Khamis, 29 Oktober 2009

PAS adakan seminar ganti muktamar khas

Zulkifli Sulong
Thu | Oct 29, 09

KUALA LUMPUR, 29 Okt: PAS akan mengadakan satu seminar khas bagi membincangkan halatuju parti itu bagi menggantikann muktamar khas yang dicadangkan oleh Mursyidul Amnya.

Seminar yang bakal disertai oleh lebih 1000 perwakilan dari seluruh negara itu akan diadakan 7 Disember ini di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, Kuala Lumpur.
Antara yang akan dijemput memberikan pandangan nanti adalah Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Demikian beritahu Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya jam 1.00 pagi tadi.
Sidang media itu diadakan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Selain itu, mesyuarat khas itu juga mengambil ketetapan agar Lembaga Disiplin PAS yang dipimpin oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyiasat semua dakwaan terhadap PAS Selangor.
Lembaga ini akan mencadangkan tindakan disiplin kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melanggar disiplin parti.

Dalam sidang media itu juga, Abdul Hadi memaklumkan, isu Kerajaan Perpaduan ditutup sepenuhnya dan tidak akan berbangkit lagi.
Turut serta dalam sidang media selepas mesyuarat berjalan mulai jam 9.00 malam hingga 1.00 pagi itu adalah Naib Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali serta Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi.

Rabu, 28 Oktober 2009

Pemuda PAS mahu terus terang dalam mesyuarat malam ini

Harakahdaily
Wed | Oct 28, 09

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Mesyuarat Dewan Pemuda PAS malam tadi mengambil keputusan agar semua pihak yang berbeza pendapat dalam PAS berterus terang dalam mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam ini.
Mereka meminta agar perbezaan pendapat mengenai halatuju PAS diselesaikan secara tuntas dalam mesyuarat khas itu agar ia tidak lagi berlarutan.

"Pemuda mahu semua yang kata nak bekerjasama dengan Umno jelaskan sikapnya, manakala yang dikatakan pro-Pakatan sehingga membelakangkan parti juga menerangkan sikap mereka.
"Dari situ kita minta semua mengambil pendirian bersama dalam menentukan halatuju parti," kata Kamaruzaman Mohamad, Setiausaha Pemuda PAS.

Mesyuarat yang dipengerusikan ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi itu juga mengambil pendirian agar Lembaga Disiplin PAS diaktifkan sepenuhnya dengan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak sahaja yang didapati bersalah dalam menguruskan parti.
Perkara ini diberitahu Kamaruzaman Mohamad kepada Harakahdaily pagi ini.

Dewan Pemuda PAS telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.
Mesyuarat itu diadakan bagi memutuskan pendirian Pemuda menjelang mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan agar satu mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat diadakan malam ini ekoran tulisan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dalam blognya.

Tulisan itu mencadangkan agar PAS mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa untuk memilih semula pimpinannya ekoran rasa tidak puashati beliau terhadap pimpinan yang ada.
Nik Aziz telah mengesahkan beliau akan hadir ke mesyuarat khas yang akan diadakan malam ini mulai jam 8.30 malam di Pejabat Agung PAS.

Kronologi Sidang Dun Negeri Perak 28/10/2009

Terkini 1.54 pm : Sidang media berakhir
Sidang media telah berakhir dan semua Adun bersurai.
Satu report polis akan dilakukan oleh Adun-adun Pakatan Rakyat pada jam 3.00 petang ini di IPD Ipoh.

Terkini 1.45 pm : Ds, Nizar sahkan jumpa Raja Muda Perak di Kuala Dipang kelmarin.
Saya jumpa Tuanku kelmarin dan Tuanku tanya saya sihat ker?? Dedah Ds. Nizar apabila ditanya apa yang dibincang semasa jumpa Tuanku kelmarin.

Terkini 1.43 pm : Kami bukan boikot sidang tapi sidang tidak sah
Apa yang dilakukan adalah pelanggaran tanpa melihat salah atau betul (bulldost) demi untuk mencapai hasrat jahat BN.
Tidak berbangkit kami boikot sidang kerana sidang adalah tidak sah.

Terkini 1.40 pm : Kenyataan Pengerusi PKR Perak
Tindakan yang dilakukan oleh BN menjijikkan di Perak, demikian kenyataan Pengerusi PKR Perak, Mustaf Kamil Ayub.
Bajet yang dibentangkan oleh BN adalah tidak sah.
Mohon supaya DYMM Sultan Perak membubarkan DUN Perak untuk kebaikan rakyat.


Terkini 1.26 pm : Saya malu kerana Umno memperguna pasukan keselamatan.
Adun Pantai Remis akan melaporkan apabila tempat sulitnya di ceroboh sebelum masuk ke dalam dewan. Dalam pertelingkahan dia tidak dibenarkan membawa masuk kamera ke dalam dewan.

Terkini 1.23 pm : Kenyataan Dato' Ngeh
Tindakan polis menyebabkan demokrasi di Perak lagi merosot ke tahap yang lebih teruk.
Polis nampaknya tidak dapat membezakan siapa yang sebenarnya perompak dan pencuri sebenar.
Tegaskan tindakan polis jelas melangar undang-undang yang bole di hukum penjara selama 7tahun dan di denda.

Terkini 1.18 pm : Kenyataan MB Pakatan Rakyat
Speaker Sivakumar menunjukkan surat palsu dan menafikan dikeluarkan oleh pihaknya seperti yang disiarkan di blog ini kelmarin.
Kami dihalang oleh 5 sekatan dan ini bercanggah dengan demokrasi. Terbukti kekecohan bermula dari arahan defekto BN.
Saya rakamkan disini atas arahan BN kepada pihak polis menghalang kami.
Jika Speaker itu haram maka usul, bajet adalah tidak sah dan semuanya tidak mengikuti peraturan.

Terkini 1.13 pm : Sidang media, kenyataan V.Sivakumar
Sebahagian dari rakan media yang hadir.
Pihak polis menahan kami beberapa kali sebelum boleh masuk dewan, tidak pernah berlaku Adun dilayan seperti penjenayah.
Apabila kami tidak mahu menyerahkan jubah dan kekerasan digunakan untuk merampas songkok dan jubah. Mereka menekan dan mencekik saya supaya saya tidak bernafas dan lemah. Walaupun Adun PR cuba menyelamatkan tetapi mereka menghadapi ramai polis.
Sivakumar menunjukkan sekali lagi cebisan jubah yang masih tinggal sebagai simbol demokrasi.
Sivakumar mempersoalkan tindakan kami dilarang membawa masuk kamera. Juga beliau mendakwa semacam dirancang tidak ada anggota media dalam ruang legar SUK semacam hendak mengelak media melihat apa yang berlaku.
Speaker Sivakumar mengesahkan sidang pada hari ini dengan meluluskan tiga usul iaitu usul berkaitan tragedi di Kuala Dipang, tahniah dengan prestasi Kerajaan PR dan pencalonan seorang calon untuk menjadi Ahli Dewan Negara yang baru.

Terkini 12.58 pm : Mesyuarat Selesai
Mesyuarat Adun PR selesai dan satu sidang media akan berlangsung bila-bila masa.

Terkini 12.49 pm : Semua Adun di Wisma DAP adakan mesyuarat.
Semua Adun PR sudah berada di Wisma dan satu mesyuarat penting diadakan dengan dipengerusikan oleh YAB MB Pakatan Rakyat Perak, Ds. Muhammad Nizar Jamaluddin.

Terkini 12.40 pm : Laungan bubar DUN iringi Adun PR keluar dewan.
Laungan bubar DUN berkumandang apabila Ds. Nizar dan semua Adun PR keluar dari pagar bangunan Dewan Negeri.

Terkini 12.36 pm : Kami sudah diluar pagar.
Semua Adun PR sudah berada diluar bangunan SUK dan menuju ke pejabat DAP berkenaan.

Terkini 12.34 pm : Sidang tamat
Sidang sudah pun berakhir dan kami sudah berada di luar bangunan tapi masih dalam pagar dan kami berkumpul dihadapan bangunan DUN tidak berapa jauh dari pintu keluar.

Terkini 12.26 pm : Sidang media masih berlangsung
Dalam keadaan sidang haram yang dikendalikan oleh Speaker haram Ganesan, semua Adun PR masih berada dalam sidang media di dalam perpustakaan di aras yang sama.
Bila ada soalan yang ditanya oleh wartawan mengenai kami boikot sidang, dijawab perkara itu tidak berbangkit kerana sidang ditangguh oleh Speaker yang sah. Sidang yang berlangsung adalah sidang yang haram.

Terkini 12.15 pm : Tercemarnya demokrasi, MB Nizar
apa yang terjadi adalah membenamkan demokrasi di Perak dengan penghalang untuk kami masuk oleh polis.
Ini adalah ancaman sedangkan kami datang atas nama Adun dengan surat Speaker yang sah.
Kekecohan adalah tindakan pihak polis dan bukannya kami.
Menyebabkan nyawa Sivakumar terancam dan terjejas.

Terkini 12.07 pm : Kenyataan Dato' Ngeh
Ramai wartawan yang hadir.
Dato' Ngeh mengecam dan merasa kesal dengan keadaan Negeri Perak macam negeri polis. Tindakan kami ditahan ingin masuk ke dewan walaupun dengan berjalan kaki.
Tindakan polis untuk merampas jubah menyebabkan kita terperanjat pihak polis tidak dapat membezakan siapa pencuri sebenarnya.
Tindakan menanggalkan jubah secara paksa adalah tindakan BN yang mempergunakan pihak polis.


Terkini 12.01 pm : Sidang di perpustakaan dihadiri oleh semua Adun PR
Sivakumar menunjukkan cebisan jubah yang sempat di selamatkan.Speaker Sivakumar menjelaskan perjalanan dewan yang sah dan meluluskan tiga usul seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Terkini 12.00 pm : Bahagian sulit Pantai Remis telah diceroboh.
Dalam pergelutan Speaker Sivakumar mendedahkan tempat sulit Adun Pantai Remis telah diceroboh.

Terkini 11.58 am : Sidang media di perpustakaan.
YB. Sivakumar menjelaskan tindakan polis menghalang dan menahan Adun masuk seorang demi seorang dan tidak pernah berlaku. Ada usaha merampas jubah dan songkok saya,kami bertahan sehingga ke lif dan ke tempat letak kereta. Mereka menggunakan kekerasan, ada yang menekan dan mencekik saya sehingga tidak boleh bernafas.Beliau mengatakan lebih buruk dari kejadian 7 mei dan mereka berjaya merampas jubah.

Terkini 11.50 am : Sidang ditangguh oleh Speaker Sivakumar
Speaker yang sah menangguhkan sidang dalam keadaan Speaker haram masih mengendalikan sidang haram sebentar tadi.

Terkini 11.43 am : Laungan haram bergema berterusan
Adun Pakatan Rakyat terus melaungkan kalimat haram dan lanun atas tindakan BN meluluskan bajet haram.Tindakan Adun Pakatan Rakyat langsung tidak dapat diambil tindakan oleh Speaker haram kerana ternyata dia tidak ada kuasa apa lagi untuk meluluskan bajet.

Terkini 11.38 am : Bajet haram oleh sidang haram yang dikendalikan Speaker Haram
BN akhirnya melanggar undang-undang dengan membentang dan mengesahkan bajet haram sebentar tadi.

Terkini 11.35 am : Sidang Speaker sah YB. Sivakumar, sahkan usul Hj. Osman b. Abdul Rahman sebagai Ahli Dewan Negara baru.
Hj. Osman telah diusulkan oleh Adun Kuala Kurau menggantikan seorang Ahli Dewan Negara yang telah tamat tempoh perkhidmatan, dan disokong oleh Adun Kuala Sepetang. Usul diterima oleh dewan

Terkini 11.31 am : BN cuba lulus bajet haram
Laungan Speaker haram bergema Sidang BN yang cuba meluluskan bajet haram oleh Speaker Haram Ganesan.

Terkini 11.29 am : Dua sidang dalam satu dewan sedang berjalan
Sekarang ini dua sedang berjalan iaitu sidang yang dikendalikan oleh Speaker yang sah V.Sivakumar, dan Speaker haram Ganesan.

Terkini 11.08 am : Sidang ditangguh oleh Speaker Sivakumar
Sidang yang dikendalikan oleh Speaker sah Sivakumar nampaknya tidak diganggu oleh Speaker haram dan Adun BN.Ianya ditangguhkan sebentar tadi.

Terkini 11.07 am : Titi Serong mengusulkan tahniah dan penghargaan dengan prestasi kewangan Kerajaan PR 2008
ADUN Titi Serong membentangkan usul tahniah dan terima kasih atas prestasi kewangan Kerajaan Perak tahun 2008 di bawah kerajaan PR seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

Terkini 11.06 am : Usul di bahas oleh MB Pakatan Rakyat
Usul sedang dibahas oleh YAB MB Pakatan Rakyat dengan mengemukakan data tentang prestasi tersebut. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada penjawat awam sehingga prestasi itu dicapai.Usul diterima....

Terkini 10.56 am : Sidang berhenti sebentar.
Sidang ditangguhkan oleh Speaker Sivakumar. Kami Adun PR masih berada di tempat duduk masing-masing dengan tertib sehingga YB Siva menyambung balik sidang.

Terkini 10.53 am : Usul disokong oleh Adun Setiawan.
Usul yang disampaikan dibahas dan disokong oleh Adun Setiawan Dato' Ngeh. Pembesar suara sudah ditutup.

Terkini 10.51 am : Adun BN cuma memerhatikan sidang yang dikendalikan Speaker yang sah
Usul kedua yang dibentangkan oleh YAB MB Nizar mengenai takziah dan simpati kepada anak-anak sekolah di Kuala Dipang yang mengorbankan tidak kurang 3 orang.Beliau memohon dewan mengucapkan takziah dan usulkan semula program yang melibatkan anak-anak sekolah dihentikan sama sekali untuk memenuhi kehendak PM sendiri supaya program dihentikan.Dewan mengusulkan ucapan takziah.

Terkini 10.48 am : Hujah PR langsung tidak dijawab Ganesan dan dia terus berada di tempatnya.
Tempat duduk Speaker haram di kawal ketat.Ganesan diminta untuk mengosongkan tempat duduknya oleh YB. Buntong tetapi dia masih enggan.YB Speaker mengumumkan akan mengendalikan sidang di tempat duduk biasa kerana Ganesan tidak mahu mengosongkan tempat duduk sebentar.

Terkini 10.41 am : Sidang terus berjalan.
YB. Buntong sedang membentangkan usul.YB. Buntong terus menyampaikan ucapan tanpa diganggu dengan hujah Ganesan tidak layak jadi Speaker.

Terkini 10.40 am : Adun Buntong berucap tanpa diganggu.
Usul mengecam Speaker haram yang disampaikan oleh YB. Sivasubramaniam disampaikan dan sidang yang kami jalankan tidak diganggu oleh Speaker haram.

Terkini 10.38 am : Sidang dikendalikan oleh Sivakumar berjalan.
Saya menghabiskan bacaan doa menggantikan SU Dewan yang dihalang masuk.

Terkini 10.35 am : Kami sudah didalam dewan
Kami sekarang sudah berada didalam dewan dan dewan nampaknya berehat, kami diperhatikan oleh Adun BN lain dan Speaker haram.

Terkini 10.32 am : Saya dilarang masuk dengan kamera.
Polis membantah tindakan saya untuk membawa masuk kamera ke dalam dewan. Pihak polis tidak dapat menunjukkan dokumen yang dikatakan ada larangan itu.

Terkini 10.21 am : Polis halang kami masuk.
Pemeriksaan ketat sebelum masuk.Semua Adun masih bertahan dan tidak dibenarkan masuk ke dewan. Berlaku kekecohan.

Terkini 10.20 am : Polis Pukul ADUN ??
Laungan pada polis yang pukul Adun bergema dalam keadaan kami cuba melepasi halangan pemeriksaan akhir untuk masuk ke dewan.

Terkini 10.17 am : Kami menaiki tangga.
Lif tidak berfungsi dan semua Adun menggunakan tangga menuju dewan.

Terkini 10.16 am : Polis dikecam
Kami mengecam tindakan polis yang melakukan tindakan sebentar tadi.

Terkini 10.15 am : Kami keluar ke kawasan lapang, YB Siva dihalang.
Kami sekarang berehat setelah berlaku pergelutan yang melampau sehingga jubah YB Siva dirampas dan YB Siva sudah ada bersama kami sekarang dan akan masuk ke dewan.

Terkini 10.08 am : Kami dihalang dikawasan bawah bangunan letak kereta
Sekali lagi kami dihalang untuk masuk oleh puluhan polis.

Terkini 10.07 am : Kami berada dalam pagar SUK sekarang
Kami mempertanyakan songkok YB Siva yang dirampas oleh seorang SB bernama Bala.

Terkini 10.05 am : Suasana kecoh kembali.
Polis terus menghalang kami dan kami bergerak ke pintu masuk untuk masuk ke dalam dewan dengan dikawal ketat oleh ratusan polis.

Terkini 10.01 am : Kami keluar dari pagar SUK
Setelah berlaku pergelutan tadi kami mundur dan terus keluar dari Bangunan dan pagar SUK.Polis halang kami berkumpul di luar pagar dan adakan sidang akhbar MB Pakatan bercakap kepada wartawan swasta bahawa kami ditahan oleh Polis dan halang Adun PR dan Speaker masuk, dia juga Adun Tronoh.Beliau mengecam tindakan polis itu yang melanggar undang-undang.

Terkini 10.00 am : Kami terus dihalang, undur ke belakang.
Ada yang ditolak sampai jatuh dan Speaker cuba ditangkap dan dihalang, kami pertahan sehingga ada Adun yang jatuh.

Terkini 9.58 am : Kami bergerak kembali.
Kami cuba sekali lagi ke lif untuk masuk ke dalam dewan dan sekali lagi dihalang oleh Polis, berlaku perlawanan cakap, mereka benarkan semua Adun masuk kecuali YB Speaker.

Terkini 9.56 am : Kami mundur ke pintu utama.
Semua ADUN PR dan Speaker Sivakumar mundur ke belakang apabila di halang oleh polis.

Terkini 9.55 am : Siva dihalang kami pertahan
YB Siva cuba dihalang oleh polis termasuk semua Adun PR yang cuba dihalang. Berlaku tolak menolak.

Sumber dari blog :
Yb.Drs.Khalil Idham Lim
Adun Titi Serong , Perak

Isnin, 26 Oktober 2009

Program Jelajah Johor Chegubard Berjaya



Che'gubard Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR

Alhamdulillah selama beberapa hari Che'gubard di Johor banyak program diadakan dan ada mendatangkan kesan terhadap kehadiran beliau.SJ selaku rakyat Johor berterima kasih diatas kedatangan Che'gubard ke Johor.Alhamdulillah selama 2 hari SJ bersama Che'gubard dan rakan-rakannya banyak yang SJ pelajari darinya.




Sdr Azlan Ketua AMK Gelang Patah turut hadir.....



salah sebuah keluarga susah yang mempunyai 8 orang adik beradik....



Che'gubard sedang bertanya keadaan keluarga tersebut.....


Pada hari pertama beliau di Johor bermula petang Jumaat SJ,rakan-rakan dari AMK Gelang patah dan bersama Che'gubard telah pergi menghantarkan bantuan kepada raka-rakan dari kaum India yang dalam kesusahan di dalam Kaum India beragama hindu merayakan Hari Deepavali.Dalam kita melihat pemimpin India iaitu si Samy Vellu cukup kaya tapi ramai bangsanya yang miskin malah ada keluarga yang SJ pergi anak sampai 8 orang,ketika ibu bapa mereka pergi kerja abang yang berumur 15 tahun dipertanggungjawabkan menjaga adik-adik,sampai ada adik yang tidak dapat makan kerana tidak cukup wang,sedih juga Sj melihat mereka.Masih ramai lagi mereka yang susah memerlukan bantuan.Dalam pada itu SJ ingin mengucapkan berbanyak tahniah kerana dalam PKR Gelang Patah terhadap seorang ahlinya yang cukup komited dan banyak membantu orang-orang yang dalam kesusahan sehingga mereka dapat bantuan dari saluran yang sepatutnya



Kak Dewi bersama Che'gubard....



Orang itu bernama Kak Dewi dan kaum India.Kak Dewi banyak melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan,dan dia juga membantu tidak mengira kaum.



Che'gubard sedang membuat penerangan kepada kaum cina berkenaan isu semasa....



antara pemimpin kaum cina yang hadir....


Selesai pembahagian bantuan tersebut SJ,rakan-rakan bersama Che'gubard menghadiri satu perjumpaan bersama kaum cina di pejabat PKR Taman Teratai.Hasil pertemuan tersebut banyaklah rungutan yang di dengar,ada juga cadangan yang baik dari mereka dan Che'gubard selaku Ahli MPP berjanji akan membawa cadangan mereka dalam mesyuarat MPP nanti.Program tersebut berakhir jam 8.30 malam,Che'gubard tidak dapat meneruskan lebih lama perjumpaan tersebut kerana terpaksa bergegas pula ke Tmn Ungku Tun Aminah perjumpaan bersama bekas ahli UMNO dan yang masih Ahli UMNO.Sampai di sana mereka telah menunggu kedatangan kami.Kami membuat perjumpaan di Warung sahaja untuk lebih santai.Che'gubard memulakan dengan suai kenal.Mereka banyak bertanya pada Che'gubard,Che'gubard pun menceritakan apa yang terjadi di PRK Bagan Pinang,pengalaman menghadapi samseng BN di Bagan Pinang dan yang terpanas mereka bertanya tentang perjalanan kes DSAI.



Sesi penerangan bersama Ahli dan Bekas Orang UMNO.....



Perjumpaan santai di warong milik Puan Dalalin......


Alhamdulillah segala pertanyaan mereka dapat dijawab oleh Che'gubard dengan jawapan yang jelas dan tanpa ragu-ragu,nampak mereka puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Che'gubard.Betol apa yang SJ cakap,malam tadi hasil dari perjumpaan Che'gubard bersama Ahli UMNO dan Bekas UMNO ni mereka malam tadi telah menghubungi En Rosli dan meminta borang untuk menyertai PKR.Alhamdulillah bertambah lagi ahli PKR.



antara mereka yang hadir untuk sesi penerangan tersebut....



berbaju kurung pemilik warong tersebut (Puan Dalalin)....

Program di situ tidak dapat diadakan lama kerana Che'gubard mendapat jemputan ceramah di Taman Dahlia Johor untuk program ceramah bersama ADUN Paroi YB Taufik.SJ ditugaskan untuk membawa Che'gubard ke lokasi.SJ terus membawa kereta dan membawa Che'gubard ke lokasi ceramah.



Che'gubard menyampaikan ceramah di Taman Dahlia...



Antara hadirin yang hadir pada malam itu....


Sampai sahaja di sana Sdr Mazlan Aliman sedang menyampaikan ucapan.SJ lihat pada malam itu ramai juga hadirin yang hadir.Pada malam tersebut Che'gubard mendedahkan pelbagai isu sepertimana ceramahnya di bandar tenggara.Sorakan dan tempik dari hadirin yang hadir menggamatkan suasana bilamana Che'gubard menggunakan dialek Negeri Sembilan..SJ pun turut tergelak kalu Che'gubard berceramah guna dialek Negeri asalnya.Ceramahnya nampak lebih santai.Selesai program kami tidak terus balik kami lepak santai di Danga Bay sambil mendengar muzik band yang berada di situ.

Lebih kurang jam 3 pagi pulang selepas berbual panjang dengan Che'gubard menganai dunia politik tanah air.Berdasarkan perbualan SJ lihat Che'gubard begitu banyak ilmu tentang politik banyak yang kami belajar dan InsyaAllah akan cuba laksanakan di Cabang PKR Gelang Patah dan Johor amnya.Kami terus pulang ke tempat penginapan Che'gubard.SJ dan rakan-rakan turut bermalam di situ untuk menemani Che'gubard dan sahabat-sahabat dari Negeri Sembilan yang lain.Keeseokan harinya kami ada program jamuan raya Pakatan Rakyat Gelang Patah dan Che'gubard salah seorang dari VIP jemputan.

Kami tiba di Majlis tersebut lebih kurang jam 11.15 pagi,kelihatan juga di situ Ketua Cabang Gelang Patah Dr Zaliha turut hadir.Setibanya di sana Sdr Mazlan Aliman sedang menyampaikan ucapan ringkas yang akhirnya bertukar menjadi ceramah hehehe...begitu juga bila tiba pada giliran Che'gubard ucapan ringkas menjadi ceramah perdana..semua hadirin bersorak lagi pula Che'gubard menggunakan loghat Negeri Sembilan.

Lebih kurang jam 2 petang berakhirnya program SJ bersama Che'gubard,kerana Che'gubard meneruskan perjalanan ke Simpang Renggam dan seterusnya di Benut pada malam untuk sesi ceramah isu semasa.Sepanjang SJ bersama Che'gubard banyak benda yang Sj dapat pelajari.Semoga Che'gubard tabah meneruskan perjuangan....

Sekian Laporan untuk Program Jelajah Johor oleh Che'gubard.


We Will Fight and We Will Never Surrender!!!

Sedikit catatan :

Alhamdulillah program Chegubard di Benut,Pontian bersama Mazlan Aliman berjaya di hadiri hampir 400-500 orang hadirin.Sambutan amat mengalakkan dari semua golongan tidak kira muda dan vateran.Mereka amat tertarik dan terpesona dengan ucapan dua tokoh terbabit.Insyallah Chegubard akan kami jemput untuk program 2010 nanti...

Jumaat, 23 Oktober 2009

Pemuda PAS: Kemelut 'agak serius'

Abdul Rahim Sabri
Oct 23, 09 2:58pm

Dewan Harian Pemuda PAS akan bermesyuarat untuk mengambil langkah-langkah yang perlu untuk dimajukan kepada pucuk bagi menyelesaikan kemelut dalaman parti tersebut."Buat masa ini, saya sebagai ketua pemuda PAS, masih meneliti apa sebenarnya yang berlaku. Ia dilihat dalam keadaan ini, agak serius."Saya akan memanggil Dewan Harian Pemuda untuk bermesyuarat bagi menentukan apakah langkah yang Pemuda akan ambil. Ia nampak agak dalaman," kata ketuanya, Nasrudin Hassan kepada Malaysiakini tengahari ini.Nasrudin berkata beliau akan memanggil anggota dewan tersebut dengan kadar segera.

Nasrudin diminta mengulas desakan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu "dua tiga kerat pemimpin bermasalah", termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.Desakan Nik Abdul Aziz itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa kepimpinan parti itu, antaranya Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan mereka.Ditanya sama ada masalah dalaman PAS ini akan berlarutan atau hanya besifat sementara, Nasrudin berkata:"PAS pernah mengalami kemelut dan pergolakan dalaman. Setiap kali berlaku, Insya-Allah sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan berpengalaman, ada jalan keluar untuk menyelesaikan masalah ni."Saya percaya, apa yang berlaku ini bersifat sementara sahaja," katanya Sebelum ini pergeseran kedua-dua tokoh PAS dan kumpulan pro-kerajaan perpaduan dilihat 'tegang' apabila mereka dilaporkan bertemu di Kota Bharu untuk menyelesaikan isu kerajaan perpaduan, walaupun beberapa kali penafian dibuat.

Malah selepas pertemuan itu berlangsung, kedua-dua tokoh bersetuju untuk menukarkan istilah 'muzakarah' kepada 'muqabalah'.Isu kerajaan perpaduan ini juga turut menjadi pedebatan panas di kalangan perwakilan PAS dalam beberapa muktamar tahunan terutama di Perak, Ogos tahun lalu dan di Selangor Jun lalu.Bahkan selepas daripada muktamar itu, Nik Aziz cuba mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa pemimpin kumpulan Erdogan yang mirip menentang kumpulan 'pro-kerajaan perpaduan.Minta kerap bertemuBagaimanapun, Nasrudin menggesakan agar pucuk pimpinan PAS "kerap bertemu dan berjumpa dalam mesyuarat" serta "mengadakan perbincangan khas" untuk menyelesaikan masalah ini supaya tidak berlarutan."Ia perlu dipandang serius oleh saf kepimpinan PAS agar tidak merosakkan perjuangan parti, dan mengelirukan akar umbi," katanya.Beliau juga menggesa ahli PAS agar "bertenang tanpa mencetuskan sebarang spekulasi yang mengusutkan keadaan".

Ditanya sama ada beliau bersetuju agar muktamar khas (EGM) diadakan untuk menyelesaikan kemelut ini yang berpanjangan selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu, Nasrudin berkata:"Keperluan untuk mengadakan EGM akan diputuskan oleh pucuk pimpinan. Tak boleh putuskan secara spontan. "Sama ada Majlis Syura atau AJK PAS Pusat bersetuju atau tidak, ia harus mendapat satu pertiga sokongan daripada ahli PAS, baru ada muktamar khas. Tak boleh putuskan secara spontan," katanya.

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa?

22 Oct 2009
Latarbelakang:

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.

Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.
Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Khamis, 22 Oktober 2009

BN WAJIB MENGHORMATI HAK RAKYAT PERAK

Oleh : AKMAL KAMARUDIN

Sepanjang tempoh umur Pakatan Rakyat Perak, pelbagai imej politik dilakarkan dan pelbagai pergolakan politik berlaku, sekali gus menjana perubahan lanskap politik negari Perak.Kerjasama erat yang diperlihatkan dalam Pakatan Rakyat Perak amat dicemburui parti lawan yakni Umno/BNSuasana ini tidak menyenangkan Umno/BN, menyebabkan mereka tegar untuk melakukan pelbagai tindakan tanpa susila. Umno/BN yang begitu tertekan telah merampas kerajaan yang dipilih oleh suara majoriti rakyat melalui pilihanraya yang sah . Sekaligus, Umno/BN telah mencabul suara dan semangat Perlembagaan menyebabkan berlakunya campur tangan kuasa eksekutif dalam badan kehakiman.Kerajaan Perak pimpinan Pakatan Rakyat yang baru bertunas dan sedang berbakti kepada rakyat telah diracun dengan peras ugut dan rasuah politik.Lebih parah lagi, bukan sahaja segala jenis peraturan dan ’standing order’ Dewan dilanggari bahkan kedudukan Dewan tempat Dewan Undangan Negeri Perak bersidang telah dicemari dengan peristiwa rampasan kuasa . Tragedi ini merupakan satu episod hitam dalam sejarah politik di Malaysia yang rukun dan berdaulat.Umno/ BN harus sedar kestabilan politik adalah pemangkin kepada perkembangan ekonomi. Pelbagai persoalan yang mungkin akan mewarnai ekonomi negeri Perak akibat dari kezaliman, keegoan, kerakusan, pencabulan undang- undang, rasuah, penipuan media, penafian hak dan banyak lagi. Siapa yang berani berlabuh dan berdagang, bila Melaka sudah ditawan benggali putih, siapa yang ingin bernaung kalau pemerintahan sudah tidak berdaulat. Akhirnya Melaka yang merupakan pelabuhan antarabangsa tapi kini hanya bahan sejarah untuk dimuatkan di dalam arkib.Diriwayatkan seorang pemerintah Kisra,Anu Syarwan bin Qubaz keluar berburu bersama dengan tenteranya,oleh kerana beliau memecut kuda terlalu laju sehingga menyebabkan terpisah dari tenteranya.beliau menunggang seorang diri dalam keadaan sangat dahagakan air,lalu beliau sampai di satu kebun buah delima dan dalam kebun itu beliau berjumpa dengan seorang budak, lalu beliau berkata kepada budak itu;berikan kepadaku sebiji buah delima, maka budak itu memberikan sebiji buah delima kepada Anu Syarwan,lantas beliau membelah dan megeluarkan bijinya dan memerahnya,maka keluar air dengan banyak lalu beliau meminumnya, dan mendapati rasanya sangat sedap dan lazat.Oleh kerana buah delima ini menakjubkan maka beliau berazam untuk merampas kebun delima itu dari pemliknya, lalu beliau berkata kepada budak tadi;berikan kepadaku sebiji buah delima lagi,lalu budak itupun memberi sebiji lagi buah delima kepadanya, dan apabila beliau perah buah itu, air yang keluar terlalu sedikit dan apabila beliau minum rasanya sangat kelat, lalu beliau bertanyakan budak itu,kenapa buah delima ini sangat kelat sedangkan ia dipetik dari pokok yang sama?maka berkata budak itu barangkali pemerintah negeri ini berazam melakukan kezaliman.Apabila mendengar ucapan budak itu maka Anu Syarwan pun bertaubat di dalam hati daripada melakukan kezaliman.lalu beliau meminta sebiji lagi buah delima, budak itupun memberi kepadanya buah delima dari pokok yang sama,apabila beliau perah, beliau dapati air yang keluar dari buah itu sangat banyak lebih banyak dari buah delima yang pertama tadi dan rasanya lebih sedap dari buah delima yang pertama tadi,beliau kehairanan lantas bertanya kepada budak itu, kenapa buah yang ketiga ini airnya sangat banyak dan rasanya sangat sedap?maka budak itupun menjawab;Barangkali pemerintah negeri ini sudah bertaubat dari kezalimannya.Apabila Anu Syarwan mendengar ucapan budak itu dan ucapannya betul betul sama dengan apa yang ada di dalam hatinya maka beliau lantas bertaubat dari segala kezaliman yang telah beliau lakukan dan berazam tidak mahu melakukan kezaliman lagi. Apabila beliau mati maka beliau dikenali dengan pemerintah yang adil sehingga ada yang berbangga dengan mengatakan : Saya dilahirkan pada zaman pemerintahan adil (Anu Syarwan bin Qubaz).Kisah ini menunjukkan tekad Anu Syarwan untuk merampas kebun delima yang sangat lazat yang belum pernah beliau lihat dan rasa, lantas dengan serta merta buah delima mejadi kelat.Apakah kaitannya cerita Pelabuhan Melaka, Anu Syarwan dan Negeri Perak. Barangkali Umno/ BN ingin menambah koleksi sejarah rampasan kuasa.Bayangkan bagaimana rampasan kuasa rakyat yang sudah berlaku sesudah perkembangan ekonomi negeri Perak pada tahap yang baik di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, sudah pasti kekelatan ekonomi akan berlaku lebih teruk dari kelatnya buah delima.Akhirnya Anu Syarwan bertaubat dari merampas kebun menyebabkan air perahan buah delima menjadi lebih banyak dan lebih lazat.BN juga mesti bertaubat dengan menghormati pilihan rakyat dengan mengembalikan hak rakyat yang bertungkus lumus,bermandi peluh,menghabiskan wang simpanan dan sebagainya demi untuk memenangkan PR pada PRU 2008, akhirnya BN dengan senang lenang merampas kerajaan PR yang diamanahkan rakyat, maka rakyat mula menitiskan air mata mengenangkan perubahan yang mereka lakukan bertemankan pengorbanan yang sangat tinggi nilainya dinafikan begitu sahaja oleh BNWalau bagaimanapun, betapa kuat sekalipun cabaran dan ugutan, PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat di negeri Perak, tetap tidak berganjak. Kerjasama erat yang terjalin tetap utuh telah membimbangkan pihak lawan dan disegani oleh kawan.Lebih menarik, kerjasama ini diperkuatkan lagi dengan penubuhan sekretariat pemuda PR Perak yang akan dilancarkan secara rasmi pada 24 Okt 2009 di pekan Lumut pada jam 10 pagi . Sekretariat ini bertekad membawa suara majoriti orang muda Perak yang semakin hari semakin bosan dengan permainan politik kotor BN. Perbuatan mereka yang suka mengenepikan hasrat rakyat yang memilih PR sebagai pemegang amanah kerajaan Perak telak menconteng arang di muka mereka sendiri. Laungan "kami lebih banyak YB dalam DUN" “mahkamah pilih BN” lebih mengecewakan rakyat, terutama orang muda kerana ia mengenepikan hasrat rakyat yang memilih PR dalam PRU 2008.Sebagai salah satu jalan penyelesaian kepada kemelut ini, DUN Perak mesti dibubarkan segera untuk menyerahkan mandat kepada rakyat sebagai hakim.Ketua Penerangan,Dewan Pemuda PAS Perak

Rumah Terbuka Parlimen Malaysia...




Tolak sebelah hal politik…dalam semangat Aidilfitri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk semeja. Inilah pertama kali mereka bersemuka sejak Timbalan Perdana Menteri membuat kenyataan terbuka pada 3 Ogos lalu mendakwa Penasihat PKR itu pengkhianat besar kepada perjuangan orang Melayu. Mereka bersua di majlis rumah terbuka Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin yang diadakan di dewan bangkuet bangunan Parlimen tengahari Selasa. Keduanya duduk semeja lebih setengah jam bersama Pandikar ,Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Wong Foon Meng dan beberapa kenamaan lain di meja utama. Muhyiddin dan Anwar kelihatan berbual mesra macam tak ada hal antara mereka. Anwar telah menyaman Muhyiddin RM100 juta kerana mendakwa beliau penghianat Melayu. Timbalan Perdana Menteri telah menyatakan beliau tidak gentar disaman Anwar. Ekoran kenyataan Muhyiddin itu ramai kalangan pimpinan UMNO telah turut serta membuat dakwaan sama terhadap Anwar dan mencabar beliau menyaman mereka.-20/10/2009

Lagi kejadian sejadah berdiri di Kedah

Khamis Oktober 22, 2009 (mstar)

ALOR SETAR: Selepas kejadian sejadah berdiri di surau Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut di Pasir Mas Kelantan semalam, kes yang sama berlaku di Surau Al-Rahmaniah Kampung Teluk Yan di sini Rabu.
Kejadian itu disedari oleh seorang murid, Noor Zulaika Mohd Rashid, 9, ketika dia dalam perjalanan ke kelas Al-Quran di sebuah rumah penduduk kampung yang terletak di belakang surau tersebut.
"Saya nampak melalui tingkap surau yang terbuka, ada tiga sejadah yang berada dalam keadaan berdiri tetapi tidak bergerak dan saya terus memberitahu rakan saya," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Mufti Kedah Datuk Badarudin Ahmad menggesa umat Islam agar tidak percaya dengan kejadian sejadah boleh berdiri itu kerana ia boleh membawa khurafat.
"Kita tidak mahu ada orang yang mengambil kesempatan melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan saya harap umat Islam sentiasa berpegang kepada ajaran Islam dan tidak mudah membuat andaian," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata beberapa petugas Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) telah mengambil sejadah itu untuk dibawa pulang ke pejabat ekoran kejadian tersebut yang telah menjadi tumpuan orang ramai di kawasan berkenaan.
Di PULAU PINANG, kejadian serupa berlaku di sebuah surau di Tanah Liat, Bukit Mertajam pada waktu Asar hari ini, di mana empat helai sejadah yang seakan-akan orang sedang duduk dalam tahiyat dan menghadap ke arah kiblat.
Menurut seorang penduduk, Mohd Khalid Abdul Latif, beliau dimaklumkan oleh kawannya kira-kira pukul 5 petang tadi.
"Apabila saya pergi ke surau itu, saya lihat ada sehelai sejadah di bahagian depan seolah-olah seperti imam dan tiga helai sejadah seperti makmum di saf belakangnya. Apa yang mengejutkan saya, di depan sejadah "imam" itu ada seutas tasbih," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
Kejadian sejadah berdiri itu merupakan yang kedua di kawasan Bukit Mertajam selepas kali pertama berlaku di sebuah rumah di Taman Mohd Amin pada 2 Okt lalu.
Mohd Khalid, yang bekerja di sebuah kedai makan bersebelahan Masjid Kubang Semang di sini berkata kejadian itu memang sesuatu yang luar biasa.
Katanya, kejadian itu menarik perhatian orang ramai yang tidak henti-henti berkunjung ke surau berkenaan untuk melihat sejadah berdiri tersebut.
"Bagaimanapun, sejadah itu dilipat oleh jawatankuasa surau sebelum masuk waktu Maghrib tadi bagi mengelakkan ia menjadi perkara khurafat. Saya sempat merakamkan kejadian itu dengan telefon bimbit," kata Mohd Khalid.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Negeri (JKKKN) Mukim 5, Sungai Semambu, Siti Noriza Abu Bakar berkata kejadian itu disedari apabila ada orang hendak menunaikan solat Asar di surau berkenaan petang tadi.
"Ada dua orang penduduk kampung pergi ke surau itu untuk bersembahyang dan sebaik mereka memasuki surau itu, mereka ternampak empat sejadah dalam keadaan berdiri. Bagaimanapun, mereka terus sembahyang dan lepas itu baru memaklumkannya kepada orang kampung," katanya. BERNAMA

Terima kasih Prof Aziz Bari atas kritikan anda


Mohamed Hanipa Maidin Thu Oct 22, 09 10:04:29 am MYT
PENDAPAT
Saya boleh memahami betapa marahnya Ustaz Idris Ahmad terhadap tulisan Dr Aziz Bari di dalam Sinar Harian bertarikh 19/10/2009 ('Pengajaran dari Bagan Pinang').
Saya percaya Ustaz Idris tidak bermaksud memperkecilkan kehebatan Prof Aziz Bari yang kita tahu seorang Profesor yang bukan sahaja mendalam ilmunya tetapi amat berani dan lantang menyatakan kebenaran.
Kekerasan sahabat saya Ustaz Idris Ahamd menyanggah tulisan Dr Aziz Bari bagi saya mungkin terbit dari keletihan beliau berkempen secara intensif di Bagan Pinang.
Sudahlah penat berkempen dan berhadapan pula dengan samseng-samseng Umno dan seterusnya mengalami kekalahan yang besar tiba-tiba Dr Aziz Bari pula mengkritik PAS.
Tidak dinafikan saya rasa bukan sahaja Ustaz Idris malahan mungkin ramai juga pemimpin PAS yang lain yang turut berkongsi sentimen seperti Ustaz Idris.
Saya juga pemimpin PAS Pusat. Namun saya tidak sama sekali marah jauh sekali melenting dengan teguran dan kritikan Prof Aziz Bari. Malahan sebagai pemimpin PAS saya benar-benar berterima kasih dengan teguran dan kritikan beliau.
Saya yakin tulisan beliau tidak mempunyai unsur mala fide (niat jahat). Tulisan tersebut, bagi saya, lahir dari hati suci beliau untuk melihat supaya PAS membuat koreksi diri agar tidak kecundang dalam pilihan raya yang akan datang.
Tulisan itu saya yakin lahir dari satu pengamatan beliau yang amat panjang tentang beberapa insiden yang berlaku dalam PAS yang diketahui umum.
Pemimpin gerakan Islam Al-Nahdah, Tunisia yang kini hidup dalam buangan di London, Rashid Ghanouchi pernah menyatakan di dalam satu tulisannya bahawa kesilapan paling besar gerakan Islam ialah adalah ketidaksediaan atau keberatan untuk bermuhasabah dan dimuhasabah.
Orang bijaksana berkata kawan yang sebenar adalah kawan yang sudi menegur kita jika dia melihat kita melakukan kesilapan. Kawan yang buruk pula adalah kawan yang hanya mendiamkan diri malahan menyokong pula meskipun dia tahu kita melakukan kesilapan.
Saya tidak kata tulisan Dr Aziz Bari adalah sempurna dan saya juga yakin beliau juga tidak berpendapat teguran dan kritikan beliau adalah sempurna. Tidak dinafikan kenyataan beliau bahawa "Hasan (Hasan Ali) dilihat mewakili golongan yang pro-UMNO dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokonng mereka" agak menyenakkan sesetengah pemimpin PAS.
Namun jika kita melihat dari perspektif lain, salahkah jika Dr Aziz Bari sebagai pihak di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu.
Politik, orang kata adalah berkaitan persepsi. Saya percaya bukan sahaja Dr Aziz Bari malahan ramai lagi rakyat Malaysia yang lain yang juga mempunyai persepsi seperti Dr Aziz Bari iaitu persepsi bahawa sesetengah pemimpin PAS adalah pro Umno.
Kerana kesan bahaya persepsi sebegitulah yang menyebabkan Muktamar PAS berhempas pulas membuat ketetapan dan penegasan bahawa PAS tidak akan ada hubungan dengan Umno dan akan terus bersama Pakatan Rakyat. Kalau kita tidak mahu dilihat dan dikritik pro Umno janganlah buat perkara-perkara yang menyebabkan orang ramai membuat tanggapan bahawa kita adalah pro Umno.
Adakah persepsi lahir begitu sahaja? Salah ke jika orang-orang di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu setelah mereka melihat apa yang berlaku di dalam PAS ? melalui tindak tanduk, kenyataan dan gelagat sesetengah pemimpin PAS.
Bagi saya sudah sampai masanya pemimpin PAS, mengambil istilah kata Khairy Jamaluddin, keluar dari 'siege mentality' (mentaliti terkongkong). Sila lihat di luar sana, orang ramai sedang memerhatikan kita !!!
Salahkah kita menjadi pendengar yang baik (good listener) demi kebaikan parti yang kita sayangi ini.
Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Aziz Bari. Prof, percayalah bagi saya kamu adalah sahabat yang sejati.
--------------------
(Penulis adalah AJK PAS Pusat yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang PAS)