Isnin, 6 Disember 2010

Khir Toyo didakwa atas tuduhan rasuah

Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah.

NONEKedua-duanya tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau mengaku tidak bersalah ketika tuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

khir toyo mansion 060709 06Khir Toyo didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

ADUN Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shamsuddin didakwa di bawah akta yang sama serta satu tuduhan tambahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Khir Toyo.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Azhanis menetapkan ikatjamin sebanyak RM750,000 tiap seorang.

Khir Toyo diwakili peguam M Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi.

Beliau menjadi menteri besar Selangor ke-13 dari Ogos 2000 hingga Februari 2008.

Sebelum itu, SPRM menahan Khir Toyo ditahan di pejabatnya di Shah Alam kira-kira jam 9 pagi tadi sebelum dibawa ke mahkamah.

NONEDifahamkan kedua-duanya disoalsiasat pagi ini di ibupejabat SPRM Selangor di Wisma PKPS di Shah Alam.

Ketua pendakwaraya SPRM, Abdul Razak Musa tiba di mahkamah kira-kira jam 11.10 pagi dan terus menuju ke kamar DPP.

Khir Toyo pula tiba kira-kira jam 11.25 pagi.

SPRM telah menyiasat kes tersebut ekoran dakwaan yang dibuat oleh ADUN Sekincan, Ng Suee Lim.

Ng mendakwa hartanah seluas 50,000 kaki persegi itu dibina pada anggaran kos RM20 juta, manakala tanah itu dibeli dengan harga RM3.8 juta.

Khir Toyo telah menafikan dakwaan tersebut, dengan mengatakan beliau membeli rumah dan tanah tersebut pada harga RM4 juta. Beliau juga telah memfailkan saman fitnah terhadap Ng.

malaysiakini

Ketereh diisytihar Perbandaran Islam esok

Wartawan Kita

KETEREH, 6 Dis: Kelantan sekali lagi bakal mencipta sejarah apabila sebuah lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diisytiharkan sebagai bandar Islam.

Pada 2005 Majlis Perbandaran Kota Bharu diisytiharkan sebagai bandar raya Islam pertama di negara ini.

Pada 1 Muharam ini (esok) Majlis Daerah Ketereh (MDK) pula akan diisytiharkan sebagai Perbandaran Islam.

Pengisytiharan itu akan dilakukan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertempat di padang MDK.

Penyelia Dun Kok Lanas, Nik Mahadi Nik Mahmood berkata, program diadakan sempena sambutan tahun baru Hijriah esok.

“Sebenarnya usaha-usaha ke arah menjadikan MDK sebagai Perbandaran Islam sudah dilakukan sejak lebih dua tahun lalu termasuk mengadakan program keagamaan di pasar-pasar yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Selain itu mempertingkatkan tahap kebersihan dan memperbanyakkan aktiviti keagamaan di kalangan penduduk yang tinggal di kawasan pentadbiran MDK,” katanya di sini.

Program yang cukup bersejarah itu dijangka turut dihadiri Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasuruddin Daud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, anggota Exco, Datuk Takiyuddin Hassan dan Yang Dipertua MDK, Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Program tersebut bermula dengan majlis berbuka puasa sunat sempena 1 Muharam.

Kemudian diikuti solat Maghrib berjemaah, solat hajat dan kuliah Maghrib oleh Speaker.

Majlis makan malam pula diadakan selepas solat Isya’ berjemaah. Selepas upacara pengisytiharan ‘Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam’ akan diadakan pula persembahan multimedia.

Sementara itu, malam ini sambutan Hijratul Rasul peringkat negeri akan diadakan di Balai Islam, Lundang. Program itu dijangka dirasmikan Sultan Muhammad Ke-V.

Najib tak peduli apa jadi pada Islam

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Konvensyen Barisan Nasional, semalam tidak banyak yang diperkatakan tentang memartabatkan Islam khususnya oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak selaku pemimpin parti yang didakwa pejuang Islam.

Mengulas perkara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, menyatakan bahawa Najib lebih mengutamakan isu-isu popular seperti konsep 1Malaysia yang diperkenalkan.

Pada masa yang sama tidak ada penekanan terhadap memartabatkan Islam

“Najib tidak ambil peduli apa akan jadi kepada Islam dan sensitiviti umat Islam. Beliau lebih memandang program-program yang menyeronokkan dan popular seperti mewujudkan hub hiburan demi menarik pelancong asing,” ujarnya pada sidang media di pejabat Harakah di sini, hari ini.

Beliau berkata, Najib yang juga Perdana Menteri sepatutnya membela hak-hak Islam dan orang Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Pada masa yang sama, katanya banyak perkara-perkara pokok yang sepatutnya diberikan perhatian tetapi diabaikan oleh Najib seperti rasuah, penyelewengan kuasa dalam bidang kehakiman dan penafian konsep federalismne sehingga hak negeri-negeri diabaikan.

Baginya, secara senyap Najib kini menjadi diktator melalui bendera demokrasi dengan sekumpulan golongan elit yang dibangunkan.

Dalam pertemuan tersebut juga, beliau menekankan peranan media dalam memberi kesedaran kepada rakyat tentang pengabaian kerajaan kepada Islam dan Melayu.

Pada masa yang sama, katanya media alternatif hendaklah memberi kesedaran dan jaminan kepada rakyat marhaen, kakitangan kerajaan dan sebagainya bahawa mereka tidak akan terabai jika Pakatan Rakyat memerintah.

Najib memang gelabah hentam Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Tindakan Datuk Seri Najib Razak menghentam parti-parti Pakatan Rakyat (PR) sewaktu berucap di Konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam adalah bukti pengerusi BN itu 'gelabah' dengan kekuatan PR.

Mengulas ucapan Najib itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Najib sudah tidak mampu lagi menyembunyikan ketakutannya berdepan sokongan kuat rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

"Kita melihat ucapan itu menunjukkan kegelabahan BN dalam menghadapi perkembangan terkini Pakatan Rakyat.

"Malah mereka sebenarnya agak terkebelakang mengadakan konvensyen daripada kita Pakatan Rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau membandingkan dengan Konvensyen Pakatan Rakyat yang akan diadakan kali kedua di Pulau Pinang pada 19 Disember ini.

Selain menuduh Pakatan Rakyat anti nasional, Najib semalam turut menuduh PKR sebagai nepotisme manakala PAS dituduh menjalin kerjasama dengan para pembohong besar, pemalsu dokumen, petualang bangsa dan pengkhianat negara.

"Dia tak tahu tentang dalaman Pakatan, strategi kita, hasrat kita, langkah kita.

"Dia tak perlu cakap kalau dia tak tahu," kata Tuan Guru Abdul Hadi lagi.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut sependapat dengan pandangan itu.

Ketika sidang media bersama Ketua Umum PKR di parlimen pagi tadi, Mahfuz berkata, Najib telah membuktikan bahawa Pakatan Rakyat satu-satunya pihak paling relevan menggantikan Umno.

"Saya ucap tahniah kepada Najib kerana tak dapat sembunyikan lagi rasa cemasnya.

"Terima kasih juga kerana secara tak langsung serangan kepada PKR dan Pakatan Rakyat itu memberi mesej jelas kepada rakyat, bahawa PR adalah gabungan masa depan untuk Malaysia," katanya.