Khamis, 19 November 2009

Debat dan Kaukus khas Parlimen, usaha berterusan tuntut royalti

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 19 Nov:
Usaha menuntut hak royalti Kelantan terus konsisten dibuat bukan sahaja kerajaan negeri malah Pakatan Rakyat diperingkat pusat.Dua ikhtiar terbaru yang diusahakan termasuklah cabaran debat terbuka yang dibuat Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dan cadangan penubuhan kaukus khas parlimen mengenai royalty petroleum.Debat royalti itu bagaimanapun telah dipersetujui oleh Nazri dan menyerahkan urusan penganjuran kepada Salahuddin.Salahudin dalam pada itu akan melantik seorang wakil untuk berunding dengan wakil Nazri bagi membincangkan persiapan debat tersebut.Cabaran debat tersebut diutarakan Salahudin ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat petang Selasa lalu.

Berhubung penubuhan kaukus khas pula, Pemimpin Pakatan Rakyat di parlimen semalam telah bertemu bekas Pengerusi Petronas Tengku Razaliegh Hamzah bagi mencadangkan beliau mengetuai kaukus tersebut.Mengetuai pertemuan semalam adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Salahudin Ayub dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.Penubuhan kaukus khas parlimen ini dilihat mempu mencari jalan paling munasabah untuk menyelesaikan isu tersebut.Tengku Razaliegh atau lebih mesra dengan panggilan KU Li dalam responnya semalam berkata, beliau perlukan sedikit masa untuk meneliti cadangan tersebut“Lagipun saya telah lama dalam bidang ini, sejak penubuhan Petronas dan terbabit dengan kerja-kerja pengurusan serta merangka peraturan dan perundangan mengenainya. Saya akan mengikuti perkembangan isu ini dan lihat sama ada saya boleh menyumbang untuk mempertahankan hak rakyat berdasarkan kepada perlembagaan,” katanya.Ku Li adalah antara mereka yang bersetuju dengan usaha kerajaan negeri Kelantan menuntut wang royalti daripada pusat.Beliau juga satu-satunya pemimpin Umno yang dilihat tidak bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang hanya mengumumkan Wang Ehsan untuk Kelantan “Mana ada wujud perkataan Wang Ehsan? Saya rasa ia jelas dalam perjanjian yang ditandatangani antara Petronas dan negeri-negeri di mana minyak ditemui, bahawa di mana minyak ditemui, tidak kira sama di daratan atau lautan, rakyat berhak mendapat royalti dan bukan ehsan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa usaha telah digerakkan oleh kerajaan negeri Kelantan termasuk menghantar surat kedua kepada Najib supaya memberikan royalti kepada rakyat negeri, bukan wang ehsan.Selain itu, mereka juga akan melantik panel peguam bagi menuntut perkara tersebut melalui saluran perundangan yang ada.Terbaru, kerajan negeri Kelantan juga akan menjemput Ku Li bagi menjelaskan kedudukan sebenar kepada rakyat negeri itu berhubung perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas.Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah mengemukakan surat rasmi kepada pusat bagi menuntut bayaran royalti minyak berjumlah RM1 bilion sejak 2004 berdasarkan laporan Jabatan Statistik.

Selasa, 17 November 2009

Pegawai Daerah dipaksa jadi komplot jatuhkan Selangor



Adun Hulu Kelang (PAS)- Saari Sungib mendedahkan wujud tekanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap pentadbiran kerajaan Selangor yang didakwa berkaitan dengan pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang, 11 Oktober lalu.
Bercakap dalam perbahasan bajet Dun, beliau menunjukkan bukti melalui sepucuk surat sulit yang siap bertandatangan, nombor faks dan nombor telefon orang yang membuat arahan tersebut.
Katanya, surat sulit itu dikatakan dihantar oleh badan tertinggi MKN kepada dua orang pegawai daerah berkenaan.
Menurut beliau, surat sulit itu sebagai bukti kemungkinan ada `tangan-tangan ghaib' disebalik arahan tersebut yang mengandungi soalan kepadan MKN Selangor kepada pegawai daerah berkenaan.
"Soalan itu berkenaan isu Selcat dan diharap pegawai daerah dapat bekerjasama kerana laporan ini akan dihantar ke MKN Pusat dan Perdana Menteri pada 9 Okober 2009, (Jumaat)," dedah beliau.
Beliau mempersoalkan mengapa surat sulit itu dihantar pada 9 Oktober sebab dua hari selepas itu pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang.
Dalam surat itu juga tambah beliau, dinyatakan soalan yang perlu pegawai daerah itu jawab iaitu; `Apakah pandangan tuan berkenaan sesi Selcat; apakah soalan yang dibangkitkan dan diberikan dalam sesi Selcat; apakah komen Selcat; apakah pandangan tuan terhadap Speaker, Teng Chang Khim dan anggota Selcat serta pandangan terhadap exco Dato' Dr Hasan Ali dan komen beliau terhadap Selcat.'
Beliau menegaskan, tekanan MKN terhadap ketua jabatan berlaku ketika mana kerajaan Pakatan Rakyat mahu kerjasama daripada kakitangan dan ketua jabatan tetapi mereka mengatakan terdapat arahan begini.
"Kita khuatir terdapat tangan-tangan ghaib sebagaimana usaha yang dilakukan oleh MKN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor," tegasnya.
Dalam perbahasan yang sama beliau turut mendedahkan tujuh orang yang ditamatkan pentaulihaan tanpa sebab oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang jelas membuktikan Jais mempunyai niat yang tidak baik.
Antara mereka kata beliau, ketua jabatan sunnah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini masih berkhidmat dan juga merupakan seorang lulusan peringkat kedoktoran.
Beliau mendakwa tindakan Jais itu melibatkan "tangan-tangan ghaib" tertentu kerana tidak menggambarkan semangat pentadbiran kerajaan Selangor yang 'pro-rakyat'.
Sebaliknya tambah beliau, tindakan Jais dalam penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Mohd Zainul Abidin itu menggambarkan tidak seiring jalan antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan Jais.
Ekoran penangkapan Dr Asri itu, masyarakat menyamakan kerajaan Pakatan Rakyat sama saja seperti BN dulu yang sering menghalang dan menangkap ulama tanpa tauliah daripada berceramah.
Beliau berharap tanggapan masyarakat itu perlu dihapuskan kerana ulama dan ilmuan sepatutnya diberi tauliah sebagai pengikhtirafan mereka tanpa perlu memohon.
Tujuh orang yang tidak mendapat tauliah daripada Jais.
Fathul Bari Mat Jahya - kelulusan BA Hadis (Universiti Madinah), MA (Universiti Yarmouk, Jordan), sedang menamatkan PhD di Universiti Islam Antarabangsa (UIA)
Mohd Khairi Anwar Abdul Latif - BA al-Quran dan Sunnah (UIA), MA Hadis (UIA), bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Abdul Razak Mutalib - BA Usul Fiqh (UIA), MA Hadis, bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Muzairi Mustafa - BA Tafsir, Usul dan Dakwah (Al-Azhar, Kaherah), sedang menuntut di peringkat sarjana
Fathlan Mohd Osman - BA Dakwah, MA Tafsir (UKM), sedang menyiapkan PhD Hadis di UIA
Dr Azwira Abd Aziz - BA (Univeristi Madianah) MA (Univeristi Madianah), PhD (Universiti Jordan), ketua Jabatan Al-Quran dan Sunnah UKM
Mohd Roesfan Sazzerin Mohamad Sufi - BA Hadis, Diploma Dakwah (Universiti Madinah), MA Hadis (UIA)

Tahniah perjuang lama, Dr Syed Husin Ali dipilih Senator


Lama tidak dengar khabar Dr Syed Husin Ali, bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM). Kali terakhir saya bertemu dan sempat berbual serta bertanya khabar semasa program Protes membantah kenaikan harga minyak, di Stadium bolasepak Kelana Jaya.

Itupun tidak sempat berbual panjang... hanya sekadar bertanyakan perkembangan politik dan keadaan keluarga beliau. Ketika itu beliau kelihatan agak uzur, seperti tidak seronok berbual panjang.

Sebelum itu saya sempat juga berbual panjang dengan beliau semasa menzairahi pengkebumian penulis terkenal yang juga bekas orang kuat PRM, Rustam Sani, di Gombak.

Diharapkan dan didoakan semuga beliau ketika ini dalam keadaan sihat apalagi beliau dipilih sebagai Senator Selangor.

Saya ucapkan tahniah dan dalam usia yang agak lanjut sempat juga beliau masuk ke Parlimen. Ini sikap perjuang sejati. Bersabar menanti kemenangan. Tidak pernah gopoh dan mudah bertukar prinsip semata mahu menikmati kemenangan.

Beliau tidak mudah kalah atau lemah menghadapi musuh. Tidak mudah dibeli dan dipujuk untuk meninggalkan perjuangan.

Walaupun sekuat mana tekanan kerajaan keatas beliau sehingga di ISAkan, tetapi tetap dengan perjuangan sama ada semasa ditahan atau selepas keluar tahanan.

Pujuk, rayu, seksa, tekanan dan beli tidak boleh disama dengan prinsip perjuangan beliau.

Saya mengenali beliau melalui pembacaan bahan politik dan berkenalan sekitar 1993 ketika membuat tugasan dengan akhbar Harakah di Kampung Chubadak Tambahan. Syed Husin ketika ikon kepada penduduk setinggan.

Mungkin juga penerbitan PRM ketika itu tidak berpengaruh seperti Harakah maka saya menjadi rapat dengan beliau dan pemimpin PRM. Akhbar utama negara langsung tidak memberi ruang kepada pembangkang maka Harakah menjadi alternatif kepada beliau ketika itu. Selepas itu saya sering membuat liputan berkait dengan beliau dan PRM.

Sekiranya Amir, orang Kampung Chubadak membaca tulisan ini tentu ingat Syed Husin bersama perjuang hak asasi lain naik turun balai dan mahkamah mempertahankan penduduk kampung tersebut.

Kampung Chubadak yang dinilai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai setinggan. Sedangkan kerajaan ditahun 60 an lagi menyuruh mereka meneroka di situ, tetapi bila Kuala Lumpur makin maju, orang kampung dicop setinggan.

Kerajaan bila senang sudah lupa jasa tangan penduduk setinggan berperanan sama memajukan bandaraya tersebut.

Dengan Akta Pengambilan Tanah kerajaan rakus meroboh rumah penduduk yang sudha dinilai setinggan. Siapa lagi yang diharapkan penduduk. Kalau wakil rakyat BN sendiri tolong pemaju bukan lagi bertindak sebagai seorang wakil kepada rakyat maka pemimpin pembangkang juga yang dicari penduduk.

Hasil dari perjuangan bertahun-tahun itu yang diterokai Syed Husin dan pemimpin pembangkang lain maka sekarang kita melihat kesannya dan rakyat mula bangun menuntut keadilan.

Sekarang rakyat mahu melihat diakhir perjuangan beliau terus memperjuangkan hak marhaen perumahan, pendapatan, hak sosial yang lebih harmoni dengan kehidupan tenang serta aman tanpa perlu gopoh dan tertekan.

Ikuti berita selanjutnya...

Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini mencalonkan timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali, 73, sebagai senator yang mewakili negeri tersebut.

Pemilihan Syed Husin diluluskan melalui undian di mana 32 ADUN menyokong, tiga ADUN berkecuali manakala 20 ADUN lagi tidak hadir.

Nama beliau dicadangkan oleh Menteri Besar. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan disokong oleh exco kerajaan negeri, Datuk Dr Hasan Ali yang juga pesuruhjaya PAS Selangor.

Syed Hussin yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah daripada London School of Economics and Political Science pada 1972 dan telah berkecimpung dalam bidang politik selama 50 tahun.

Dewan juga turut mencalon dan meluluskan S Ramakrishnan sebagai seorang lagi calon senator.

Nama Ramakrishnan, 53, dicadangkan oleh exco kanan negeri, Teresa Kok dan disokong oleh Yaakob Sapari. Ramakrishnan menjadi ahli DAP sejak 2000.

Tiga puluh dua ADUN menyokong pencalonan Ramakrishnan manakala dua ADUN membantah. Seorang ADUN berkecuali manakala 20 ADUN lagi tidak hadir.

Jawatan senator yang diisi oleh Ramakrishnan pada asalnya hendak diberikan kepada pemimpin Hindraf V Ganabatirao yang disokong oleh pemimpin-pemimpin kanan India dalam DAP kerana peranannya dalam memperjuangkan isu-isu kaum tersebut.

Sebelum itu lagi, jawatan senator itu hendak diberikan kepada pemimpin akar umbi T Kannan tetapi ianya ditolak oleh pemimpin parti seperti naib pengerusi M Kulasegaran, timbalan setiausaha agung P Ramasamy dan setiausaha publisiti DAP Tony Pua yang menyokong pemilihan Ganabatirao.

Bagaimanapun, dipercayai nama Ganabatirao digugurkan selepas Sultan tidak berkenan kerana dia tidak dilahirkan di Selangor.

Pakatan Pembangkang Setuju PAS Tanding Kota Siputeh

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang bersetuju PAS akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputih, Kedah sekiranya berlaku pilihan raya kecil bagi kawasan berkenaan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persetujuan sebulat suara itu dicapai dalam satu mesyuarat yang dihadiri pemimpin-pemimpin kanan parti pembangkang di Parlimen, di sini, hari ini.

"Kita membincangkan perkara itu dan PAS telah menyatakan sudah siap sedia untuk bertanding di kerusi berkenaan. Parti Pakatan Rakyat lain akan memberikan sokongan padu kepada PAS," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.

Kerusi Kota Siputeh disandang Datuk Abu Hassan Sarif daripada Barisan Nasional (BN) sebelum ia diisytiharkan kosong semalam oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan kegagalan beliau menghadiri dua persidangan dewan itu secara berturut-turut tanpa kebenaran speaker.

Bagaimanapun hari ini Abu Hassan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, melalui peguam yang mewakilinya Datuk Mohd Hafarizam Harun. BERNAMA

Guan Eng nafi bantu fakir miskin Islam di tokong

(Gambar hiasan: Lim Guan Eng [baju puteh] 'berbuka puasa' dengan Adun Permatang Pasir)

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan kerajaan negerinya memberikan sumbangan kepada fakir miskin Islam di tokong sebagaimana yang disebarkan melalui SMS.

Guan Eng ketika dihubungi Harakahdaily berkata, fitnah sebegini bukan pertama kali berlaku tetapi telah berlaku sebelum ini untuk memberikan gambaran buruk kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

"Ia satu fitnah dan pembohongan oleh musuh politik kita," kata Guan Eng kepada Harakahdaily.

Menurut Guan Eng, jika benarpun ada sumbangan yang diberikan di tokong sebagaimana yang didakwa ia bukan sumbangan kerajaan negeri tetapi oleh orang persendirian.

"Semua sumbangan kerajaan negeri kebanyakannya dibuat di dewan orang ramai. Kita tidak pernah bagi sumbangan kepada orang Islam di tokong tetapi kita pernah buat dalam masjid," katanya.

Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sedang menyebarkan sms kononnya bantuan fakir miskin Islam oleh kerajaan DAP Guan Eng mesti dibuat di tokong cina.

Hari ini (semalam), menurut sms itu, 15 November jam 9.30 pagi bantuan fakir miskin Islam dari Tasek Gelurgor diberi di Tokong Telok Air Tawar.

"Untuk fakir miskin Bagan di Tokong depan mahkamah," menurut sms yang disebarkan itu.

"Saya harap rakyat tidak percaya dengan sms ini kerajaan kerajaan Pakatan Rakyat tidak akan buat diskriminasi kaum dan akan layan semua kaum dengan samarata," kata Guan Eng.

Beliau menganggap pihak musuh yang cuba menyebarkan fitnah ini, namun beliau tidak menamakan pihak yang bertanggungjawab.

"Siapa yang makan cili dia yang akan terasa pedasnya," kata beliau lagi.

Pakatan cabar BN biarkan Dun Kota Seputeh kosong

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Pakatan Rakyat mencabar Umno agar tidak membuat rayuan di mahkamah bagi membolehkan pilihanraya kecil di Dun Kota Seputeh berjalan sebagaimana yang sepatutnya.

Demikian kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi, selepas selesai mesyuarat Pakatan Rakyat di Parlimen. Turut serta dalam sidang media bersama PR itu ialah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa pimpinan tertinggi parti masing-masing.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh menjelaskan bahawa PKR dan DAP sebulat suara akan membantu PAS, jika pilihanraya kecil berlaku kelak.

Beliau juga turut menjelaskan beberapa isu kehakiman berbangkit, termasuk dalam isu keputusan "tergantung" pengesahan Menteri Besar di Perak.

Ujarnya lagi, sistem kehakiman negara seharusnya hanya tunduk pada perlembangaan.

Beliau juga mengkritik segelintir hakim yang dilihat tunduk pada kuasa eksekutif.

Ditanya tentang konvesyen PR Disember depan, Anwar menjelaskan bahawa mesyuarat tersebut turut membincang isu-isu dasar yang disepakati bersama antara ketiga-tiga parti pembangkang tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, mahkamah akan memutuskan rayuan BN agar pilihanraya kecil Dun tersebut tidak berlaku.

Sekiranya mahkamah menolak rayuan BN sekali gus membangkitkan semula isu berkaitan yang lain, seperti di Dun Perak.

Ini kerana, Speaker Dun Perak V. Sivakumar sebelum ini pernah menghantar Surat Pengosongan Dun kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) ekoran beberapa Adun tidak menghadiri sidang Dun dan gagal dikenal pasti kedudukan mereka.

Namun, SPR mendahului kuasa mahkamah dengan memutuskan bahawa kepitusan tersebut adalah tidak sah.

Akhirnya, keputusan mahkamah Jumaat ini dilihat penting untuk memulihara semula institusi kehakiman itu sendiri.

Pemuda PAS Johor bawa isu penemuan 14 kad pengenalan ke parlimen

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Dewan Pemuda PAS Johor menyerahkan satu memorandum menuntut isu penemuan 14 kad pengenalan dan beberapa dokumen 6 Jun lalu yang didakwa ada kaitan dengan penyelewengan pilihanraya dibawa ke parlimen.

Ianya ekoran masih tiada sebarang tindakan susulan diambil walaupun perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak Polis dan dimaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negri Johor.

Penyerahan memorandum tersebut diketuai Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub di lobi parlimen pagi tadi.

Khairul Faizi dalam sidang media sebelum itu memberitahu, siasatan berhubung penemuan itu sangat penting kerana ianya membabitkan keselamatan negara.

"Empat belas kad penganalan ini saya dapati tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan...setidak-tidaknya kad pengenalan yang tidak lagi dimiliki akan dipotong."

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, ianya ada kaitan dengan penyelewengan pilihan raya berikutan kad perwakilan Umno turut ditemui bersama.

"Yang lebih mencurigakan kami, kad pengenalan masih elok dijumpai bersama dengan beberapa dokumen yang mengejutkan...termasuk kad perwakilan jentera (Umno) pilihanraya tahun 1995."

turut dijumpai, bersama (adalah) kad perwakilan Umno yang tertera nama Norhashimah Abu Samah (iaitu) Naib Ketua Wanita (Umno) Cawangan Kampung Baru (Johor Bharu)," katanya lagi.

Kesemua barangan tersebut didakwa dijumpai 6 jun lalu di satu kawasan tapak pelupusan sampah di Johor Bharu.

Ekoran penemuan itu, beliau memberitahu telah membuat laporan polis pada hari yang sama.

Namun melihat tiada sebarang perkembangan, mereka mula mengatur tindakan susulan termasuk menghantar memorandum kepada balai polis negeri dan kepada pihak lain yang bertanggungjawab.

"Setelah tidak ada laporan (balas) Polis, kami telah hantar memorandum pada Ketua Polis Johor 19 Ogos."

Tambahnya, hanya dua hari kemudian Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman menjelaskan bahawa kes tersebut bukan di bawah bidang kuasa polis dan telah menyerahkan kes itu kepada JPN Negeri Johor.

Meliahat masih tiada sebarang maklumbalas, mereka sekali lagi menghantar memorandum bantahan sama kepada JPN negeri pada tarikh 17 September lalu.

JPN Negeri dakwanya menjelaskan bahawa kes tersebut di bawah bidang kuasa Polis, kemudiannya menjelaskan bahawa kes itu sudah dipanjangkan kepada JPN Pusat di Putrajaya.

Keadaan saling tolak menolak kes tersebut menyebabkan sehingga kini belum ada sebarang maklum balas positif dari kedua dua pihak tersebut.

Dalam pada itu, Salahuddin ketika menerima memorandum itu berjanji untuk membawa kes tersebut ke Parlimen dalam masa terdekat.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS meminta Polis dan JPN mengambil bertanggungjawab menyelesaikan kes tersebut.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul menyifatkan pendedahan tersebut merupakan salah satu penyelewengan pilihanraya menggunakan kad pengenalan.

Sabtu, 14 November 2009

Gambar Seminar Pemuda Pas Johor Untuk Pru Ke 13




- Antara gambar-gambar yang sempat di ambil kami dari wakil Dewan Pemuda Pas Pontian.Alhamdulillah kehadiran yang amat memberangsangkan pada hari tersebut dewan hotel dipenuhi perwakilan pemuda di semua kawasan.Kehadiran melebihi 200perwakilan pemuda.Pontian menghantar wakil 3 iaitu Saudara Norazid ( Ketua Pemuda ) , Saudara Saiful Amri ( Su.Pemuda ) dan Saudara Norazan ( Ketua Amal Pontian ).

Nik Aziz batal hasrat ke tanah suci

KOTA BHARU, 13 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasratnya untuk menunaikan haji ke tanah suci 18 November ini.

Menurut laporan, Nik Aziz mengumumkan perkara itu sewaktu menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu pagi tadi.

Perkembangan terbaru itu didakwa ada kaitan dengan serangan pihak tertentu yang mempolemikkan tajaan untuk beliau mengerjakan haji.

Namun difahamkan, Nik Aziz tidak menyatakan sebab sebab pembatalannya itu dan hanya menyatakan beliau dan menantunya telah di fitnah dan di khianati.

PAS Kelantan sebelum ini mempertahan Nik Aziz yang menerima tajaan tersebut kerana menganggapnya biasa berlaku kepada orang alim dan guru-guru pondok di negeri itu.

Mereka juga yakin, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membangkitkan isu itu adalah sekadar mencari modal politik.

Tuan Guru berkata, pemergiannya ke tanah suci yang dijadual pada 17 Nov ini ditangguhkan kerana media heboh mempersoalkan pemergiannya itu kerana ditaja orang tertentu yang didakwa mempunyai kepentingan dengan kedudukannya sebagai menteri besar.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS berkata laporan dalam media dan laman blog mengenai tajaan untuk beliau itu bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

"Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh orang Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Qurasy Malaysia," katanya ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Kota Bharu hari ini.

Dalam ceramah itu, Nik Aziz berkata, beliau tidak begitu "pelahap" (menagih) tajaan oleh seseorang untuk menunaikan ibadah haji kerana beliau mempunyai wang sendiri, tetapi menerima tawaran itu kerana mahu memenuhi niat orang yang ingin menaja pemergiannya.

"Tapi oleh kerana akhbar geger (bising) sangat, saya tangguhkan dulu niat untuk pergi ke Mekah kali ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Nik Aziz mengakui ada pihak membiayai perbelanjaannya untuk menunaikan ibadah haji dan beranggapan ia tidak salah selagi tidak melanggar peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, beliau menerima terlalu banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang sanggup menanggung perbelanjaannya ke Mekah.

AZMIN JAWAB TUDUHAN VICKNESWARAN BERKAITAN SAHAM RM8.5 JUTA

PETALING JAYA: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menegaskan laporan yang mengaitkan beliau dan isterinya memiliki aset dalam bentuk saham bernilai RM8.5 juta adalah tidak berasas sama sekali dan juga satu fitnah untuk merosakkan reputasinya sebagai seorang wakil rakyat.

Kata beliau lagi, dakwaan ini juga satu fitnah jahat untuk mengaibkan dirinya dan juga keluarganya.

“Sejak tahun 1998 saya dan keluarga sering menjadi sasaran fitnah bertujuan untuk mengaibkan saya dan keluarga. Saya diburu oleh pihak berkuasa seperti polis, Badan Pencegah Rasuah dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menjalankan siasatan mengenai perolehan harta saya.

“Malahan alasan yang sama digunakan untuk menangkap dan menahan saya pada 16 sehingga 22 September 1998 (dan) saya telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa termasuk butiran lengkap aset kami,” kata Azmin dalam satu kenyataan petang Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kenyataan Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, S.A. Vickneswaran semalam (Jumaat) yang mendakwa beliau telah menerima satu kiriman yang mengandungi dokumen berkaitan dengan pembelian saham melibatkan tiga individu termasuk Azmin, isterinya Shamsidar Tahrin dan Jamal Tahrin bernilai RM8.5 juta dari tahun 1992 sehingga 1994.

Antara tahun 1992 hingga 1994, Azmin berkhidmat sebagai setiausaha sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia yang disandang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Vickneswaran mendakwa dokumen tersebut diserahkan kepada pengawal keselamatan kediamannya di Kota Kemuning pada lebih kurang jam 3 pagi.

Azmin dalam reaksi balasnya petang ini berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menyegerakan prosiding perundangan yang sewajarnya terhadap pihak yang membuat kenyataan fitnah tersebut.

“Saya percaya dokumen yang didedahkan oleh Vickeswaran itu dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengaitkannya (salah laku) dengan saya dan isteri saya,” katanya lagi.

Beliau juga menyatakan rasa kesalnya kerana apa yang berlaku ini menunjukkan usaha untuk melancarkan fitnah ini tidak henti-henti demi untuk menganggu keamanan, ketenteraman, mengaibkan dan mencemarkan nama baiknya dan juga keluarganya.

“Malah kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat itu jelas mempunyai motif politik bertujuan merosakkan reputasi saya selaku ahli Parlimen Gombak dan naib presiden PKR. Maka Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh Vickneswaran ke atas saya,” tegas beliau.