Jumaat, 26 November 2010

Tarif air: Jelas Umno BN khianati rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Nov: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong penuh tindakan Kerajaan Selangor yang membantah tuntutan kenaikan tarif air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebanyak 37 peratus berkuatkuasa 31 Mac tahun hadapan.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, tuntutan Syabas yang disokong oleh Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor adalah satu penganiayaan kepada rakyat.

DPPWP juga, katanya kesal kerana Shaziman bersekongkol dengan Syabas untuk menaikkan kadar tarif air berkenaan jika kerajaan Selangor gagal menyerahkan semua aset industri airnya kepada Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) sebelum 31 Mac hadapan.

“Apa yang berlaku pada hari ini memperjelaskan bahawa Kerajaan Umno BN yang memerintah Selangor sebelum ini telah melakukan pengkhianatan terbesar pada rakyat kerana menandatangani satu penjanjian konsensi pembekalan air bersama Syabas selama 30 tahun dengan meletakkan terma untuk membolehkan syarikat berkenaan menaikan kadar tarif pada tempoh tertentu tanpa perlu melihat kepada keadaan ekonomi negeri dan rakyat,” ujarnya.

Katanya, DPPWP mewakili pengguna air di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berharap Yang di-Pertuan Agong menghalang hasrat Syabas dan membatalkan perjanjian konsensi yang jelas merugikan rakyat di Lembah Klang.

“DPPWP menyeru seluruh pengguna air di Lembah Klang turun beramai-ramai mengiringi Menteri Besar Selangor pada 5 Disember ini untuk menghantar Memorandum Rakyat ke Istana Negara,” ujarnya.

Jika pengguna air berdiam diri pada hari ini, katanya maka tiada siapa lagi yang dapat menghalang kenaikan tarif air sebanyak 37 peratus itu.

Tambahnya, hatta pihak menteri sendiri hanya mampu memberikan jaminan tidak akan menaikkan tarif air selama setahun kepada Kerajaan Melaka dan Johor walaupun negeri berkenaan sudah berikrar akan menyerahkan aset industri airnya kepada PAAB pada bulan Disember dan Januari nanti.

“Selepas setahun, tarif air tetap akan dinaikkan juga di Melaka dan Johor, apa yang Shaziman mampu buat jika PAAB membuat tuntut sama seperti Syabas hari ini?” soalnya.

Dalam hal ini, katanya rakyat sebagai pengguna air juga yang akan tertindas.

“Cukuplah rakyat melihat Kerajaan Umno BN Selangor telah membuat kesilapan dan mengadaikan sumber air Selangor sebelum ini, jangan tutup mata dan anggap Kerajaan Umno-BN di Melaka dan Johor sudah cukup bijak dalam hal ini,” katanya.

Hakikatnya, kata beliau mereka telah melakukan perkara yang lebih buruk lagi kerana seluruh aktiviti pengurusan air di negeri mereka selepas ini akan diswastakan 100 peratus dan kerajaan negeri bakal hilang kawalan terhadap sumber air negeri.

“Marilah bersama-sama menyokong Kerajaan Pakatan Selangor yang bertekad mempertahankan aset pengurusan air negeri dan hak pengguna air yang mahu tarif air tidak dinaikkan,” ujarnya lagi.

Media arus perdana sengaja burukkan PKR

Harakahdaily

PETALING JAYA, 26 Nov: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail mendakwa media arus perdana sengaja memburukkan parti itu dengan menggunakan gambar-gambar dan keterangan yang mengelirukan rakyat dalam proses pemilihan parti.

Saifuddin dalam sidang media di Kongres Nasional PKR hari ini merujuk satu gambar yang memaparkan seorang pengawas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sedang menuding jari kepada seorang ahli yang sedang mengundi.

"Sedangkan, pengawas itu sedang membantu seorang pengundi yang buta huruf. Senarai calon panjang, bukan seperti pilihan raya umum yang ada dua atau tiga calon sahaja. Untuk MPP sahaja, kita ada 20 calon," katanya yang juga ahli Parlimen Machang.

Menurut Saifuddin, insiden di Cabang Merbok itu digembar-gembur akhbar The Star, seolah-olah gambar berkenaan menjadi bukti sahih hingga mendorong pembaca menyangka 'penyelewengan' sedemikian benar-benar berlaku.

Dalam laporan sebuah portal pula, beliau berkata, media itu menyiarkan gambar kiriman ahli parti dengan merujuk individu yang sedang mengundi adalah seorang pengawas JPP sedangkan ia tidak benar.

Beliau turut hairan apabila aduan beserta gambar yang diemel kepada portal berita itu tidak disalurkan kepada JPP.

"Bagaimana kita hendak siasat jika aduan dihantar kepada Regina (wartawan Malaysiakini) tetapi tidak sampai ke meja JPP?" katanya berseloroh.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, hanya 12 aduan peringkat cabang dari 289 keseluruhan aduan yang masih dalam siasatan manakala sembilan lagi di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sedang diteliti.

Tentera Israel roboh masjid di Nablus

Harakahdaily

NABLUS, 26 Nov: Agensi Berita Palestin, Ma’an, semalam (25 November) melaporkan jentolak (bulldozer) Israel telah meratakan sebuah masjid di persekitaran Yazra di bahagian timur pusat bandar Tebing Barat Tuba.

Tentera Israel mendakwa bahawa masjid itu dibina tanpa mendapat keizinan pihak berkuasa, lapor laman web Haluan Palestin.

Tuba adalah sebuah bandar kecil Palestin di Tebing Barat timur laut, terletak hanya 21 kilometer (13 batu) timur laut Nablus, beberapa kilometer barat Sungai Jordan.

Ahmad As’ad, seorang pegawai Palestin, menyatakan bahawa tentera Israel menyerang kawasan yang dianggap sebagai lapangan latihan ketenteraan, dan mereka menyatakan bahawa kawasan ditutup kerana ianya kini zon tentera.

Kemudian mereka telah menghancurkan satu-satunya masjid yang ada di kawasan itu.

Masjid tersebut dibina pada tahun 1967 dan warga penduduk telah memperbesarkan kawasan masjid itu dengan dua bilik tambahan.

As’ad menambah bahawa warga penduduk memiliki surat-surat rasmi yang membuktikan kebenaran untuk pembangunan masjid di kawasan tersebut pada tahun 1967, dan kedua-dua bilik itu ditambah kerana peningkatan jumlah penduduk yang hadir ke masjid tersebut.

PAS ingatkan Muhyiddin belia bukan kayu

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 26 Nov: PAS mengingatkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa belia Malaysia bukan kayu yang tidak bernyawa, kerana mereka hidup di zaman langit terbuka dan maklumat di hujung jari.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, belia tahu menilai yang mana intan dan kaca.

“Generasi ini tidak senang melihat kepincangan yang berlaku di dalam negara kita.

“Mereka tidak akan biarkan setengah abad kedua diperintah oleh pemimpin yang tidak bertanggungjawab kepada negara dan generasi masa depan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas seruan Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri di Seminar Pemimpin Muda Malaysia di Parlimen semalam supaya generasi muda tidak terpedaya dengan kumpulan yang mempunyai kepentingan tersendiri yang membawa ideologi dan perjuangan yang indah bunyinya.

Menurutnya, seruan Muhyiddin itu sebagai satu kenyataan yang tersilap sasaran.

“Mungkin beliau membayangkan sedang berucap dengan perwakilan Umno yang terdiri daripada saluran satu yang hanya menelan maklumat melalui media lapuk Umno sahaja,” ujarnya.

Beliau menambah, sebagai generasi yang kritis dan mempunyai idealisme perjuangan yang tersendiri amat tidak sesuai untuk menyokong Umno BN di negara ini.

Katanya, mereka sudah boleh melihat contoh hidup yang telah dipamerkan oleh pimpinan negeri Pakatan Rakyat yang jauh lebih baik dari segi ketrampilan, ketelusan dan ketertiban ketika melaksanakan mandat rakyat di negara ini.

“Macam mana Tan Sri Muhyiddin hendak menyeru supaya belia ini bersama dengan Umno BN, sedangkan mereka mengalami keperitan hidup lantaran sikap gelojoh dan boros pemimpin umno sehinggga memberi kesan kepada mereka untuk membina kualiti hidup yang lebih baik,” katanya lagi.

Khamis, 25 November 2010

Pakatan Rakyat bahagi kerusi selepas konvensyen

harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, proses persiapan pilihan raya Pakatan Rakyat bermula dengan perhimpunan penyokong parti di Pulau Pinang, 18 Disember depan dan disambung dengan Konvensyen Pakatan Rakyat pada keesokan harinya.

"Pada peringkat ini, kita mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan selepas itu membawa kepada pembahagian kerusi di kalangan komponen Pakatan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang parlimen, petang ini.

Ia juga, katanya sebagai menunjukkan kekuatan Pakatan Rakyat walaupun diasak dengan pelbagai dakwaan melalui media massa.

"Kami juga telah memutuskan untuk membuat persiapan pilihan raya di Sarawak, contohnya telah ada jawatankuasa yang telah ditubuh yang akan melangsungkan keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

"Segala program yang sedang kami rancang adalah satu manifestasi kepada pengukuhan Pakatan Rakyat itu sendiri sebagai alternatif kepada rakyat," katanya yang juga ahli Parlimen Bachok.

Selain itu, mesyuarat itu turut memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan pengundi awam menjadi pengundi pos.

"Ada maklumat tambahan mengenai pemindahan nama orang awam menjadi pengundi pos dan cara pendaftaran yang masih belum diperbaiki.

"Kita akan selaraskan mesyuarat di antara jawatankuasa pilihan raya Pakatan Rakyat dengan pihak Bersih supaya maklumat ini dapat mereka teliti.

Sementara itu, Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen kali kedua Disember depan bagi membincangkan beberapa isu penting termasuk soal tanah, Felcra dan Felda.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ianya akan diakan pada 19 Disember di Dewan Milennium Seberang Perai, setelah mendapat persetujuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

"Antara isu pokok yang akan dibahaskan ialah isu tanah termasuk Felda, Felcra dan tanah adat, soal air, tol, pelaburan,masalah pekerja, wanita Sabah dan Sarawak.

"Kita juga putuskan pimpinan Pakatan Rakyat mulai Disember ini akan melancarkan majlis penerangan di beberapa buah negeri sebagai permulaan," kata beliau selepas mempengerusikan Majlis Pakatan Rakyat.

Anwar juga memberitahu, menteri-menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat akan bersidang di Shah Alam Isnin ini juga bagi membincangkan beberapa perkara khususnya mengenai ekonomi negeri.

"Persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat akan diadakan pada 29 November di Shah Alam dan di antara isu yang akan dibangkitkan termasuk soal menjana koridor dan kekuatan ekonomi, infranstruktur pelaburan, megimbangi kepentingan antara kaum dan dasar pertanian, federalisme dan perhubungan kerajaan pusat dengan negeri, pembangunan masyarakat dan komunikasi massa," katanya.

Turut hadir dalam mesyuarat itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung PAS dan PKR, Datuk Mustafa Ali dan Saifuddin Nasution Ismail serta beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

PAS buat laporan polis isu kain rentang

harakahdaily

PULAU PINANG, 25 Nov: Setakat petang ini, tiga PAS kawasan di Pulau Pinang telah membuat laporan polis tentang dua kain rentang (banner) yang bertulisan 'Kami Tak Nak Wang Judi' dan 'Kami Pemuda Membantah Kerajaan Negeri Lulus 96 lesen Judi, Lesen Permis Rumah Urut 1,367. Hiburan Awam' yang dipasang di lokasi tertentu di negeri ini bermula malam tadi.

PAS Nibong Tebal telah mendahului tindakan tersebut di Balai Polis Nibong Tebal pada pukul 1.00 tengahari tadi apabila mendapati empat banner dipasang untuk menimbulkan provokasi serta memaparkan tiga wajah pemimpin Dewan Pemuda PAS negeri iaitu Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Yusni Mat Piah, timbalannya, Helmi Harun dan naibnya, Ustaz Zakaria Hamzah.

Menurut Ketua Penerangan PAS Nibong Tebal, Nazir Arshad kemungkinan banner tersebut dipasang selepas pukul 3.00 pagi oleh orang yang tidak bertanggungjawab atau diupah untuk menimbulkan kemarahan rakyat terhadap PAS.

"Mana boleh biarkan nama PAS rosak kerana banner berkenaan. Kami terus ke balai polis buat laporan supaya polis bertindak segera menyiasat siapa yang buat perkara itu," katanya.

PAS Kawasan Kepada Batas dan Tasek Gelugor berhimpun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Kepala Batas mulai jam 5.00 petang bagi tujuan yang sama.

Manakala Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Helmi Harun dijangka mengadakan sidang media pada pukul 8.30 malam ini untuk menyatakan bantahan terhadap kain rentang itu.

Rabu, 24 November 2010

FACEBOOK MTD PAS BENUT

SILA ADD FACEBOOK MTD PAS BENUT :

Mtd Pasbenut


- SEGALA MAKLUMAT TERKINI MENGENAI PROGRAM DAN SEBAGAINYA AKAN DI MASUKKAN KE DALAM FB INI.

Surat Terbuka Mengenai Insiden Mata Lebam Anwar Disiasat

mstar

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyiasat surat terbuka bekas pegawai kanan polis Datuk Mat Zain Ibrahim yang mendakwa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mempunyai peranan dalam insiden mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira 12 tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kabinet mengarahkan beliau dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk berjumpa Abdul Gani bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan surat terbuka Mat Zain itu.

"Saya dan Rais telah diarahkan oleh kabinet yang bermesyuarat pada 12 November lalu untuk berjumpa Abdul Gani bagi mendapatkan penjelasan mengenai surat terbuka itu sebelum sebarang tindakan diambil.

"Buat masa ini, kami sedang menunggu Abdul Gani pulang dari Mekah," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.Mohamed Nazri berkata beliau dan Rais perlu menemui Abdul Gani berhubung surat terbuka Mat Zain itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar pada Isnin lepas, Mat Zain merujuk kepada usul memotong gaji Peguam Negara RM10 yang dibawa Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada sidang Dewan Rakyat 9 November lepas.

Beliau juga mengesahkan ada menghantar e-mel kepada Lim yang juga pemimpin veteran DAP pada 14 April lepas. - BERNAMA

Gugat kuasa Raja, Umno dicabar buktikan petualang

malaysiakini
PAS hari ini melahirkan rasa kesal parti itu dengan isu gangguan perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu seperti yang sering dibangkitkan, kata ketua penerangannya, Idris Ahmad.

idris ahmad information chief pas muktamar in kota bharuMenurut beliau usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengingatkan pihak-pihak tertentu yang cuba mengubah perlembagaan negara supaya tidak bersikap seperti 'tikus membaiki labu' sebenarnya cuba menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu supaya tidak menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

"Sejak mutakhir isu Melayu dan kedaulatan Raja-Raja dibangkitkan sebagai usaha untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Umno, kononnya Melayu dan Raja Berperlembagaan hanya selamat di bawah Umno, setelah isu pembangunan sudah lapok, kerana dunia semakin maju," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Harussani ZakariaIdris berkata satu ketika dahulu kononnya ada perlembagaaan baru seperti yang ditimbulkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria tetapi sehingga hari ini perkara itu gagal dibuktikan.

“PAS mencabar mana-mana pihak yang ada bukti jika ada mana pihak yang hendak menggugat perkara yang telah dipersetujui bersama seperti kedudukan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Hak Istimewa Raja-Raja Melayu silalah bawa ke pengadilan.

Isu derhaka

"Isu derhaka kepada Raja-Raja Melayu dibangkitkan dengan hebat ketika pilihanraya kecil Bukit Gantang, kononnya Datuk Seri Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak. Mereka eksploit perkatan yang diucapkan oleh Nizar "Patik Mohon Sembah Derhaka", pada hal ini adalah istilah yang diajar oleh protokol istana ketika berbahasa dengan Raja apabila kita tidak sependapat dalam satu pandangan," kata Idris.

idris jusoh terengganu natang binatang animal banner 260308 02Menurut beliau, dalam sejarah politik Malaysia - “yang biadab dengan Raja-Raja Melayu ialah pemimpin Umno.” Malahan, dakwa Idris, Umno juga cuba mengambil alih kuasa mengistihar darurat daripada Yang Di-Pertuan Agong.

Katanya, rakyat negara ini juga tidak lupa bagaimana Umno “membelasah Raja-Raja Melayu pada tahun 1983 kerana menolak cadangan supaya kuasa Yang Di-Pertuan Agong mengenai pengistiharan darurat dikurangkan.

conference of rulers majlis raja raja"Begitu juga penyokong Umno pula mengatakan Sultan Terengganu binatang. Kenapa polis tidak tangkap mereka yang berdemonstrasi dan menghina sultan Terengganu kerana tidak melantik Datuk Seri Idris Jusuh sebagai Menteri Besar Terengganu?” soalnya.

Idris berkata sebenarnya, banyak lagi yang boleh dibongkarkan bagi membuktikan siapa yang sebenarnya menghina Raja-raja Melayu.

Parlimen bocor, jurugambar tak dibenar buat rakaman

malaysiakini
Kakitangan penyelengaraan Jabatan Kerja Raya hari ini memeriksa bumbung bangunan parlimen bagi mengesan sumber kebocoran ketika hujan lebat semalam.

NONESekumpulan jurugambar media kemudian bergegas mengikuti petugas berkenaan tetapi kehadiran mereka tidak disenangi oleh pekerja tersebut.

Jurugambar dan wartawan diberitahu bahawa mereka tidak dibenarkan berada di bahagian bumbung parlimen dan tempat mereka dikhususkan di lobi parlimen dan tempat wartawan di Dewan Rakyat.

Mereka yang telah merakamkan gambar diminta memadamkannya di kamera DSLr serta meninggalkan kawasan larangan itu serta-merta.

Bagaimanapun, jurugambar berjaya memulihkan gambar-gambar berkenaan.NONESemalam, Dewan Rakyat terus dilanda masalah kebocoran dan kali ini air menitis pula di kafeteria ahli parlimen.

Ini berikutan hujan lebat petang semalam sehingga menyebabkan sebahagian daripada kafetaria itu terpaksa ditutup sementara untuk kerja-kerja menyedut keluar air.

Selain lantai yang basah, kebocoran tidak menjejaskan perjalanan Dewan Rakyat.

PAS kemuka usul bincang serangan Korea Utara

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub akan mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) untuk menangguhkan mesyuarat Dewan Rakyat bagi membincangkan serangan Korea Utara terhadap jirannya, Korea Selatan.

“Dengan ini diberikan notis bahawa saya akan mengusulkan supaya mesyuarat ini ditangguhkan untuk membincangkan usul yang melibatkan perkara tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan,” ujarnya dalam usul tergempar yang dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Berikutan adalah usul tergempar beliau.

Tuan Salahuddin Haji Ayub (Kubang Kerian) mohon mencadangkan:

Bahawa mesyuarat ini hendaklah ditangguhkan bagi membolehkan dewan yang mulia ini merundingkan dan membincangkan tindakan Korea Utara baru-baru ini telah melancarkan serangan ke atas Korea Selatan dengan melepaskan berpuluh-puluh tembakan meriam ke atas pulau Yeonpyeong, yang menempatkan kira-kira 1,000 tentera Korea Selatan, berhampiran sempadan Laut Kuning, yang menjadi pertikaian kedua-dua negara.

Hubungan di antara Korea Selatan dan Korea Utara sejak insiden sempadan terburuk pada perang 1950-1953 dahulu kini semakin membimbangkan. Berikutan daripada insiden serangan tersebut ke atas pulau nelayan itu juga menyebabkan dua anggota marin Korea Selatan maut, sementara 15 anggota marin lagi dan tiga penduduk awam cedera.

Perkara ini berlaku berikutan sepasukan unit tentera Korea Utara melepaskan tembakan meriam sebagai tindakan provokasi pada kira-kira pukul 2.34 petang waktu tempatan (1.34 petang waktu Malaysia) dan pasukan tentera Korea Selatan melancarkan serangan balas sebagai pertahanan. Berikutan itu juga amaran ketenteraan Kelas A bagi situasi tempur ini dikeluarkan serta-merta oleh Korea Selatan.

Saya berharap, Parlimen Malaysia pada hari ini perlu membincangkan perkara tersebut sebagai dasar luar Kerajaan terhadap kedua-dua Negara tersebut. Ianya juga ada protes kita terhadap krisis peperangan yang bakal berlaku di sana. Penegasan terhadap kancah peperangan perlu dimuktamadkan oleh Malaysia kerana kita ada hubungan perdagangan dikedua-dua Negara tersebut.

Oleh yang demikian, saya meminta agar bantahan Parlimen Malaysia dibuat serta-merta terhadap kedua-dua Negara tersebut demi memelihara keharmonian hubungan dagangan atau pun warga Malaysia yang kini berada di sana.

Mata Lebam: 2 menteri diarah soal Gani Patail

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, Nov 24: Dua menteri kabinet telah diarahkan menyoal Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung dengan dakwaan beliau terlibat dalam salah lapor kepada Kabinet berikutan tragedi Mata Lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim 12 tahun lalu.

Keputusan itu dicapai kabinet dipercayai selepas surat terbuka bekas Pegawai Penyiasat polis terhadap kes itu, Datuk Mat Zain Ibrahim kepada Ketua Polis Negara yang mendakwa Gani terlibat dalam salah lapor kepada Kabinet itu.

“Sekarang saya telah diarahkan (oleh Kabinet), Datuk Rais dan saya sendiri agar bercakap dengan Peguam Negara. Kami menunggu beliau pulang dari Mekah,” kata Nazri kepada laman web The Malaysian Insider.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu, Kabinet mahu mendengar sendiri daripada Gani sendiri mengenai dakwaan terbaru Mat Zain dalam satu lagi surat terbukanya kelmarin sebelum mengambil tindakan susulan.

“Kami mahu mendengar daripada Peguam Negara sendiri (mengenai surat terbuka).

“Ini perkara yang serius. Jika beliau (Mat Zain) bercakap benar, kita kena mendapatkan maklumat lanjut... tetapi sehingga itu, tiada apa-apa keputusan,” kata Nazri.

Semalam Harakahdaily menyiarkan berita surat terbuka yang dihantar oleh Mat Zain itu kepada Ketua Polis Negara.

Dalam surat itu Mat Zain mendakwa, Gani telah dua kali membuat salah lapor atau menipu kepada Kabinet.

"Apa yang pasti ialah, pertuduhan menipu Jemaah Menteri terhadap Tun LLS (Ling Leong Sik) itu tidak adil kepada beliau, jika Peguam Negara pula tidak dituduh, kerana beliau juga pernah menipu Jemaah Menteri, sekurang-kurangnya dua kali," tulis Mat Zain dalam surat itu.

Menurut surat Mat Zain itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor telah bersedia untuk mengambil tanggungjawab berikutan kes Mata Lebam dan mahu melepaskan jawatannya.

Persetujuan itu dicapai dalam satu perbincangan antara beliau (Mat Zain) dengan Rahim dan timbalannya ketika itu, Tan Sri Norian Mai di pejabat Rahim.

"Malah beliau sambil bersahaja menanyakan kepada Tan Sri Norian, sama ada beliau (Rahim) layak membeli staff-car Mercedes yang sedang beliau gunakan itu, dan jika boleh beliau minta tolong, untuk repair sedikit-sedikit mana yang rosak," tulis Mat Zain.

Namun, keputusan itu berubah selepas Peguam Negara ketika itu, Datuk Mohtar
Abdullah bersama timbalannya, Datuk Abdul Gani Patail datang berjumpa dengan Rahim di pejabat Ketua Polis Negara itu.

Ekoran itu, pasukan polis didakwa gagal menyiasat siapa di belakang tragedi Mata Lebam menyebabkan kerajaan telah menubuhkan satu Suruhanjaya untuk menyiasatnya dan mendapati Rahim adalah pihak yang memukul Anwar sehingga lebam matanya.

Bagi Mat Zain, ini adalah satu tragedi kepada pasukan polis dan ia perlu dipulihkan segera.

Beliau membayangkan, satu tribunal diperlukan untuk menyiasat orang berkedudukan seperti Gani.

"Setakat yang saya telah dinasihatkan dan sesungguhnya percaya;bahawa jika seorang Peguam Negara didapati tidak lagi berupaya diatas apa sebab pun, untuk melaksanakan tugasnya dengan sempurna, atau didapati telah melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan beliau dipecat daripada jawatannya,maka pihak yang berkuasa mengadili/ menghakimi beliau ialah suatu Tribunal yang dilantik oleh SPB Yang Di-Pertuan Agong sahaja, sepertimana perbekalan Artikel 125 Clause (4) Perlembagaan; setelah dinasihatkan oleh Perdana Menteri mengikut Artikel sama Clause (3)," tulis beliau dalam suratnya kepada Ketua Polis Negara 22 November lepas.

Umno hadapi krisis kepercayaan serius

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa tindakan BN membuka keahlian langsung dan bersekutu membuktikan parti itu berdepan krisis kepercayaan rakyat yang serius.

Mengulas 'perubahan' baru dalam BN itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga yakin ianya tidak membantu BN memulihkan semula imej mereka.

"Itu bermakna bahawa BN telah mengaku parti-parti komponen mereka termasuk Umno, berdepan dengan krisis kepercayaan dari pelbagai kaum khususnya generasi muda," katanya kepada Harakahdaily semalam.

Beliau mengulas demikian berdasarkan pandangan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah, yang mendakwa perubahan itu bagi membolehkan pertubuhan atau individu yang tidak suka kepada parti komponen BN, menyertai BN sebagai ahli bersekutu.

Namun katanya, adalah mustahil jika satu pihak itu tidak menyukai mana-mana komponen BN, akan menjadi ahli bersekutu BN.

"Sebab dia tak suka pemimpin Umno, bagaimana dia nak sertai BN yang Umno sendiri terajui.

"Kalau dia tak suka Chua Soi Lek, macam mana dia nak masuk BN sedangkan dia tahu Chua ada dalam tu," katanya.

Selain itu, beliau juga tidak melihat perkara tersebut satu ancaman kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada PAS.

Ini kerana, NGO atau individu yang mahu menyertai BN sememangnya menyokong parti itu dari asal, dan bukan pertambahan sokongan baru kepada BN.

"Kita tengok Tan Sri Rozali Ismail bila dia menyertai BN, dia tu Umno dah, bukan pertambahan baru pada BN," tambahnya mengulas pengumuman Rozali membawa Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) menyertai BN.

"Ini tidak tambah kekuatan BN, dan tidak mengurangkan kekuatan Pakatan," katanya.

Memohon Maaf - Lama Tidak di Update

Kami dari MTD Benut memohon kemaafan kerana tidak mengemaskini segala program-program yang berlaku di Dun Benut.Insyallah selepas ini blog ini akan sentiasa di kemaskinikan.