Sabtu, 14 November 2009

Amy Search teringin tubuh sekolah tahfiz

malaysiakini 14/11/09

Ikon penyanyi rock negara tahun 80-an, Amy Search berhasrat menubuhkan sebuah sekolah tahfiz tidak lama lagi.

Amy, atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, bercadang membina sekolah itu di Johor. Hasrat itu timbul semasa beliau menziarahi sebuah bukit ketika menunaikan ibadat haji tahun lalu.

"Ketika mendaki bukit, saya bertanya-tanya arah mana tujuan saya nanti dan siapa diri saya serta untuk apa Allah kurniakan saya dengan bakat yang ada ini.

"Ketika itu juga, telinga saya terdengar-dengar lagu Cahaya Merah Dari Ufuk Timur -- lagu yang menginsafkan hati saya tentang matlamat kejadian insan," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran buku Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah di Bangi semalam.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Utusan Malaysia kerana memilih beliau untuk melancarkan buku berunsurkan keagamaan, Amy berkata buku kecil itu mampu mendidik dan menyedarkan masyarakat Islam mengenai hukum hakam dalam agama.

"Membaca cerita-cerita dalam buku ini bukan sekadar untuk memenuhi masa lapang, tetapi ia boleh dijadikan iktibar penting dalam kehidupan harian kita.

"Buku ini besar ertinya dan saya yakin ia boleh membentuk jiwa orang Islam supaya lebih mendekati Allah dan menjauhi perkara yang dilarang," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran itu.

Buku setebal 189 halaman berharga RM7.50 senaskah merupakan kompilasi cerita yang tersiar dalam majalah Mastika sejak tahun 1996. Ia mengisahkan pengalaman jemaah haji dan umrah semasa di Mekah.

Sementara itu pengumpul cerita berkenaan, Zulkarnain Zakaria berkata sebanyak 27 cerita dimuatkan dalam edisi pertama buku itu.

"Buku koleksi ini adalah wadah kami di Utusan dalam menyampaikan dakwah, memperingati mereka yang lupa dan memberi khabar gembira dari Tanah Suci kepada masyarakat Islam di seluruh negara.

"Untuk permulaan, sebanyak 100,000 buku dicetak dan saya yakin selepas ini akan ada ulang cetak berikutan permintaan yang memberangsangkan daripada syarikat pengendali umrah dan haji," katanya. BERNAMA

‘Tuduhan Anwar Sorok ‘RM3b’ Tidak Berasas’

Dari Malaysia Kini

Bekas pengarah siasatan BPR, Abdul Razak Idrus memberitahu mahkamah tinggi hari ini bahawa siasatan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menyorok RM3 bilion dalam akaun asing dan mempunyai kaitan dengan kepentingan Barat, didapati tidak berasas.

Abdul Razak, 60, yang kini telah bersara tetapi menjadi pengarah dalam beberapa syarikat, berkata BPR telah menyiasat perkara itu ekoran dakwaan yang dibuat dalam akuan bersumpah bekas penolong gabenor Bank Negara, Abdul Murad Khalid.

Katanya, sepasukan pengawai BPR telah ke Singapura dan United Kingdom untuk menyiasat dakwaan tersebut.

“Kami berjumpa dengan Murad dan beberapa saksi di Britain. Tetapi siasatan mendapat ‘tiada kes’ terhadap Anwar berhubung dakwaan dalam akuan bersumpah Murad,” katanya.

Oleh itu, katanya, beliau membuat kesimpulan bahawa dakwaan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak berasas dan mengarahkan supaya siasatan ditutup.

Murad menandatangani akuan bersumpah itu pada 20 Oktober 1999 – kira-kira sebulan selepas Anwar ditahan selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada awal bulan September tahun berkenaan.

Abdul Razak kemudiannya membuat akuan bersumpahnya mengenai perkara itu dan mengemukakannya kepada mahkamah.

Bekas pegawai kanan BPR itu memberi keterangan dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan oleh Anwar terhadap News Straits Times Press (M) Bhd dan bekas ketua pengarang kumpulannya, Datuk Abdullah Ahmad.

Artikel yang didakwa berunsur fitnah itu, disiarkan pada 2 Mac 2002.

Mustafa sambut baik cadangan Nik Aziz jadi ketua Pakatan Rakyat

Zulkifli Sulong

KUALA LUMPUR, 13 Nov: Cadangan Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim agar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi ketua atau pengerusi Pakatan Rakyat pertama mendapat sokongan dari Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa mengakui bahawa Nik Aziz adalah antara ikon penting yang mengikat parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan jika cadangan Zaid itu boleh diterima oleh lain-lain pimpinan Pakatan, beliau menyokong cadangan itu.

"Bagaimanapun ia hendaklah mendapat sokongan dari semua pimpinan Pakatan terlebih dahulu," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Datuk Zaid dalam blognya mencadangkan agar Nik Abdul Aziz menjadi ketua atau pengerusi Pakatan Rakyat.

Dalam poll yang dibuat oleh NTV7 malam ini, siapa yang sepatutnya memimpin Pakatan, Nik Aziz mendapat 44%, Datuk Seri Anwar 43%, Lim Kit Siang 17% dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi 6%.

(Gambar: Datuk Zaid calonkan Nik Aziz sebagai ketua Pakatan Rakyat)

"Untuk menjayakan usaha ini, ia memerlukan “pengorbanan” dari (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. (Datuk Seri Tuan Guru) Abdul Hadi Awang juga boleh membuat sumbangan besar dengan meminta Tok Guru Nik Aziz untuk menjadi Ketua atau Pengurusi kepada Pakatan Rakyat; sama seperti Mahatma Gandhi yang menjadi “spiritual leader” kepada parti Kongres India.

"Lim Kit Siang pula boleh membuktikan semangat “statesmanship” dengan bersetuju dengan cadangan ini serta menjadi penasihat dalam hal-hal demokrasi dan hak asasi. Sekali gus tindakan ini akan melenyapkan sebarang agenda “unity government” dengan UMNO," tulis Zaid dalam blognya.

Sebelum ini, Zaid bersama lima lagi pemimpin Pakatan iaitu dua dari setiap parti mendaftarkan secara rasmi Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti politik dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Zaid telah dinamakan sebagai pengerusi protem itu.

"Satu wadah politik yang bernama Pakatan Rakyat Malaysia telah pun dikemukakan permohonan untuk kelulusan Pendaftar Pertubuhan 10 hari yang lalu.

"Saya amat gembira dengan perkembangan ini; maklumlah ini adalah julung kali tiga parti pembangkang terbesar di tanah air kita bersetuju untuk bersatu di bawah satu kerangka yang sah serta mempunyai lambang dan matlamat perjuangan politik yang satu," tulis Zaid dalam blognya.

Dalam tulisannya itu, Zaid juga mencadangkan agar Tengku Razaleigh Hamzah dilibatkan dengan Pakatan Rakyat.

Para pemimpin Pakatan sepatutnya berusaha lebih gigih dan bersungguh-sungguh supaya pemimpin politik seperti Tengku Razaleigh Hamzah masuk gelanggang bersama-sama dengan mereka, tulis Zaid.

Pasukan Pakatan tentu masih memerlukan beberapa orang ’striker’ lain dari yang ada sekarang untok memperkuatkan pasukan. Ku Li memang orang lama; tetapi ada integriti dan pandangan politik nya kontemporari, tulisnya.

Menurut Zaid, beliau tidak semestinya melompat parti kerana perjuangan untuk matlamat yang sama boleh diwujudkan melalui kerjasama yang lebih rapat.

Ini boleh dilakukan dengan mengadakan ceramah dan kempen bersama, katanya.

"Saya sedar Ku Li masih mempunyai impian untuk memulihkan UMNO, iaitu menghidupkan semula UMNO asal yang telah mati (dan kemudiannya menjadi alat untuk kroni-kroni parti dengan masalah politik wang dan rasuah). Bagi saya tidak ada salahnya kerjasama seperti itu kerana hasrat bersama kita ialah membuat pembaharuan ke arah sistem pemerintah yang bersih, cekap dan tidak rasuah," tulisnya lagi.

Dalam tulisannya, Zaid mempunyai pandangannya tersendiri dalam usaha Pakatan Rakyat untuk mengembangkan sayapnya di Sabah dan Sarawak.

"Realiti politik menunjukkan ia adalah usaha yang amat berat. Kesan buruknya sudah pun kelihatan sekarang apabila berlaku perebutan kerusi, sama seperti dalam pilihan raya umum 2008.

"Hakikat politik juga menunjukan bahawa adalah lebih baik jika Pakatan memainkan peranan dengan memberi sokongan padu kepada parti-parti tempatan yang sehaluan dengan Pakatan di Sabah dan Sarawak.

"Ini bukan sahaja langkah yang dilihat sebagai menghormati maruah dan kekuatan orang tempatan tetapi juga membawa kepada kesan yang lebih besar, iaitu membawa mereka bersama menjadi rakan kongsi dalam Pakatan. Bukankah ini lebih realistik?" tulis Zaid.

Yang penting, bagi beliau adalah untuk menjadi ikatan kuat dalam Pakatan ialah kesanggupan semua pihak untuk bersetuju tanpa berdolak-dalik untuk memastikan wujudnya dasar-dasar negara yang baik dan dipersetujui bersama melalui perbincangan sebagai landasan perjuangan.

"Hanya gabungan besar atau “grand coalition” seperti ini mampu mengatasi gergasi BN," katanya.

"Sebaliknya jika para pemimpin besar ketiga-tiga parti ini masih lagi merasakan mereka sudah cukup kuat dan hebat, dan memadai dengan meneruskan cara lama, iaitu melalui pakatan pilihan raya atau “electoral pact” semata-mata, saya yakin impian ke Putrajaya hanya akan kekal sebagai mimpi di siang hari," tulisnya lagi.

Khamis, 12 November 2009

Tidak akan hadir esok, tidak tahu menahu - Dr Asri

Azamin Amin

Kemaskini jam 1.00 petang KUALA LUMPUR, 12 Nov :
Bekas Mufti Perlis menyelar tindakan pihak JAIS yang menghebahkan kepada media bahawa akan di dakwa di mahkamah syariah esok sedangkan tiada sebarang surat rasmi atau makluman dokumen kepada beliau sendiri yang tidak tahu menahu pendakwaan tersebut."Sehingga kini saya tidak ada sesiapa yang menghubungi, hantar surat atau sebarang dokumen untuk meminta saya hadir di mahkamah syariah."Saya tidak akan hadir dan tidak boleh hadir kerana ianya tidak ikut prosedur yang betul. Kenapa dia hebahkan kepada media sedangkan mereka perlu maklumkan kepada saya terlebih dahulu.

"Saya sendiri tidak tahu menahu," katanya ringkas ketika menghubungi Harakahdailyt sebentar tadi.Beliau yang kesal dengan sikap JAIS yang bertindak 'melangkaui' bidang kuasa dengan menjadi penghebah, penangkap, penguatkuasa, pendakwa dan penghukum dalam masa yang sama."Sikap dan tindakan melampau inilah yang menyebabkan orang hilang keyakinan terhadap kewibawaan pihak institusi agama seperti JAIS yang sewenang-wenangnya menggunakan kuasa mereka," katanyaSemalam, menurut laporan portal berita beliau dijangka didakwa di Mahkamah Syariah Gombak Timur Jumaat ini kerana memberi ceramah tanpa tauliah, kata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Bercakap kepada pemberita di Shah Alam, Penolong Pengarah Perhubungan Awam JAIS, Mohd Hidayat Abd Rani berkata kertas siasatan kes Dr Mohd Asri "hampir siap".Menurutnya, pihak pendakwa kini sedang menyemak kertas siasatan tersebut sebelum mendakwa Dr Mohd Asri di mahkamah.Mohd Hidayat berkata, JAIS akan juga mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah Gombak untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Syariah Shah Alam kerana ia dianggap kes 'berprofail tinggi'."Ia juga memudahkan kami menguruskan kes tersebut dari Shah Alam... selain itu, permohonan seumpama itu dibenarkan mengikut undang-undang," katanya.Langkah terbaru Jais itu dijangka mencetuskan bantahan pelbagai pihak yang sebelum ini mengecam penangkapan bekas mufti Perlis itu ketika memberi ceramah di sebuah rumah di Taman Sri Ukay, Gombak pada 1 November lalu.

Najib perlu tarik balik kenyataan terhadap CEUPACS

KUALA LUMPUR, 12 Nov:
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar semalam menasihatkan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak agar berdamai dan menarik balik kenyataan beliau terhadap Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) dalam isu tuntutan bonus untuk kakitangan kerajaan.Najib sebelum ini mengeluarkan kenyataan didakwa menghina CEUPACS sebagai tidak bermoral kerana menuntut bonus untuk kakitangan awam dari kerajaan."Saya minta Perdana Menteri berdamai dan tarik balik kenyataannya kata CEUPACS tidak bermoral bila mereka tuntut bonus," jelasnya.Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menasihatkan Najib agar menjelaskan pertimbangan kerajaan menolak tuntutan CEUPACS itu.

"Dia (CEUPACS) nak tuntut itu haknya, kerajaan jelaskanlah kenapa tak boleh (beri bonus)...jelaskanlah kalau kerajaan hadapi penguncupan ekonomi,ketirisan, rasuah dan sebagainya kalau itu punca kerajaan tidak mampu beri bonus pada mereka." jelasnya."Saya tidak mahu menuduh Najib tidak berupaya menyanggah tuntutan itu (tuntutan bonus) kerana dia adalah Perdana Menteri 1Malaysia, takkan dengan CEUPACS pun tak berani nak bersemuka. Kalau macam ini, 1CEUPACS pun tak layak."Tambahnya lagi, tindakan Najib menafikan hak CEUPACS itu turut dilakukan ke atas kerajaan negeri Kelantan, dalam isu royalti minyak."Saya nampak apa saja yang dituntut rakyat, Najib akan anggap sebagai tidak bermoral. Mungkin sebab itu, Najib menafikan hak kerajaan negeri (dan) rakyat Kelantan untuk dapat royalti minyak sekarang ini," ujarnya."Sedangkan ini (pemberian royalti minyak) adalah hak yang termaktub dalam perjanjian antara Petronas, kerajaan persekutuan dan negeri.

"Beliau juga menyifatkan tindakan Najib enggan bersemuka dengan CEUPACS sebagai cubaan menyembunyikan fakta, sama seperti sikap Najib dalam kes pembunuhan gadis Mongolia."Saya juga lihat Najib cuba sembunyikan fakta yang perlu kakitangan kerajaan tahu, tidak kira sama ada kes rasuah (dan) ketirisan yang libatkan beberapa individu yang dekat dengan Najib, atau juga siapa bunuh Altantuya, semua nak tahu," jelas Khalid lagi."Itu (sembunyi fakta) yang sepatutnya dilihat sebagai suatu kesalahan tidak bermoral apabila seorang wartawan akhbar Perancis dedah gambar-gambar Najib bersama Altantuya yang saya lihat cuba disembunyikan."Mewakili seluruh kepemimpinan PAS, Mahfuz juga menyokong tuntutan CEUPACS agar seluruh kakitangan kerajaan diberikan bonus demi menempuhi kemelesetan ekonomi tidak lama lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain (gambar) turut mendesak Najib menarik semula kenyataannya, yang dianggap menghina kakitangan kerajaan di negeri Perak sendiri.Menurut Abu Bakar, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang mengalami difesit untuk tahun ke-12 tahun ini mungkin menjadi punca kerajaan tidak boleh melunaskan tuntutan CEUPECS itu, seperti yang yang didedahkan Penyarah Universiti Malaya Profesor Rajah Rasiah sebelum ini.Ujarnya lagi, bonus kepada kakitangan kerajaan adalah antara piawaian umum untuk rakyat menilai sejauh mana kemampuan kerajaan.Terdahulu, beberapa media melaporkan Najib enggan bertemu CEUPACS dalam isu tuntutan bonus kakitangan kerajaan kerana mengganggap tuntutan tersebut sebagai tidak bermoral.Tindak tanduk Najib itu dipercayai bukan sahaja mencalar peribadinya, malah slogan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Royalti: Kelantan panggil Tengku Razaleigh perjelas perjanjian

12 November 2009 (harakahdaily)

KOTA BHARU, 12 Nov:
Kelantan akan meneruskan misi tuntutan hak royalti minyak negeri itu dengan memanggil bekas Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah memberi penjelasan kedudukan sebenar kepada rakyat negeri itu.Exconya, Datuk Husam Musa berkata, perkara itu telahpun dipersetujui Tengku Razaleigh dalam pertemuan mereka sewaktu di parlimen baru-baru ini.''Saya mendapat persetujuan itu dua hari lalu semasa di Parlimen dan Ku Li akan bersama dalam ceramah yang dikendalikan oleh kerajaan negeri kelak," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, semalam.Antara lain Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu akan memberi penjelasan berhubung perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Petronas yang telah dibuat pada 1975.Kerajaan negeri bagaimanapun belum menetapkan masa untuk megadakan majlis penjelasan tersebut.

"Kita tidak pasti lagi bila ceramah itu akan diadakan kerana Menteri Besar Kelantan (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) menunaikan haji di Makkah.“Kalau sempat, kita buat sebelum Menteri Besar pergi. Jika tidak kita buat selepas itu,” ujarnya.Selain itu, kerajaan negeri juga telah melantik sebuah syarikat guaman untuk menjadi panel menuntut wang royalti tersebut.Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat berkata, tunggakan bayaran royalti pusat kepada Kelantan kini mencecah RM2 bilion.Ianya kerana Kawasan Pembangunan Bersama (JDA) mula mengeluarkan hasil pada 2005, dan Kelantan sepatutnya memperoleh RM400 juta setiap tahun.Maka sejak dari itu jumlah keseluruhan tunggakan adalah sebanyak RM2 bilion.'' Mengikut rekod, kerajaan Pusat menerima RM800 juta untuk 2010 dan kita berpendapat separuh dari pembayaran itu yang sepatutnya dilakukan secara tunai adalah untuk Kelantan.Menurutnya, keadaan itu sama seperti yang dibayar kepada negara Thailand.

''Ini sama seperti yang diamalkan oleh Thailand, negara itu memperoleh RM800 juta dan RM400 juta diberikan kepada wilayah Songkhla," ujarnya.Kelantan ujarnya tidak wajar dinafikan bayaran royalti kerana Sarawak dan Sabah telah menerima bayaran seumpamanya walaupun operasi perolehan minyak lebih jauh tiga batu nautika daripada perairan negeri tersebut.Selagi belum mendapat bayaran royalti tersebut, kerajaan negeri tegasnya akan menggunakan seluruh saluran yang ada bagi memastikan hak rakyat negeri itu dikembalikan.

Khamis, 5 November 2009

Pemberian tauliah oleh jabatan agama undang-undang lapuk & perlu dihapuskan - MP Kulim-Bandar Baru

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru, Zulkifli Noordin berpendapat, soal keperluan mendapatkan tauliah oleh mana-mana pendakwah Islam di negara ini adalah satu peraturan lapuk dan perlu dihapuskan oleh pihak yang bertanggungjawab menguruskan hal ehwal agama di negeri-negeri.

Sebaliknya kata beliau, perkara yang hanya perlu diawasi oleh pihak jabatan adalah kepada mereka yang mengajar atau menyampaikan ajaran sesat.

Katanya, isu mantan Mufti Perlis yang ditahan kononnya menyampaikan ceramah tanpa tauliah telah membuka mata dan minda umum khususnya umat Islam di Malaysia tentang isu pemberian tauliah untuk mengajar, menyebar, menyampaikan dakwah Islam.

“Sebenarnya syarat untuk mendapat tauliah oleh mana-mana pendakwah Islam sebelum dibenarkan menyampaikan risalah Islam ini adalah satu cara penjajah menyekat kebangkitan umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

“Akibatnya, tindakan JAIS baru-baru ini sangatlah memalukan Islam sendiri. Mereka menghina dunia Islam, mereka membantutkan perkembangan ilmu Islam. Yang paling malang, mereka membuktikan kepada dunia betapa jumudnya pemikiran segelintir mereka yang diberi kuasa untuk "menjaga Islam".

“Saya berpendapat bahawa keperluan kepada tauliah untuk menyampaikan Islam dan berdakwah hendaklah dimansuhkan. Pada saya ia lebih memudaratkan Islam daripada membawa kebaikan. Pada saya, dakwah dan penyebaran serta pengembangan Islam dan ilmu perlu dibenarkan tanpa sekatan, sama ada di masjid dan surau, mahupun di mimbar Jumaat.

“Hanya jika penyampaian dan ajaran yang dibawa adalah bercanggah dengan Islam ataupun sesat barulah kita ambil tindakan,” kata Zulkifli dalam laman blognya.

Apa pun, katanya, yang pentingnya setelah lebih 50 tahun merdeka, mengapa umat Islam di Malaysia masih terikat dengan belengu penjajah.

Sudah tiba masanya kata beliau, warisan-warisan penjajah saperti isu tauliah ini dihapuskan, dan dibina semula umat yang lemah dan lesu ini diatas dasar Islam yang menurut Al Quran dan sunnah yang sebenarnya.

Beliau berhujah, semasa penjajahan Barat, kebanyakan ulama, pendakwah dan pejuang Islam telah menggunakan medan dakwah di surau, masjid, dan lain-lain tempat untuk membangkitkan semangat umat Islam menentang penjajah berdasarkan 'ilmu dan kekuatan jihad berpaksikan akidah.

Penjajah katanya, telah mencipta pelbagai sekatan untuk menghalang pejuang-pejuang kemerdekaan daripada menggunakan premis seperti surau dan masjid sebagai medan menyampaikan dakwah serta meniup semangat kemerdekaan. Di Selangor, penjajah mencipta satu undang-undang dipanggil Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor No. 3 1952.

Dalam enakmen ini, penjajah menukar habis hukum syarak dan perundangan Islam. Dan bagi menyekat pengembangan Islam, maka disekat para ulamak, guru agama, para da'ie dan pendakwah serta aktivis dan pejuang Islam daripada menyebarkan Islam dengan membuat peruntukkan di Seksyen 166 Enakmen tersebut iaitu:

"Siapa-siapa melainkan dirumahnya dan dihadapan ahli rumahnya sahaja, mengajar dan menerang lain-lain pengajaran mana-mana ilmu agama Islam dengan tiada mendapat kebenaran yang bertulis dari Kadi hendaklah disiksa dengan penjara lamanya tiada lebih daripada 3 bulan atau denda tiada lebih daripada 6 bulan atau denda".

Berdasarkan peruntukkan ini, kata Zulkifli ramai ulamak, guru, pendakwah, para da'ie dan aktivitis serta pejuang Islam yang disekat daripada menyampaikan risalah Islam. Ada yang ditangkap dan dihukum, dan akhirnya masjid menjadi lesu dan hilang rohnya.

Katanya lagi, inilah sistem perundangan yang terus menerus diwarisi oleh orang Melayu walaupun sesudah merdeka.

“Di zaman siber tanpa sempadan, saya hairan JAIS dan yang sewaktu dengannya masih lagi terbelengu dengan warisan penjajah ini. Apakah JAIS akan bertindak terhadap guru agama yang mengajar Quran dan muqaddam di rumah-rumah dengan pensyarah, guru yang mengajar mata pelajaran Islam di sekolah-sekolah?.

“Bagaimana pula dengan program Ehwal Perdana Islam di kaca TV, ramai panelisnya adalah golongan yang tidak diberikan tauliah. Bagaimana dengan mereka yang menyampaikan Islam di dada akhbar, majalah dan lain-lain. Bagaimana dengan blog, ruang siber dan lain-lain.

Apakah masjid atau surau tidak boleh memanggil penceramah dari disiplin lain untuk memberi ceramah dan kuliah. Contohnya memanggil doktor pakar untuk memberi penerangan tentang perubatan. Ataupun memanggil seorang pegawai Amanah Raya untuk memberi penjelasan tentang hal wasiat dan pusaka.

“Bagaimana kalau pihak masjid memanggil seorang pakar perbankan untuk memperjelaskan tentang skim kewangan Islam. Apakah mereka semua ini tidak layak memberikan ceramah dan kuliah kepada jemaah Muslim, sedangkan Islam itu satu agama kehidupan, dan soal perubatan, kewangan, guaman dan lain-lain juga adalah perkara yang menyentuh tentang kehidupan harian umat Islam,” tanya beliau.

Dan katanya lagi, secara logik cuba bayangkan di Malaysia ada 14 negeri, bermakna seseorang pendakwah perlu mendapat 14 tauliah! Bayangkan Mufti Negeri Perak tidak diberi tauliah menyampaikan ceramah/ khutbah di negeri Johor.

“Bayangkan bekas Mufti Selangor Almarhum Dato' Ishak Baharom sendiri dihalang menyampaikan ceramah dan kuliah dalam negeri Selangor setelah dilucutkan jawatan Mufti. Bayangkan Dato' Ismail Kamus, dahulu dia yang menandatangani sijil tauliah, hari ini dia sendiri tidak diberi tauliah.

“Bayangkan ulamak sebesar Datuk Dr Haron Din langsung tidak diberi tauliah untuk mengajar di surau atau masjid. Adakah wajar ulama seperti Dr Abdullah Yassin, yang diiktiraf oleh dunia Islam sebagai seorang ulamak mufassirin tetapi ditangkap ketika sedang mengupas surah Al Baqarah hanya kerana tiada tauliah!,” tanya ahli parlimen itu lagi.

Rabu, 4 November 2009

Kejadian Dalam MCA Boleh Berlaku Pada Semua Parti

Wednesday, November 04 @ 06:02:42 PST by tokdalang

Oleh Mohd Sayuti Omar

KESAMRAWITAN politik dalam parti MCA memberi banyak pengajaran. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia politik elok mengikuti dan memahami pergolakan yang berlaku dalam parti itu untuk dijadikan pengajaran berguna.


Anak-anak muda sedang galak berkokok dan kini baru teringin untuk belajar membaca sifir-sifir politik, menghafal formula-formula politik juga elok mengamati apa yang berlaku dalam MCA itu. Hayati dan fahami sebaik mungkin, maksud dan maknanya, nescaya anda akan muncul sebagai pemain politik yang cekap dan cerdik suatu hari nanti.
Sebenarnya kalau hendak tengok warna, bau dan aksi politik, nah, apa yang berlaku dalam MCA itu adalah sebahagian daripada realitinya. Mungkin ada yang merasa pening, ganjil dengan apa yang berlaku itu. Kenapa tidak, kedudukan dan pemegang jawatan boleh bertukar dalam masa 24 jam.

Tanpa mesyuarat EGM pun kedudukan boleh bertukar ganti mengikut percaturan amarah. Anihnya juga, dengan keputusan yang diberi oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pun kedudukan seseorang itu yang sudah terbuang boleh dikembalikan semula kedudukan asalnya.

Bayangkan, mulanya Presiden MCA, Ong Tee Keat telah menggugurkan kedudukan Chua Sok Lek sebagai timbalan presiden. Keputusan itu diambil selepas keahlian Sok Lek digantung. Penggantungan itu dan perlucutan jawatan yang dimenangi menerusi kongres itu menyebabkan tidak ada siapa melihat Sok Lek boleh bernafas lagi dalam politik.

Mesyuarat EGM MCA sekali lagi membuat keputusan bahawa kedudukan Sok Lek itu tidak berubah. Walhal dalam mesyuarat EGM juga turut mengambil keputusan terhadap Ong Kee Teat agar beliau juga digugurkan sebagai presiden, tetapi resolusi itu tidak terlaksanakan. Yang terus menerima nasib malangnya Sok Lek.

Kee Teat telah melantik pula Liow Tiong Lai sebagai timbalan presiden MCA sebagai mengganti Sok Lek. Serentak itu juga lima orang jawatankuasa CC, Yoo Wei How, Chor Chee Heung, Chai Kim Sai dan Gan Hong Su dipecat dan diganti dengan muka baru.

Sebaik Tiong Lai jadi timbalan presiden pelan untuk menyelesaikan masalah dalam MCA dilakukan. Dicelah persiapan pelan ini timbul pula cadangan dari ahli MCA supaya EGM diadakan. Tujuannya ialah untuk memecat Keet Teat sebagai presiden dan menaikkan Tiong Lai sebagai presiden.

Cadangan ini tentulah membingungkan Tee Keat dan juga pemerhati di luar yang melihat pada awalnya Tiong Loi sebagai ingin membantu Keet Teat tiba-tiba berubah angin. Rupa-rupanya dalam senyap ada perancangan menjatuhkan Tee Keat sebagai presiden dan menaikan Tiong Lai sebagai presiden.

Belum sempat agenda itu berlangsung, perkembangan beru wujud dalam MCA bila mana ROS telah memutuskan kedudukan Sok Lek sebagai timbalan presiden tidak terjejas kerana mesyuarat EGM tidak berhak berbuat demikian. EGM tidak mempunyai korum cukup untuk menetapkan resolusi demikian. Ekoran perkembangan ini Tee Keat terpaksa berbaik dengan musuhnya itu ini menyebabkan kedudukan Tiong Loi dikembalikan ke jawatan asalnya sebagai Naib Presiden.

Tindakan ini memberi malu besar kepada Tiong Lai. Dia hanya menjadi presiden selama 19 hari saja. Kerana itu beliau tidak dapat menerima hakikat itu dan akan mencabarkeputusan ROS itu. Niat Tiong Lai untuk mencabar ROS itu menjelaskan bahawa beliau memang ada cita-cita untuk jadi presiden secara mudah.
Apa pun Sok Lek dilihat sudah berganding tangan dengan Tee Keat dan mereka dilihat senang kerana kedudukan masing-masing tidak terjejas. Yang belum diketahui nasibnya ialah Tiong Lai yang mulanya dirasakan akan menjadi presiden MCA secara mudah dan menerusi proses silap mata tiba-tiba harapan itu terpadam. Kalaulah Tee Keat dan Sok Lek benar-benar berganding tangan ini bermakna politik Tiong Lai akan ghuyup.

Sekali renung kronologi yang berlaku itu pelik dan tidak dapat diterima oleh akal. Tetapi sebenarnya itu adalah hakikat. Begitulah dunia politik. Kedudukkan pemainnya tak ubah seperti roda pedati sekejap ke atas sekejap ke bawah. Turun naik macam air laut menurut hebusan angin dan bayu. Sesiapa yang bijak mengolah diri hayat politiknya akan panjang.

Hal itu bukan saja terbatas dalam politik MCA tetapi dalam parti-parti lain juga. Dalam Umno, PKR dan Pas juga boleh berlaku. Pas hampir-hampir menghadapi suasana yang sama sekiranya seruan supaya diadakan EGM baru-baru ini mendapat sokongan. Cadangan EGM dalam Pas tempoh hari bukan saja ingin menentukan hala baru parti, tetapi menentukan kedudukan pucuk pimpinannya secara 'angin ribut'.

Makanya kepada pemuda pemudi yang galak menyanyi lagu demokrasi partisan, kalau tidak bersedia untuk menerima hakikat seperti apa yang menimpa Tee Keat, Sok Lek dan Tiong Lai itu maka hendaklah jauhkan diri dari politik. Kalau nak libat juga maka jadilah penampal poster yang mendapat upah seringgit dua bila ada pilihan raya kecil ataupun pilihan raya umum

Ulama Tersepit Di Gelanggang Politik - Kata Datuk Mohd Nakhaie Ahmad (Bhg. 2)

Firman Allah:
وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَاحْذَرُواْ فَإِن تَوَلَّيْتُمْ

فَاعْلَمُواْ أَنَّمَا عَلَى رَسُولِنَا الْبَلاَغُ الْمُبِينُ

Maksudnya:
Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata. (Al-Maidah: 92)


Sambungan dari Bahagian 1.

Khabar Angin
Bagaimanapun kira-kira dua tahun kemudian, saya terkejut bila bertiup khabar angin yang Ustaz Nakhaie akan meninggalkan PAS dan menyertai UMNO. Pada suatu hari dalam suatu mesyuarat pegawai-pegawai JAKIM, seorang pegawai yang duduk di sebelah saya berbisik mengatakan Nakhaie akan masuk UMNO dan akan dilantik sebagai Timbalan Menteri (Hal Ehwal Islam). Sehari dua selepas itu, beberapa orang pegawai JAKIM mengucapkan tahniah kepada Ustazah Rusmiyati. Beliau tidak memberi komen tetapi tersenyum simpul mendengar ucapan itu. Saya pada mulanya agak sukar mempercayai khabar angin itu walaupun orang yang pertama membawa berita itu kepada saya adalah seorang yang rapat dengan Datuk Dr Yusuf Noor (kini Tan Sri), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Beliau memang seorang pegawai yang pro-UMNO dan kebetulan berasal dari Terengganu.

Pertemuan di Rumah Saya
Bagaimanapun, beberapa hari selepas tersebar khabar angin itu, Ustazah Rusmiyati menyampaikan hasrat Nakhaie untuk berjumpa dan meminta pandangan saya. Saya pun bersetuju dan esok harinya, Nakhaie dan Ustazah Rusmiyati sampailah ke rumah saya di Kampung Tunku, Petaling Jaya. Mereka datang selepas waktu Maghrib dan berada di rumah saya lebih satu jam. Ustaz Nakhaie menerangkan tujuannya bertemu dengan saya dan menggambarkan bahawa beliau tidak berminat lagi untuk berada di dalam PAS terutama kerana katanya, PAS tidak akan mencapai kemenangan di dalam pilihanraya umum yang akan diadakan nanti. Beliau yakin UMNO akan mencapai kemenangan besar dan orang Melayu mesti bersatu. Berbagai-bagai lagilah alasannya untuk meninggalkan PAS yang didokongnya hampir 20 tahun. Selepas mendengar luahan Ustaz Nakhaie itu, saya tunjukkan tajuk utama akhbar Harakah keluaran beberapa minggu sebelum itu di mana Ustaz Nakhaie menghentam Dr Mahathir. Ketika itu pimpinan Harakah diterajui oleh Nakhaie. Saya bertanya: "Ini macamana, enta baru saja hentam Dr Mahathir. Sekarang dah nak bersama dia pula?" Dia hanya tersenyum dan tidak memberikan jawapan. Kami hanya bertemu secara empat mata kerana Ustazah Rusmiyati duduk di ruang tamu lain dilayani oleh isteri saya (Allahyarhamha Hajjah Fatimah Maimunah).

Ketika mereka hendak pulang, barulah isterinya bersama kami dan ketika itulah saya menyerahkan satu sampul surat berwarna hijau yang kandungannya merupakan sepuluh pesanan saya kepada saudara Anwar Ibrahim (Datuk Seri) ketika beliau mahu meninggalkan ABIM dan menyertai UMNO pada 1982 tetapi surat itu diserahkan balik kepada saya semula kerana kandungannya telah saya sebutkan satu-persatu kepada Anwar dalam pertemuan empat mata di rumah beliau di Subang Jaya ketika itu. Saya beritahu Nakhaie: "Ini surat 10 wasiat ana kepada Anwar Ibrahim lebihkurang 7 tahun dulu. Balik nanti, enta baca baik-baik dan kemudian pulangkan balik kepada ana." Setelah mengambil surat itu, Nakhaie menyerahkan surat itu kepada isterinya di hadapan saya. Saya tidak pasti samada surat itu dibaca oleh Nakhaie, yang pasti surat itu tidak dikembalikan kepada saya. Ustaz Nakhaie dan isterinya memberi alasan mereka tidak dapat menemui surat itu, bahkan Nakhaie pada mulanya semacam meragui ada menerima surat tersebut. Tapi isterinya mengakui yang mereka ada menerima surat itu bila hendak keluar meninggalkan rumah kami.

Saya masih teringat selepas melangkah keluar dari pintu hadapan rumah saya, Ustaz Nakhaie berkata: "Nanti kalau kami masuk UMNO, jangan pula tak tegur kami ..." Saya dan arwah isteri saya tersenyum mendengar kata-katanya itu, lalu saya jawab: "Jadi sahlah enta ni nak masuk UMNO?" Dia hanya tersenyum mendengar pertanyaan saya. Walhal semasa perbualan kami pada malam tu, saya meminta beliau supaya seboleh-bolehnya jangan menyertai UMNO. Kalau pun beliau tidak dapat lagi bersama dengan PAS, bergeraklah dalam NGO, malah saya menawarkan pimpinan Persatuan Ulama (PUM) kepada beliau.

Keluar PAS, Masuk UMNO
Beberapa hari selepas pertemuan itu, tersiarlah dalam media arus perdana cetak dan elektronik, gambar Ustaz Nakhaie bersama Datuk Yusuf Noor mengumumkan penyertaannya dalam UMNO dan meninggalkan PAS. Dari saat itulah Nakhaie mulai tersepit di gelanggang politik seperti yang beliau gambarkan dalam tulisannya seperti tajuk di atas. Saya katakan demikian kerana semasa dalam PAS, walaupun beliau berbeza pendapat dengan setengah pimpinan yang lain, namun peribadinya sebagai seorang ulama, kepimpinannya masih diiktiraf sehingga beliau memenangi salah satu jawatan Naib Presiden. Ketika dalam PASlah beliau memenangi kawasan Parlimen Baling, manakala apabila menyertai UMNO, nak jadi calon di kawasan yang sama pun ditolak dan tersepit di antara Datuk Seri Abdullah Badawi (sekarang Tun) dan Dr Mashitah Ibrahim.

Sebenarnya ketika mula melangkah menyertai UMNO, Nakhaie sudah tersepit di antara dua orang pemimpin UMNO yang pernah menjadi sahabatnya. Kedua-dua pemimpin tersebut adalah orang yang dibawa masuk ke dalam UMNO oleh Dr Mahathir, mereka ialah Datuk Yusuf Noor dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dr Yusuf Noor rakan sealiran lulusan Azhar kepada Nakhaie, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim bekas Presiden ABIM yang pernah Nakhaie menyertainya. Keadaan Nakhaie terus tersepit dan tertekan bila Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Encik Ghafar Baba (Al-Marhum Tun) bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO, sedangkan Datuk Yusuf Noor memihak kepada Ghafar Baba. Dalam pertandingan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menang.

Benar-benar Tersepit
Nakhaie benar-benar tersepit apabila Datuk Yusuf Noor tidak dapat memberikan sebarang jawatan dalam kerajaan. Kononnya nak dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebesar habuk pun dia tak nampak. Malah apa yang terjadi Ustaz Nakhaie terpaksa turun padang berceramah di seluruh negara dan diwar-warkan kononnya beliau Pegawai Khas Pusat Islam (panggilan popular JAKIM ketika itu). Akhirnya Yusuf Noor mengarahkan supaya diwujudkan satu jawatan kontrak untuk Ustaz Nakhaie. Oleh kerana jawatan yang boleh diwujudkan di Bahagian Penyelidikan, sayalah yang mengambil tanggungjawab melaksanakan arahan tersebut kerana saya ketika itu Pengarah Pusat Penyelidikan Islam. Apabila jawatan tersebut ditawarkan kepada Nakhaie, kami tidak menerima sebarang jawapan yang beliau bersetuju menerima tawaran tersebut.

Bila dimaklumkan kepada Datuk Yusuf Noor dalam satu mesyuarat, respon beliau lebihkurang berbunyi: "Kita menawarkan jawatan yang kita boleh beri. Bukan memberikan jawatan yang dia hendak." Maka berakhirlah kisah jawatan untuk Nakhaie. Akhirnya dalam keadaan tersepit itu, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Penerangan UMNO. Dengan perlantikan itu maka di dalam parti pun beliau tersepit lagi di bawah seorang Ketua Penerangan UMNO yang terkenal dengan sifat "gedebe"nya. Harapan Nakhaie sekiranya memegang jawatan Timbalan Ketua Penerangan, dapatlah duduk dalam Majlis Tertinggi UMNO dan bolehlah mengeluarkan isi mindanya untuk berdiri sama tinggi dengan Anwar Ibrahim dan Yusuf Noor dalam mendokong Dr Mahathir untuk melaksanakan penerapan nilai Islam Dr Mahathir yang amat dikagumi Nakhaie.

Terus Dirundung Malang
Ustaz Nakhaie terus dirundung malang apabila kalah untuk merebut jawatan Ketua Bahagian UMNO Baling dan seterusnya terpaksa melupakan niat untuk menjadi calon Ahli Parlimen Baling walaupun telah turun berkempen sebelum senarai nama-nama calon diumumkan, apabila ternyata kemudiannya Dr Mashitah calon yang dipilih partinya. Lebih mengecewakan lagi perasaan Nakhaie apabila dia hanya mendapat satu pencalonan sahaja untuk bertanding merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 2000. Semenjak itu nama Nakhaie terus dilupakan oleh UMNO tetapi Nakhaie terus menjiwai UMNO untuk perpaduan Melayu, kononnya. Dalam kehidupan peribadi sehariannya pun Nakhaie tersepit di tengah-tengah adik-beradik dan ibunya yang merupakan pendokong kuat PAS. Abangnya Ustaz Zawawi ialah Ketua Dewan Ulama PAS Kedah dan adiknya Allahyarham Ustaz Suhaimi orang kuat Pemuda PAS Kedah, bahkan adiknya yang telah bersara dari Angkatan Tentera sebagai Ketua KAGAT iaitu Brigadier Jeneral (B) Najmi, setahu saya pun beliau adalah seorang pendokong PAS. Lebih unik lagi yang menjadikan Nakhaie tersepit dalam kehidupan sehariannya kerana rumah beliau tersepit di tengah-tengah di antara Markaz Tarbiyah, rumah Ustaz Hassan Syukri di sebelah kanan rumahnya dan rumah orang-orang PAS di sebelah kirinya.

Namun demikian mulai tahun 2000 Ustaz Nakhaie diberi jawatan oleh Dr Mahathir apabila dilantik sebagai Yang DiPertua YADIM. Dengan jawatan itu beliau mendapat gaji yang lumayan dan beberapa kemudahan. Tidak lama kemudian beliau dianugerahkan gelaran Datuk. Sebelum itu pernah juga beliau memegang jawatan Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Kementerian Penerangan, tetapi tidak lama kemudian beliau meninggalkan jawatan itu. Mungkin kerana tersepit teruk di bawah Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Mohamed Rahmat.

Apa Dia Buat di YADIM?
Sepanjang Datuk Nakhaie Ahmad memimpin YADIM ketika zaman Mahathir, tidak nampak pun apa yang dibuat oleh YADIM untuk meningkatkan program penerapan nilai Islam Dr Mahathir yang amat dikaguminya. Yang lebih mengecewakan apabila Dr Mahathir mempertikai/mengkritik hukum-hakam Islam yang fundamental, tak pernah terdengar pun suara Datuk Nakhaie membuat penjelasan, apatah lagi istidrak (pembetulan) terhadap kenyataan Dr Mahathir. Saya tidak pernah dengar Ustaz Nakhaie atau YADIM mengeluarkan pandangannya terhadap kumpulan Jamaah Al-Quran Malaysia (JAM) yang diketuai oleh Dr Kassim Ahmad yang secara terang-terang menolak hadith. Dr Mahathir pernah membuat kenyataan seolah-olah membela kumpulan ini apabila beliau menegur keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang memutuskan bahawa sesiapa yang menolak hadith secara total adalah sesat dan membawa kepada murtad. Sehingga ke hari ini JAM terus bebas bergerak.

Di zaman Abdullah Badawi YADIM diamanahkan untuk mendakwahkan Islam Hadhari program Abdullah Ahmad Badawi. Dan diakui YADIM berperanan melaksanakan tugas yang diamanahkan tetapi konsep Islam Hadhari bukan sahaja terus tidak dapat difahami oleh rakyat, bahkan juga oleh pegawai-pegawai kerajaan sendiri yang sentiasa dipaksa untuk mengikuti pelbagai kursus mengenai Islam Hadhari di mana Datuk Nakhaie sering membentang kertas mindanya. Saya difahamkan idea melahirkan Islam Hadhari itu sebahagiannya adalah cetusan minda Ustaz Nakhaie yang disalurkan kepada Dr Abdul Hamid Othman (Tan Sri), Penasihat Agama kepada Perdana Menteri yang bertaraf Menteri Kabinet. Mungkin Ustaz Nakhaie berasa "syok sendiri" apabila konsep Islam Hadhari itu sentiasa diwar-warkan oleh media arus perdana, telah dapat sambutan dari berbagai-bagai negara Islam. Kononnya mereka hendak mencontohi Islam Hadhari dilaksanakan di negara mereka masing-masing.

Angkara 1MALAYSIA Najib
Tiba-tiba Datuk Seri Abdullah Badawi berundur secara terpaksa yang pada zahirnya bersebab dari kritikan-kritikan Dr Mahathir. Nakhaie nampaknya tersepit di antara Dr Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi. Nakhaie faham bahawa Dr Mahathir mahukan Najib Tun Razak untuk mengambil tempat Abdullah. Bila saja Najib menggantikan Abdullah beliau terus mengumumkan slogan konsep kepimpinan 1MALAYSIA. Ini bererti tamatlah riwayat Islam Hadhari Abdullah Badawi. Badawi pula dilantik oleh Najib menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam (IKIM). Kalau Islam Hadhari hendak dihidupkan terus, cukuplah IKIM menjadi talian hayatnya. Najib melihat YADIM tidak perlu lagilah memikul tugas untuk menyelamatkan Islam Hadhari kerana beliau tidak mahu lagi dalam kepimpinannya dihubungkaitkan dengan Perdana Menteri yang digantikannya. Dengan slogan 1MALAYSIA Najib menamatkan perkhidmatan Datuk Ahmad Nakhaie sebagai Yang DiPertua YADIM mulai 1 November lepas. Najib menawarkan jawatan tersebut kepada Dr Asri Zainal Abidin, bekas Mufti Perlis, seorang tokoh ilmuan Islam yang sedang popular dengan pandangan dan mindanya yang kerap mengundang kontroversi. Apakah sebenarnya Najib mahu Dr Asri Zainal Abidin atau hanya sekadar untuk membuat Datuk Mohd Nakhaie terus tersepit? Hari ini Datuk Nakhaie sedang berhadapan dengan Dr Asri yang membangkitkan apa yang dikatakannya sebagai perkara-perkara yang tidak jelas dalam pentadbiran kewangan YADIM semasa di bawah pimpinan Nakhaie.

Akhir sekali, saya nak menegaskan bahawa ulama di dalam gelanggang politik Islam tidak pernah tersepit selama perjuangannya berdasarkan Islam dan berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Hanya yang akan tersepit apabila perjuangan seorang ulama itu tidak jelas dasarnya, Islamkah, nasionalismekah, yang sebenar menjadi dasar. Kalau nasionalisme menjadi dasar, dia boleh berubah-ubah mengikut rentak dan gendang politik kerana matlamatnya hanya kemenangan di dunia. Inilah yang berlaku kepada ulama-ulama di dalam UMNO walaupun berkelulusan Ijazah PhD dalam bidang syariah, usuluddin, tasawwuf, Al-Quran, hadith, kesemuanya akan tersepit dan akhirnya tersingkir. Lihatlah hari ini, mana ada dalam Majlis Tertinggi UMNO yang berkelulusan agama. Satu demi satu tersingkir. Tunggulah selepas Brigadier Jeneral (B) Jamil Khir Baharom yang diberi lesen menjadi Menteri dengan jawatan Senator, berapa lama dia boleh dipakai oleh Najib kerana dalam parti UMNO tiada apa-apa jawatan.

Menyentuh tentang nasihat Nakhaie kepada Tan Sri Harussani Zakaria, Mufti Perak dalam tulisannya yang berbunyi: "Tan Sri! Sebenarnya orang-orang politik ada pelbagai alasan untuk membenarkan tindakan mereka atau memperbetulkan kata-kata mereka yang salah. Bahkan mereka juga mempunyai banyak cara dan kaedah untuk meletakkan kesalahan yang mereka lakukan ke atas bahu musuh-musuh mereka. ..." Saya suka hendak memberitahu Nakhaie bahawa mufti tersebut beria-ria menemui pimpinan PAS hingga ke Kelantan adalah kerana Sahibus Samahah itu seorang ulama politik yang pro-UMNO. Beliau memberitahu saya apa yang dilakukannya itu adalah atas permintaan (baca: arahan) Datuk Seri DiRaja Tajol Rosli, mantan MB Perak yang beliau bernaung di bawahnya. Jadi usahanya itu adalah merupakan tindak-tanduk politik UMNO. Walaupun tujuannya untuk menggabungkan UMNO dengan PAS dalam kerajaan Perak tapi dasar tujuannya adalah bermula dengan Melayu sedangkan perjuangan PAS bermula dengan Islam. Jadi yang tersepit antara Melayu dan Islam ialah ulama yang sefaham dan seangkatan serta sewaktu dengan orang seperti Datuk Mohd Nakhaie Ahmad. Demikianlah respon saya atas tulisan Datuk Mohd Nakhaie di dalam majalah MM keluaran terakhir yang beliau bersama YADIM tapi tidak menjadi penaungnya lagi dalam keluaran Oktober 2009 ini.

Demikianlah adanya, kalau ada kesilapan dalam fakta yang saya tuliskan dipohon maaf kepada yang berkenaan.

( SUMBER DARI BLOG USTAZ AHMAD AWANG )

Ulama Tersepit Di Gelanggang Politik - Kata Datuk Mohd Nakhaie Ahmad (Bhg. 1)

Firman Allah:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

أُوْلَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ خَالِدِينَ فِيهَا جَزَاء بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya:
Sesungguhnya orang-orang yang berkata, "Pemelihara kami Allah", dan kemudian meneguhkan, maka tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih. Mereka itulah orang-orang Taman (Jannah), di dalamnya tinggal selama-lamanya, sebagai balasan ke atas apa yang mereka buat. (Al-Ahqaf: 13-14)


Majalah Milenia Muslim (MM) keluaran Oktober 2009 membangkitkan lagi krisis politik di Perak. Mungkin Editor majalah tersebut dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang berkerjasama menerbitkannya tidak begitu selesa dengan jawapan dan penjelasan saya mengenai isu tersebut seperti yang tersiar dalam keluarannya pada bulan Ogos 2009. Secara jelas saya menolak dakwaan Tan Sri (ketika itu Datuk Seri) Haji Harussani Zakaria, Mufti Negeri Perak, yang kononnya krisis tersebut berpunca dari sikap saya. Mufti tersebut dalam wawancaranya dengan majalah MM keluaran Mei 2009 mendakwa kononnya Tok Guru Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi Awang bersetuju PAS membentuk kerajaan bersama UMNO di Perak. Hanya saya yang ketika itu selaku Pesuruhjaya PAS Perak yang menolak cadangan itu.

Penjelasan saya sebahagiannya ditapis dan tidak disiarkan tetapi saya siarkan dalam blog saya. Bahkan saya dedahkan perbuatan mungkir janji pihak Editor mengenai beberapa syarat yang dipersetujui untuk menemubual saya. Atas persetujuan kepada syarat-syarat itulah saya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap majalah MM yang membuat tulisan berunsur fitnah terhadap saya. Saya percaya kerana tidak senang dengan pendedahan dalam blog saya menyebabkan Datuk Mohd Nakhaie Ahmad menulis, samada dengan maksud membela Tan Sri Harussani atau pun cuba mempertahankan majalah MM yang di bawah naungannya, sebelum beliau tamat perkhidmatannya selaku Pengarah YADIM pada 31 Oktober yang lalu.

Saya masih ingat pada suatu hari dalam bulan Jun lalu, Datuk Nakhaie dalam perbualan telefon dengan saya begitu mesra menyatakan persetujuannya supaya majalah MM menemubual saya untuk menjawab segala perkara yang berkaitan yang dibangkitkan oleh Tan Sri Harussani. Akan tetapi ternyata beliau mencari peluang untuk menzahirkan isi mindanya dalam "Kembara Minda" majalah tersebut. Saya sebenarnya memang tidak gemar hendak mendedahkan cerita peribadi seseorang, namun untuk menjustifikasikan pendapat dan memberi hujah dalam menegakkan kebenaran, terpaksalah cerita peribadi Datuk Nakhaie saya ambil sebagai fakta untuk dinilai sejauh mana tulisan dan pendapat beliau boleh diterimapakai, kerana beliau sendiri adalah seorang yang boleh digelar sebagai ulama.

Datuk Mohd Nakhaie dahulunya dikenali sebagai Ustaz Nakhaie. Beliau berkelulusan dari Universiti Al-Azhar dan Darul Ulum, Kaherah, Mesir. Beliau pernah bertugas sebagai Penasihat Agama ITM (kini UiTM), Shah Alam tetapi kemudiannya meninggalkan jawatan tersebut. Setahu saya beliau pernah menjadi ahli jawatankuasa Biro Agama UMNO yang diketuai oleh Datuk Wan Abdul Kadir Ismail sebelum menyertai PAS. Beliau juga pernah aktif dalam ABIM dan pernah ditahan beberapa hari di bawah ISA kerana terlibat dalam demonstrasi isu Baling 1974. Beliau menyertai PAS pada akhir tahun 70an dan kemudian meninggalkan PAS pada penghujung 1980an. Beliau pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS dan menjadi Naib Presiden semasa keluar PAS dan menyertai UMNO.

Jubah dan Serban Ustaz Nakhaie
Setahu saya Ustaz Nakhaie semasa dalam PAS dulu sering memakai jubah, berkopiah merah berlilit putih (serban ala Syeikh Azhar) seperti yang saya sentiasa memakainya. Sebaik sahaja beliau meninggalkan PAS, Ustaz Nakhaie menanggalkan serban Azhar dan sekali-sekala bersongkok hitam tetapi kebiasaannya tiada bersongkok. Sebab itu tidak hairanlah apabila beliau menulis: "Orang politik bersilat mengikut rentak dan gendang politik. Serban dan jubah orang politik tidak melambangkan kelurusan. Perkataan yang diucapkan juga ada maksud yang tersurat dan tersirat." Jadi Ustaz Nakhaie menjadikan apa yang diamal dan dilakukannya selaku seorang ulama sebagai suatu ukuran yang standard terhadap semua ulama, iaitu mereka tidak boleh dipercayai seorang yang lurus dan jujur dalam perkataan dan perbuatannya apabila terlibat dalam gelanggang politik. Oleh kerana yang kerap memakai jubah dan berserban adalah orang-orang PAS, maka apa yang beliau katakan itu boleh dianggap ditujukan kepada ulama-ulama dalam PAS, termasuk saya sendiri.

Pandangan dan fahaman Ustaz Nakhaie mengenai politik semata-mata diukur dengan pendirian politik peribadinya yang dapat ditafsirkan bahawa tindak-tanduk beliau samada di dalam PAS atau ketika berada bersama UMNO sehingga hari ini (walaupun tanpa sebarang jawatan), sentiasa mengikut rentak dan gendang politik untuk mencapai sesuatu kepentingan peribadi beliau. Sebab itu beliau berpendirian bahawa untuk mencapai sesuatu tujuan politik, beliau mengiktiraf "kaedah tujuan menghalalkan cara" (the end justifies the means) yang diperkenalkan oleh Niccolo Machiavelli sejak abad ke-16 masehi.

Sebenarnya sepanjang beliau berada di dalam PAS lebih sepuluh tahun, saya tidak meragui ketulusan dan kelurusan beliau sebagai seorang pemimpin gerakan Islam (PAS), sekalipun saya tahu beliau pernah menduduki Biro Agama UMNO (saya tidak pasti samada beliau menjadi ahli parti itu). Saya pun tidak pernah mempersoalkan tindakan beliau menyelamatkan diri dari kemungkinan ditahan di bawah ISA ketika Operasi Lalang (1987) memberkas ramai pemimpin-pemimpin politik pembangkang termasuk Haji Mohamad Sabu. Memang sepatutnya seorang pejuang mesti bersedia menghadapi sebarang risiko bersama rakan seperjuangan, tetapi Ustaz Nakhaie memilih jalan yang lebih selamat. Kepada saya tindakan beliau itu masih boleh diterima kerana beliau masih boleh meneruskan perjuangan dari luar negara. Beliau sanggup meninggalkan anak isteri beberapa bulan lamanya sehingga menimbulkan masalah kepada keluarganya.

Saya masih ingat pada suatu hari isteri beliau, Ustazah Rusmiyati Harun (kini Datin) mengadukan hal kesusahannya kepada saya disebabkan Ustaz Nakhaie tidak balik ke tanahair dan terus menyembunyikan diri di luar negara. Saya diberitahu Ustaz Nakhaie kadang-kadang berada di Mesir, kadang-kadang berada di UK atau di tempat lain. Beliau berkata: "Sayalah ibu, sayalah ayah dalam rumahtangga kami, kerana Ustaz (Nakhaie) tidak dapat memenuhkan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga sejak beliau berada di luar negara kerana menyelamatkan diri." Saya ketika itu menjadi ketuanya di JAKIM (ketika itu BAHEIS - Bhg Hal Ehwal Islam JPM) di mana Ustazah Rusmiyati adalah salah seorang pegawai kanan (KPP) di bawah arahan saya. Saya nasihatkan beliau supaya sentiasa bersabar dan beristiqomah serta memahami benar-benar perjuangan yang didokong oleh Ustaz Nakhaie.

( SUMBER BLOG USTAZ AHMAD AWANG )