Khamis, 10 November 2011

PAS Benut Terus Santuni Masyarakat CINA


Oleh : ibn_bacoks

PONTIAN - PAS Benut tidak jemu-jemu cuba menghubungkan perpaduan dengan orang bukan Islam yang selama ini sukar untuk didampingi adalah disebabkan dakyah songsang daripada parti lawan

Namun persepsi bahawa PAS parti jumud dapat dibuang jauh-jauhnya setelah banyak siri lawatan dilakukan.

Terbaru, kunjungan rombongan daripada Majlis Tindakan Dun (MTD) Benut telah dibuat ke rumah sebuah keluarga iaitu mendiang Tan Chew Hwa yang meninggal dunia sebulan yang lepas akibat kanser.

Menurut anak mendiang, Tan Hui Lew, 48, berkata mendiang yang baru mencapai usia 59 tahun itu telah menghembuskan nafas terakhir dan terlantar di Hospital selama sebulan.

Dalam ucapannya beliau mengucapkan penghargaan kepada PAS Benut diatas lawatan tersebut dan mengharapkan kegiatan seperti ini dapat diteruskan lagi.

''Dia (mendiang) sakit kanser. Setahun sakit kat Hospital. Sudah 4 malam buat majlis.

''Saya ucapkan terima kasih kerana sudi hadir'' ujarnya lagi sebagai anak sulung daripada 7 adik beradik yang lain.

Sementara itu, Ustaz Atan Gombang, Pengelola Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut berkata, Islam sebagai agama yang membawa rahmat seluruh alam ini begitu mementingkan perpaduan dan menganjurkan sikap saling hormat menghormati sesama manusia.

Katanya lagi, walaupun orang bukan Islam tidak seakidah dari sudut pegangan agamanya namun atas sifat kemanusiaan umat Islam harus menghormatinya.

''(Orang) yang mati (meninggal dunia) kita (Orang Islam) kena hormat. Kerana kita sesama manusia.'' katanya lagi dengan disambut tepukan gemuruh lebih 300 jemputan yang hadir.

Hadir sama, Amat Tee, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kawasan Pontian.

Rabu, 9 November 2011

Pemimpin ADIL Akan Diselamatkan Di Mahsyar - Hassan Din


PONTIAN - Imam atau pemimpin yang bersikap adil diberi jaminan perlindungan oleh Allah swt apabila dibangkitkan di padang Mahsyar kelak, kata Datuk Hj. Abu Hassan Din al-Hafiz, Bekas Penasihat Agama di Istana Negara.

Menurut beliau lagi pengertian adil itu perlu diperluaskan lagi yang bukan hanya kepada kelompok pemimpin atasan malah ia juga melibatkan peranan manusia dalam memimpin institusi kekeluargaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa ada enam lagi golongan lain yang turut diberi keistimewaan oleh Allah swt di akhirat nanti.

''Ada tujuh golongan yang Allah swt selamatkan di Mahsyar. Satu, Imam yang adil, dua, pemuda yang asyik beribadah kepada Allah. Ketiga, lelaki yang hatinya terpikat dengan masjid. Keempat, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah. Kelima, lelaki bila bersunyian ingat Tuhan, mengalir air matanya. Keenam, lelaki bila diajak buat maksiat oleh perempuan, dia kata saya takutkan Allah, ketujuh, bersedekah.'' jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramahnya yang tajuk 'Menuju Titian Sirotalmustaqim' di Masjid Jamek Temenggong Ibrahim Benut dekat sini, baru-baru ini.

Beliau menambah lagi dengan katanya bersedekah selain menjadi 'perlindungan' kepada seseorang, ia juga dilihat memudahkan urusan perjalanan ke Mahsyar.

Hal ini kerana katanya banyak bentuk perjalanan yang akan dihadapi seseorang itu adalah dengan bersandarkan amalan masing-masing.

''Ada yang berjalan laju seperti Burak, ada yang seperti angin, ada yang seperti burung, ada yang seperti lelaki hebat, ada yang seratus tahun baru sampai dan ada yang seribu tahun baru sampai.

''Ada juga dalil mengatakan barang siapa yang banyak sedekah, mudahkan jalan ke Mahsyar.

''Bersedekah kena rahsiakan. Hingga tangan kiri tak tahu tangan kanan yang hulur. Nak bagi derma, janganlah ini nak derma bagi cek dua orang yang usung!'' katanya dengan nada sinikal.

Bagaimanapun katanya lagi masih ada golongan yang berpeluang mendapat bantuan Nabi Muhammad saw setelah menghadapi kesulitan yang amat sangat di akhirat nanti.

''Golongan yang mendapat syafaat Nabi Muhammad saw pula. Pertama, umat Nabi Muhammad saw sendiri. Kedua, dosa yang tak banyak dan ketiga masa hidup dengan memperbanyakkan selawat.'' ujarnya lagi.

Hadir sama, Sohibus Samahah, Sheikh Ustaz Mohd. Fauzi Bachok, Tuan Kadhi Daerah Pontian.

www.ibn75.wordpress.com

Selasa, 8 November 2011

Kaum CINA Benut Bersama Menyaksikan Majlis Korban



BENUT, PONTIAN - Keunikan program Korban peringkat Majlis Tindakan Dun (MTD) Benut tahun ini bertambah menarik dengan kehadiran kaum Cina ke program tersebut.

PAS Dun Benut sejak akhir-akhir ini sudah mula diterima oleh masyarakat itu dan perpaduan itu dilihat berpandukan program yang dianjurkannya sebelum ini.

Perkara ini turut diakui Hj. Bachok Welang, Naib Yang Dipertua PAS Pontian dengan katanya penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pontian beberapa bulan lalu berperanan mengembangkan dakwah PAS sehingga program yang berbentuk keagamaan turut diserta kaum itu.

''Sambutan tahun ini memberangsangkan keranan ia turut dihadiri kau Cina sebagai tanda sokongan terhadap parti Islam.'' ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu ditemui Mtd Pas Benut di Pusat Penyembelihan di Perkarangan Bangunan Markas PAS Cawangan Parit Ibrahim Benut, dekat sini, semalam.

Dalam pada itu beliau berkata PAS fof All antara slogan yang menyebabkan orang bukan Islam ingin berdampingan dengan parti itu.

Menurutnya lagi PAS tidak mementingkan bangsa yang jauh lebih baik daripada sebuah parti perkauman negara ini dan ia begitu mesra dengan kaum selain Melayu.

''Kita banyak buat program bersama dengan kaum bukan Melayu. Sambutan yang diberikan cukup baik dan mendapat respon berbanding dengan sambutan yang kami terima pada pilihan raya tahun 2004'' ujarnya lagi.

Sementara itu proses penyembelihan telah dilakukan oleh Ustaz Atan Gombang, Pengelola Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut bersama lebih 50 orang yang terdiri daripada anggota Jabatan Amal Pontian.

Sejumlah 150 bungkus daripada 80 kg daging telah diagihkan kepada penduduk di sekitar Dun Benut termasuk di 17 kawasan Unit Peti Undi (UPU) yang ada.

Hadir sama, Sdr. Badrul Hisham Mat Saat, Ketua Penerangan PAS Pontian, Sdr. Razali Limat, Setiausaha Kerja PAS Pontian, Sdr. Saiful Amri A. Suloh, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pontian.

www.ibn75.wordpress.com

Isnin, 7 November 2011

Perkasakan Agama dan Kesatuan


PONTIAN - Umat Islam disaran memperkasakan agama dan elakkan perpecahan bagi mengambil pengajaran bersempena dengan perayaan Aidil Adha.

Perkara ini ditegaskan oleh Khatib Masjid Jamek Pekan Tampok dengan katanya Allah swt menyeru supaya berpegang teguh kepada agamanya dan melarang pertelagahan sesama sendiri dengan bersandarkan firmanNya dalam surah ali-Imran, ayat 103.

Katanya lagi kesatuan umat Islam boleh dilihat dengan pekerjaan Haji itu bilamana kira-kira tiga juta manusia berwuquf di Arafah.

''Buat pengajaran yang pertama kesatuan umat kerana banyak bangsa, warna kulit sepertilah kaedah Haji niat yang sama, talbiah yang sama dan takbir yang sama'' ujar beliau lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan khutbahnya di Masjid Jamek Pekan Tampok, Benut, Pontian, dekat sini, semalam.

Katanya lagi, Hari Raya Aidil Adha juga dinamakan Hari Raya Kurban kerana padanya pelaksanaan ibadah kurban yang hukumnya sangat dituntut bagi mereka yang berkemampuan.

Beliau turut mempersoalkan bagi segenap lapisan masyarakat terhadap persediaan mereka menunaikan ibadah tersebut.

''Hukumnya sunat muakkad. Iaitu sangat dituntut. Kerana ia lebih tinggi dari sunah biasa.

''Sudah bersediakah berkorban untuk segala-galanya?' soalnya lagi.

Beliau turut menambah dengan katanya disamping ia merupakan latihan bagaimana kesanggupan menyerahkan harta semata-mata kerana Allah swt malahan ia adalah ujian untuk memupuk semangat berkorban.

''Latihan sebagai persedian berkorban sebahagian rezeki kurniaan Allah swt, ia juga dilihat sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah swt dan tidak lupa juga dengan menghidupkan sirah Nabi Ibrahim as.'' jelasnya lagi.

Terdahulu sidang jemaah dijamu dengan hidangan 'Burasak' dan 'Lepat Luie' sejenis makanan bagi kaum Bugis yang cukup terkenal di Dun Benut ini sejurus selepas mendengar khutbah serta menunaikan solat sunat Aidil Adha.

Untuk rekod pekan kecil ini adalah kawasan bagi Allahyarham Dato' Hj. Jalok Dg. Malibok, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Benut yang dahulu pernah menggemparkan negara dengan isu 'Cawat Besi'.

Turut hadir Hj. Bachok Welang, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Pontian. Ustaz Mohammad Nazar, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Pontian.

www.ibn75.wordpress.com

Ahad, 6 November 2011

Teknik Tumbangkan UMNO-Barisan Nasional Di Bulan Zulhijjah


PONTIAN - Ahli PAS disarankan memperbanyakkan amalan zikir di bulan zulhijjah sebagai cara mendekatkan diri kepada Allah swt disamping berdoakan supaya kerajaan Barisan Nasional dapat ditumbangkan dalam pilihan raya akan datang.

Perkara ini ditegaskan oleh Ustaz Atan Gombang, Pengelola Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Benut dengan katanya ada satu amalan yang baik yang boleh diamalkan terutama kepada pendokomg gerakan Islam iaitu dengan perbanyakkan ucapan tahlil.

Beliau memetik sabda Rasulullah saw yang mafhumnya berdasarkan hadis di bulan zullhijjah apabila Nabi Musa as berdialog dengan Allah swt berkenaan soal penerimaan doanya.

Menurutnya, Nabi Musa as memohon petunjuk bagaimana doa itu mudah diperkenankan oleh Allah swt.

Caranya iaitu bilamana berada pada 10 zulhijjah maka diajarnya membaca kalimah 'lailaha illalLah' seberapa banyak yang mungkin.

''Baca sekali ucapan 'lailaha illalLah' nescaya kalau ambil timbangan dan letak kalimah itu maka lebih berat daripada segala isi yang ada pada alam ini'' jelas beliau lagi yang juga bakal calon PAS Dun Benut.

Beliau berkata demikian dalam kuliah mingguannya di Markas PAS Cawangan Simpang Empat Benut, Unit Peti Undi (UPU) Simpang Jawa, Dun Benut, di sini, baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau turut menyarankan Dewan Ulamak PAS memperbanyakkan program dalaman dan tarbiyyah sepanjang 10 zulhijjah kerana nilaiannya cukup tinggi disamping mendoakan kemenangan gerakan Islam di negara ini.

''Dewan Ulamak boleh buat program dalaman sepanjang 10 (zulhijjah). Tawasul dengan doa untuk tumbangkan Barisan Nasional.'' jelas beliau lagi.

Dalam pada itu beliau mengingatkan bahawa doa yang tidak diperkenankan Allah bukan bermakna tidak diterima akan tetapi ada hikmah yang tersendiri sama ada didahulukan mahupun dikemudiankan.

''Jangan jemu-jemu berdoa. Kita lihat selepas 60 tahun Nabi Musa as berdoa, Allah terima. Barulah tumbangnya Firaun'' ujarnya lagi.

Sabtu, 5 November 2011

Sudah Jatuh Ditimpa Tangga

BENUT, PONTIAN – Pepatah Melayu ada mengatakan, ‘Sudah Jatuh Ditimpa Tangga’. Mungkin pepatah ini boleh digunakan bagi menggambarkan keperitan yang dialami oleh keluarga mendiang Tew Gee.

Insiden jumaat lepas itu sudah tentu tidak dapat dilupakan oleh waris mendiang kerana selain melakukan upacara keagamaan iaitu majlis memperingati tahun kematian bapa mereka akibat sakit jantung, kebakaran turut berlaku pada khemah yang didirikan di tempat berkenaan.

Difahamkan kebakaran berlaku berpunca daripada sistem pendawaian melalui litar pintas yang telah digunakan, dipercayai terbakar menyebabkan waris terpaksa menanggung kerugian sekitar RM 15.000.

Menurut anak lelaki mendiang, Twsee Seng, 48, katanya kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8.00 pagi menyebabkan ruang udara di Pekan Sanglang itu, turut dipenuhi kepulan-kepulan asap tebal.

Katanya lagi, kereta bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Pontian dikejarkan ke tempat kejadian namun api sudahpun padam sebaik tiba di sana.

”Waktu Bomba datang, api sudah padam. Ramai juga yang tolong, Melayupun ada tolong (padam)” katanya lagi ketika ditemui.

Bersimpati dengan insiden tersebut, rombongan daripada PAS Kawasan Pontian telah melakukan lawatan dengan diketuai sendiri Setiausaha Kerjanya, Sdr. Razali Limat.

Razali berkata, pihaknya amat bersimpati dengan keluarga mendiang dan kunjungan rombongan PAS sekurang-kurangnya boleh melegakan keluarga terbabit.

Disamping itu jelasnya lagi, di bawah lajnah Perpaduan Nasional PAS Pontian, kegiatan ini turut merapatkan hubungan parti itu dengan masyarakat Cina.

”PAS bukan setakat terlibat dengan politik kepartian semata-mata malah kerja-kerja kebajikan turut diutamakan.” ujarnya lagi.

Hadir sama, Sdr. Ah Kong, Timbalan Ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pontian, Tn. Hj. Abdul Ghani, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pontian, Sdr. Mohammad Nazar, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pontian.

Sukan PASTI Tarik Kehadiran Ramai


PONTIAN - Majlis Sukaneka Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) Peringkat Kawasan Pontian berjaya menarik pengunjung daripada kalangan lapisan masyarakat.

Program Tahunan Dewan Pemuda PAS Pontian itu telah berjaya diadakan dengan menarik penglibatan ibu bapa, guru, murid dan masyarakat menjadikan PASTI setanding dengan institusi pendidikan pra sekolah yang lain.

Menurut ketuanya, Ustaz Faizul Hakim Ahmad program seumpama ini dianjurkan bagi melihat potensi murid yang mempunyai kepelbagaian bakat supaya mereka mempunyai pengalaman tersendiri bila dewasa kelak.

Tambahan pula ia merupakan aktiviti kokurikulum dan membuang persepsi yang mengatakan PASTI hanya mementingkan pengajaran di bilik darjah semata-mata.

''Anak-anak kita ramai yang berbakat. Mengapa tidak bakat itu dipamerkan pula di luar bilik darjah'' jelasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada perasmian program Sukaneka PASTI Kawasan Pontian di perkarangan Markas PAS Kawasan Pontian, Kampung Api-api, dekat sini, baru-baru ini.

Beliau menambah dengan katanya program sehari itu membuka penyertaan kepada 7 buah PASTI di seluruh Pontian dan daripada kalangan ibu bapa masing-masing.

Pelbagai acara menarik telah dipertandingkan termasuklah penyertaan daripada masyarakat seperti anyaman ketupat, raut lidi, bowling kelapa, kelim ketupat, mewarna keluarga dan lain-lain lagi.

''Kita tak sangka penyertaan dikalangan orang dewasa begitu memberangsangkan seperti acara pancing botol. Kita jangka mungkin tiada sambutan. Tapi lain pula jadinya'' ujarnya lagi.

Pada majlis yang sama seramai 14 orang guru dengan dibantu 10 orang anggota Jabatan Amal Pontian bertungkus lumus menjayakan program itu.

Disamping itu, kaunter semakan daftar pemilih turut dibuka bagi memberi peluang kepada orang ramai menyemak kedudukan tempat mengundi masing-masing.

Terdahulu sesi penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Dr. Hj. Mumazaini Misri, bakal calon PAS Dun Pulai Sebatang merangkap Timbalan Yang Dipertua PAS Pontian.

Hadir sama Hj. Raden Sarobo Pono, Yang Dipertua PAS Kawasan, Sdr. Amin Sanusi, Pengerusi PASTI Pontian, Cg. Kalthom, Ketua Majlis Guru PASTI (MGP) Pontian.

Jumaat, 4 November 2011

Kenapa sekarang baru haramkan Seksualiti Merdeka?


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Nov: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mempersoal pihak polis yang baru tahun ini bertindak mengharamkan Festival Seksualiti Merdeka sedangkan ia sudah wujud sejak 2008 lagi.

Meskipun menyambut baik pengharaman tersebut, Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, polis hanya bertindak apabila rakyat bangkit membantah walaupun jelas program tersebut seolah-olah menghina kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

"Persoalannya, mengapa baru tahun ini pihak berkuasa menyedari adanya acara ini? Bolehkah kita simpulkan bahawa PDRM dan pihak-pihak berkuasa yang lain selama tiga tahun yang lepas gagal menjalankan tugas mereka?

"Apakah sudah menjadi budaya Pentadbiran Umno BN yang akan hanya bertindak bila rakyat kebanyakan mula menunjukkan bantahan atau lebih malang jika ianya membabitkan individu atau pihak yang tidak seiringan dengan Umno BN?" soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata polis dan Umno BN seolah-olah mengambil kesempatan untuk menunjukkan penetangan mereka kepada individu-individu tertentu.

Ini kerana Pengerusi Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk Ambiga Sreevanisan merupakan salah seorang penyokong program yang berlangsung di Annex Gallery bermula 1 November.

"Kesempatan ini diambil untuk melegitimasikan penentangan mereka kepada individu atau pihak-pihak berkenaan dan bukannya tindakan tegas yang bertitik tolak daripada rasa tanggungjawab, kesedaran dan amanah kepada tugas serta kehidupan beragama masing-masing," katanya.

Menurut beliau, penguatkuasaan undang-undang dan hukuman bukan langkah terbaik menyelelesaikan sesuatu isu namun harus dimulakan dengan langkah penerapan nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat.

Semua pihak khususnya pihak polis tidak harus bertindak seperti melepaskan batuk di tangga namun isu ini harus dilihat secara menyeluruh.

"Menyelesaikan masalah ini sewajarnya bermula daripada pendidikan, keprihatinan dan penetapan prinsip hidup serta prinsip pembinaan masyarakat yang secara jelas mesti bertunjangkan kepada keimanan yang benar serta kehidupan beragama dan kehidupan berTuhan," katanya.

Tambah beliau, semua pihak harus menitik beratkan pendidikan anak-anak dan pembangunan sesebuah institusi keluarga sehinggalah kepada pembinaan sebuah pentadbiran yang baik - ”good governance”, dengan meletakkan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik di pihak pemerintah dan setiap individu kepimpinan negara.

Hanya Sedikit yang Bekerja Untuk Agama


PONTIAN - Golongan yang dianggap 'pilihan' Allah yang bekerja menegakkan agamaNya begitu sedikit jumlahnya berbanding yang gemar beribadat semata-mata, kata Ustaz Adam Said, Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Terengganu.

Menurut beliau lagi adalah menjadi satu kefardhuan bagi mereka yang terpilih mempersiapkan diri dalam segenap perkara kerana di hadapan mereka banyak ujian dan cabarannya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan, untuk menjadikan persiapan itu dilakukan dengan penuh kesungguhan maka sabar menunaikan perintah Tuhan, sabar bila berdepan dengan musuh dan mencari muslihat untuk menggagalkan strategi musuh, haruslah dipasakkan di dalam hati.

''(orang) yang bekerja untuk agama, sangat sedikit. Kita dipilih Allah swt, golongan sedikit ini menjadi satu fardhu yang dipilih ini ialah persiapan kita untuk laksanakan kerja yang mencabar ini.

''Jihad kerja mencabar. Mereka akan bertemu banyak ujian berbanding seorang abid (kuat beribadat). Hendaklah bersungguh-sungguh bina persiapan diri antaranya sabar tunai perintah Allah swt, sabar berdepan dengan musuh dan mencari persiapan helah akan musuh.'' terangnya lagi.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan kuliahnya di perkarangan Markas Unit Peti Undi (UPU) Tampok, Dun Benut, dekat sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, kesukaran menghadapi kelicikan musuh dianggapnya tidak sama seperti kesukaran membina agama, kerana hal itu memerlukan pengorbanan dan iltizam yang tinggi.

Justeru beliau menaruh harapan bahawa perlu ada segolongan yang menjadi penolong agama Allah berbanding penyumbang kepada kemenangan.

''Tak ramai bina keyakinan tapi berdepan dengan syaitan pada sebelam malam, kadang-kadang kita kalah. Bina iman lebih mustahak !.

''Tidak ramai pejuang Islam jadi penolong untuk kejayaan Islam, yang ada hanya penyumbang untuk dapatkan kemenangan.

''Orang kafirpun boleh (menyumbang kemenangan), tapi jangan harap dapat bantu kita dalam kejayaan 'agama'. Jelasnya lagi.

Khamis, 3 November 2011

Tahalluf Siasi Adalah STRATEGI bukan Dasar - Mustafa Ali


KERJASAMA Politik atau lebih dikenali sebagai Tahalluf Siasi yang diamalkan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat merupakan strategi bagaimana mahu menang dalam Pilihan raya.

Dato' Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS Pusat berkata adalah tidak tepat anggapan yang mengatakan PAS sudah lari dari dasar perjuangannya sedangkan pendekatan strategi dengan dasar adalah satu yang berlainan.

Menurutnya lagi PAS tetap akan mempertahankan dasar perjuangannya iaitu Islam melebihi segala-galanya namun dalam masa yang sama sumber tenaga, organisasi dan teknik serta strategi tidak akan dipinggirkan.

''Dasar perjuangan tidak boleh berubah. Manakala tenaga kerja, organisasi dan strategi boleh berubah.'' tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan pada forum 'Masa Depan PAS Dalam Landskap Politik Semasa' di Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZM) di Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan di Taman Melewar di sisi, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi 'strategi' juga boleh berubah mengikut suasana dan keadaan selagi demokrasi negara ini membenarkan PAS bergerak dalam situasi damai maka soalnya lagi mengapa perlu pendekatan lain digunakan.

''Keadaan di Malaysia. Sebuah masyarakat majmuk. Banyak kebudayaan. Mereka juga rakyat dalam negara ini.

''Kita berdepan suasana muwajahah silmiah. Ia jadikan orang Islam 56-58 %. Yang lain kaum dan agama lain.

''Tak ada parti pun boleh bertanding bersendirian. Tak mungkin. Berdasarkan pengalaman dalam pilihan raya hatta UMNO pun sama.

''Oleh itu, nak perolehi kuasa kena kaedah rakyat bersama kita'' jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kuasa diperlukan kerana berpandukan sirah Nabi Muhammad saw yang berhijrah ke Madinah yang ruang terbuka luas bagi melebarkan dakwah setelah memiliki sebuah kerajaan sebaliknya ruang cukup terbatas semasa berada di Mekah.

''Nabi saw berhijrah kerana kuasa politik. Di Mekah terbatas. Kita nak kuasa politik yang ditentukan oleh kita'' tegas beliau lagi.

Terdahulu, Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Peringkat Kebangsaan ini telah dihadiri lebih 5000 peserta daripada seluruh negara.

Tinjauan turut mendapati bahawa para peserta turut bersesak-sesak sehingga melimpah ke luar dewan pada sepanjang tiga hari perjalanan program tersebut.

www.ibn75.wordpress.com