh : Ibn_bacoks
PONTIAN – ”UMNO baca Quran seperti orang yang sakit diberi ubat hanya baca kat label tapi tak mahu makan. Macam mana nak sembuh?” demikian analogi yang diutarakan Ustaz Ismail Dagang, Setiausaha Dewan
Ulamak PAS Negeri Terengganu berhubung pemahaman terhadap isi kandungan ayat suci al-Quran.
Katanya lagi, Halal dan haram merupakan hak Allah swt sebaliknya manusia tidak mempunyai sebarang kuasa yang setanding denganNya.
”UMNO buat lesen judi, ambil hak Allah. Dia (UMNO) pertahankan lesen judi dan kilang arak, orang undi mereka.
”UMNO ubah jadi 3, 5, 6. Sebat 100 rotan. 3 tahun penjara. 6 sebatan. Berzina kena bawa 4 saksi. Hari ini saksi (ialah) bulu, DNA, darah.
”UMNO (terima) gubal undang-undang ini. Masyarakat sokong juga. Kalau masyarakat tahu (kesilapan), kalah UMNO,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliah bulanannya di Dewan Utama Markas Tarbiyyah PAS Kawasan Pontian, dekat sini, baru-baru ini.
Hadir sama Hj. Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Kawasan Pontian.
Beliau menambah lagi dengan katanya, kuasa yang diperolehi adalah anugerah Allah swt bertujuan untuk menilai hambanya dengan bertindak sebagai ‘pengawal’ dalam aturcara dan urusan dunia.
Sudah tentu, katanya lagi dunia ini harus dikawal dengan undang-undang Penciptanya bagi mengelak kerosakan dan kemusnahan akibat tindakan meminggirkan arahanNya.
Ujarnya lagi, UMNO dilihat gagal menjadi ‘pengawal’ yang baik memandangkan tindakan parti perkauman itu terus mempertahankan peraturan yang dicipta oleh manusia sendiri.
”Imam Ghazali kata, agama ini asas. Barang yang tak ada asas, tumbang. Dan pemerintah ini pengawal. Barang yang tak ada pengawal sia-sia. UMNO tak kawal agama. Hukum tak dilaksanakan.
”Yang urus kita hari ini, undang-undang yang dicipta manusia.
”Pelik ! Umat Islam. Ada Quran tapi terima undang-undang Kafir, (inggeris). Tanya orang Cina. Kenapa terima undang-undang Inggeris tak ada kena mengena dengan mereka. Baik guna hukum Allah,” terang beliau lagi.
Justeru katanya lagi, PAS sebagai sebuah gerakan Islam dan sebuah parti siasah bergerak dengan menyertai pilihan raya mengambil tanggung jawab ini bagi sama-sama memartabatkan Islam pada tempat yang tinggi.
”Tanggung-jawab PAS nak selamatkan umat Islam,” ujarnya lagi.
Rabu, 14 Disember 2011
Ada 3 Komponen Yang Menguatkan PAS
Oleh : ibn_bacoks
PARTI Islam SeMalaysia (PAS) hari ini semakin matang dan dewasa sejak ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1951.
Tapi ini bukan bermakna itulah tarikh bermulanya perjuangan Islam di Tanah Melayu. PAS hanyalah salah satu dari mata rantai perjuangan Islam yang panjang dan dimulai sendiri oleh Baginda saw.
Oleh yang demikian, melihatkan kesungguhan untuk meletakkan Islam pada tempat yang paling tinggi maka PAS terus disertai daripada pelbagai golongan bagi tujuan yang sama.
Sdr. Suhaizan Kaiat, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor berkata ada 3 komponen yang telah menguatkan PAS sehingga diterima oleh masyarakat Malaysia sebagai sebuah parti selain UMNO.
Kekuatan itu katanya telah digarap yang berpotensi menjadi pemangkin kepada kebangkitan ummah menyebabkan PAS sentiasa relevan dan mempunyai jati diri yang tinggi.
''Dari segi PAS, ada tiga potensi (iaitu) Profesional, Ulamak dan Aktivis,'' ujarnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, beliau mengakui bahawa PAS sebuah gerakan Islam mempunyai disiplin yang tinggi hasil dari tarbiyyah yang mengikut acuan Islam sebagai benteng kepada penyalahgunaan kuasa, rasuah dan korupsi.
''Rasuah. Setakat ini di negeri Pakatan Rakyat (PR) ada tak? Yang ada, dekat UMNO. Dekat pemilihan UMNO didakwa dalam Mahkamah UMNO, (iaitu) Isa Samad,'' terangnya lagi.
Beliau mengulas satu peristiwa pada pagi 24 Jun 2005, Panel Lembaga Disiplin UMNO yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail telah menjatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun kepada Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.
Mohd. Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan asal rasuah (politik wang).
Selasa, 13 Disember 2011
Ranjau ENAM Dekad
Terselak kitab Quran Nur Karim
Tersingkap minda insanul Hakim
Maka lahirlah ta'aruf perjuangan
Buminya agama, langitnya akidah
Di mana bumi dipijak
Di situ langit dijunjung
Di mana agama terpasak
Di situ akidah disarung
Begitu terik purnama menyinari
Membunuh segala bayang bumi
Dan juang ini adalah juang Illahi
Inah medan pertiwi
Inilah pentas hakiki
Inilah gelanggang agamawi
Enam dekad utuhnya
Dari akar akidah
Membuah hingga ke pucuk karamah
Jeritnya hanya Allah dan RasulNya
Alang kukuh lagi tersuluh
Syurga dihajat mengerah sejuta peluh
Dunia dakwahnya tetap ampuh
Demi Allah unruk manusia seluruh
Ranjau adalah suatu jalan yang panjang
Perjuangan, pengorbanan, keruh, resah
Susah, payah, perit, derita,
Tangisan, ketawa, hina, keji,
Caci, maki, tipu, fitnah,
Dan segalanya adalah milik
Pergolakan demi menegakkan Islam
Yang dipinta diterbit dada Al-Quran Nur Kudus
Enam dekad tingginya
Enam dekad lamanya
Enam dekad jauhnya
Namun segalanya bukan penghalang
Selagi hayat dikandung badan
Selagi terdetak tunas nadi bernyawa
Selagi nafas silih berganti
Selagi itu Islam harus didirikan
Baik di timur, barat, utara dan selatan
Segala ufuk harus dimartabatkan
Islam dan iman sebagai jati jiwa
Hati terpaku kaku
Bila mengenang juang pahlawan
Gagah bertanjak di atas pentas kebenaran
Tidak ada lelah tewas
Tidak kenal lesu kecewa
Tidak pernah mengerti falsafah putus asa
Apa yang mereka tahu
Islam perlu dimartabatkan
Dendangan airmata sengsara
Ulikan senda kejayaan
Alusi darah satria syuhada
Adalah irama yang sentiasa
Menemani ranjau yang panjang
Kuasa bukan pilihan
Harta bukan impian
Tahta bukan idaman
Hanya Islam sebagai landasan perjuangan
Inilah hikmah
Tertegaknya enam dekad yang lunak
Ranjau enam dekad
Islam adalah martabat
Ranjau enam dekad
Kebenaran perlu diangkat
Luruslah saf perjuangan dan pengorbanan
Dalam dekad yang mendatang
Jerit jaya Allah Maha Besar
Maka bertasbihlah para malaikat
Menemani suci akidah ranjau yang murni
Ranjau enam dekad
Islam dimartabatkan
Kebenaran dicernakan
Sajak ini telah dideklamasikan oleh AMNI JAGAT pada majlis Karnival Sambutan PAS Ke-60 di Ayer Hitam baru-baru ini.
Isnin, 12 Disember 2011
Mengundi Parti ISLAM Boleh Mengundang Kebaikan - Ust. Zamri (Mantop)
Oleh : ibn_bacoks
PONTIAN - Ustaz Zamri Zainuddin, bekas Pengacara Mari Mengaji Tv9 menegaskan bahawa dalam soal pemilihan tampok kepimpinan negara haruslah diperhalusi dari segenap aspek bagi memenuhi ciri yang telah digariskan oleh agama dan yang boleh mengundang kebaikan bersama.
Sebaliknya, kata beliau lagi dengan mengabaikan soal ketelitian itu, dibimbangi boleh menimbulkan kemudharatan sehingga menyebabkan seseorang itu dimurkai Allah swt.
Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya apabila tiba peluang untuk memilih seorang pemimpin haruslah diutamakan kepada golongan yang ingin menegakkan Islam sepenuhnya.
Katanya lagi, 'syurga' turut diperuntukkan kepada mereka yang ingin menegakkan Makruf dan mencegah kemungkaran termasuklah dengan niat dan perbuatan yang berhasrat meninggikan Kalimah Allah swt.
''Termasuk nak undi, nak masuk syurga. Aku nak tolong orang-orang yang nak hidupkan Islam. ...... Mengundi dan pangkah. Orang nak haji mabrurpun kena fikir benda itu (undi),'' terangnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab satu soalan berkenaan dengan Haji Mabrur pada satu Forum Agama di Dun Benut, dekat sini, baru-baru ini.
Tinjauan Mtd-Benut.blogspot.com mendapati, forum anjuran Nur Qamar & Son Enterprise itu telah dihadiri lebih 700 orang, antara lainnya adalah daripada kalangan kaum Cina.
Hadir sama ialah Ustaz Atan Gombang, Pengelola Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut, Tn. Hj. Bachok Welang, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pontian.
Ahad, 11 Disember 2011
Islam Menjamin Kesejahteraan Semua - M Subramaniam
Oleh : ibn_bacoks
PONTIAN - ''Diandai-kata PAS dengan dasar Islamnya juga bertapak serius dikalangan rakyat dan anak muda kerana landasan Islam bawa perhitungan politik yang boleh menjamin kesejahteraan semua,'' demikian kenyataan M Subramaniam, Ketua Penerangan, Dewan Himpunan Penyokong PAS. (DHPP) Negeri Johor kepada Mtd-Benut.Blogspot.com, baru-baru ini.
Atas keyakinan itu, beliau menegaskan lagi bahawa mana-mana parti yang hanya mendominasi sesuatu kaum dianggapnya tidak akan berjaya setelah bukti nyata diperlihatkan sepanjang 54 tahun UMNO-Barisan Nasional memerintah negara ini.
Sehubungan itu, DHPP ujarnya ikhlas menyatakan sokongan kepada gerakan Islam PAS kerana yakin bahawa Islam sahaja yang mampu menyelesaikan segala kemelut dan masalah yang menimpa negara ini.
''Parti Perkauman (yang menjadikan) agenda utama parti politik (dengan ambil dasar) perkauman, tidak bawa apa-apa kejayaan besar dalam 54 tahun ini.
Sebelum itu, kami (DHPP) pilih parti bukan perkauman seperti PAS untuk atasi masalah (apa) sahaja isu (dalam) negara dan semua. Dan (Islam) mesti jadi agenda negara baru boleh atasi (masalah),'' terangnya lagi.
Bagaimanapun beliau tidak mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu yang dijamin dalam perlembagaan sebaliknya mempersoalkan bagaimana UMNO melayani semua rakyat Malaysia terhadap agihan kekayaan negara didakwa hanya diboloti pihak tertentu sedangkan rakyat bawahan kurang diberi perhatian.
''Kita tak lawan (pertikai) Perkara 153 Hak Istimewa orang-orang Melayu.
''Apa yang disarankan (ialah) perlu bantu Melayu miskin beri kepada semua miskin, beri sama rata,'' tegasnya lagi.
Sementara itu, beliau menambah lagi dengan katanya perubahan semakin dekat dikecapi berikutan kebanyakan pengundi baru adalah kaum Cina dan ini bakal menyaksikan bahawa undi orang Melayu bukan penentu kepada kemenangan UMNO di bumi kubu kuatnya Johor Darul Takzim.
''Kesedaran orang ramai telah bertukar haluan dalam kenyataan perkauman tak dapat sokongan. Itu begitu besar harapan. Contoh di Johor pengundi Melayu bukan penentu kemenangan BN. 42 % Cina hampir pengundi (baru). Sebagai contoh Parlimen Kulaijaya, Cina dua kali ganda daripada Melayu.
''Dan kejayaan besar akan ditentukan generasi ke 2 dengan pendedahan e media (media alternatif).
''Konsep parti bukan haluan kaum akan capai kemenangan dalam PRU.
''Kita (PR) percaya Johor akan menang dalam PRU dengan 2/3 majoriti,'' jelasnya lagi.
Langgan:
Catatan (Atom)