Jumaat, 24 April 2009

Kekal ADUN: Fairus serah pada PKR, Speaker kata tak boleh patah balik

PETALING JAYA: Dilihat sebagai perkembangan mengejutkan, bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin menyerahkan kepada pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung soal sama ada perlu kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti ataupun sebaliknya.

"Saya menyerahkan kepada pucuk kepimpinan untuk menentukan (sama ada tarik balik surat ataupun sebaliknya)," kata Fairus yang ditanya sama ada beliau bersedia untuk menarik balik keputusannya untuk melepaskan kedudukan sebagai ADUN Penanti.

Ketika ditanya sama ada reaksi itu bermakna beliau bersedia untuk kembali kekal sebagai wakil rakyat kerusi berkenaan, Fairus mengulangi bahawa "saya menyerahkan kepada pucuk kepimpinan."

Dan, apabila ditanya sama ada masih ada ruang untuk kembali menarik balik keputusannya melepaskan jawatan ADUN, Fairus sekali lagi menekankan beliau menyerahkan kepada PKR untuk menentukan.

Malah beliau juga berkata bahawa bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan kepimpinan PKR berhubung perkara tersebut dalam waktu terdekat.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut bila pertemuan itu akan diadakan.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Abdul Halim Hussin hari ini berkata, Fairus tidak boleh menarik semula surat peletakan jawatannya sebagai ADUN Penanti.

Ini kerana surat letak jawatan Fairus yang dihantar kepada beliau turut disertakan dengan surat akuan bersumpah yang menyatakan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang 1 itu ingin meletak jawatan sebagai ADUN Penanti kerana mahu menyambung pelajaran.

"Daripada segi perundangan, beliau tidak boleh menarik semula peletakan jawatannya sebagai ADUN kerana surat peletakan itu disertai dengan pengakuan bersumpah.

"Bila sudah buat perakuan bersumpah, ia memang sudah jelas (meletak jawatan).

"Kita juga sudah menghantar surat kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) memaklumkan kekosongan kerusi DUN itu.

"Jadi tidak timbul soal untuk menarik semula surat peletakan jawatan itu," katanya.

Perkembangan itu dilihat kemungkinan berlaku ekoran keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah memutuskan keterangan yang diperolehnya berhubung siasatan terhadap Fairus tidak mempunyai asas untuk mendakwanya.

Keputusan itu dibuat setelah SPRM meneliti kes itu dengan mendalam dan mengambil kira keseluruhan keterangan yang terdapat dalam siasatan itu.

SPR bakal mengadakan pilihan raya kecil berikutan Fairus, 33, meletakkan jawatan pada 16 April lalu dengan alasan untuk membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

SPR sepatutnya mengumumkan tarikh pilihan raya hari ini tetapi ditunda sehingag Isnin ini..(sumber-Mstar)

Jumaat, 17 April 2009

Anwar Dicalon Antara 100 Tokoh Paling Berpengaruh Dunia 2009

Majalah antarabangsa Time sekali lagi mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai antara 100 orang tokoh paling berpengaruh dunia untuk tahun 2009. Pada tahun lalu, Anwar diiktiraf sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam kategori Pemimpin & Revolusioner sebaris dengan Barack Obama, Hillary Clinton, Dalai Lama dan Vladimir Putin.

Sekiranya anda ingin memilih calon tokoh berpengaruh dunia untuk tahun 2009, anda boleh layari pautan di bawah:

The 2009 TIME 100 Finalists

PEJABAT DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Pilihan raya kecil: SPR mahu hadkan kehadiran penyokong

SUASANA pada hari penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 16 Ogos 2008. Persekitaran tegang termasuk kehadiran beribu-ribu penyokong berakhir dengan serangan terhadap dua wartawan.

PETALING JAYA: Jika selama ini hari penamaan calon dan hari pengundian berwajahkan seolah-olah pesta atau keramaian, persekitaran ketika tiga pilihan kecil serentak baru-baru ini nampaknya yang terakhir dalam sejarah pilihan raya negara ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang memikirkan kaedah untuk mengehadkan bilangan kehadiran penyokong ketika hari penamaan calon, semasa pengundian dan lokasi pengumuman keputusan rasmi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengesahkan yang pihaknya sedang memikirkan perkara tersebut dan akan dibincangkan secara mendalam Rabu depan.

Kata beliau, perbincangan juga akan diadakan dengan parti-parti politik bagi mendapatkan pandangan dan kerjasama apabila pendekatan itu dikuatkuasakan kelak.

"Pendekatan baru ini akan dibincangkan pada Rabu depan," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.

"Pendekatan baru ini bertujuan mengehadkan kehadiran penyokong parti-parti politik yang bertanding," katanya lagi.

Menurut beliau, makin lama makin ramai yang datang ketika hari penamaan calon dan hari pengundian.

"Jumlah yang datang semakin meningkat dari satu pilihan raya ke satu pilihan raya lain... adalah ini sesuatu yang perlu, ini dilakukan untuk menunjukkan kekuatan parti politik masing-masing," kata beliau sambil menambah, "bagaimana hendak mengawal jika jumlah yang datang sampai 100,000 atau 200,000."

Sejak pilihan raya umum ke-12 Mac 2008, negara telah menyaksikan lima pilihan raya kecil iaitu Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Suasana tegang disaksikan pada hari penamaan calon di Permatang Pauh dan Bukit Gantang.

Malah kehadiran ribuan penyokong juga menyebabkan kesesakan lalu lintas pada hari pengundian selain 'perang mulut' di kalangan peraih undi yang kebanyakannya merupakan orang luar.

Abdul Aziz menjelaskan, perbincangan akan diadakan dengan parti-parti politik sejurus selepas perbincangan peringkat SPR selesai.

Rabu depan SPR akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti.

Jelas beliau, mesyuarat tersebut akan turut mencari jalan untuk mengelak terlalu ramai penyokong parti menjadi peraih undi pada hari pengundian.

Selain pada hari penamaan calon, menurut beliau, soal peraih undi ini perlu diteliti kerana pengalaman pada pilihan raya kecil 7 April lalu menunjukkan bilangan peraih undi yang terlalu ramai telah menimbulkan masalah seperti mengganggu pengundi dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas di pusat pengundian.

Malah, di kawasan Parlimen Bukit Gantang pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan ketegangan antara penyokong BN dan Pakatan Rakyat.

Kata Abdul Aziz, bilangan peraih undi yang ramai pada hari pengundian turut menyukarkan pihak polis untuk mengawal keselamatan orang ramai.

SPR akan mengumumkan pada Jumaat depan sama ada DUN Penanti akan menyaksikan pilihan raya kecil ataupun sebaliknya.

Kerusi itu kosong ekoran tindakan Fairus, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat, turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan ADUN.

Penceramah Veteran PAS Negeri Sembilan, Ust Ali Napiah meninggal

Wan Nordin Wan Yaacob Fri Apr 17, 09 12:33:48 pm MYT
KUALA LUMPUR, 17 April (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar memaklumkan tokoh penceramah PAS negeri, Ustaz Mohd Ali Napiah telah meninggal dunia malam tadi.

Allahyarham Ustaz Ali Napiah meninggal di Hospital Kuala Pilah pada jam 9.30 malam tadi.
Almarhum Ustaz Ali Napiah salah seorang penceramah veteran tempatan serta Ahli Dewan Ulama PAS Negeri Sembilan.
Jenazahnya akan dikebumikan selepas solat Jumaat d Tanah Perkuburan, Palong 1, Gemas, Negeri Sembilan.

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Ustaz Ali Napiah dan ditempatkan bersama roh orang-orang soleh dan roh para syuhada. Al-fatihah," katanya.

( Kami Dari Mtd Benut mengucapkan Takziah kepada keluarga beliau.Pemergian beliau amat kami rasai bagi Mtd Benut kerana beliau kerap hadir ke Mtd Benut untuk menyampaikan kuliah-kuliah bulanan nya.Semoga roh akan ditempatkan bersama-sama orang yang beriman dan syuhadah. )

Ahad, 12 April 2009

CERAMAH UMUM

Bersama :
1 ) Ustaz NorAzli Musa @ Ustaz Taliban
- Ketua Pemuda Pas Perak

2 ) Shamsudin Jaafar
- Ketua Pusat Khidmat Masyarakat Dun Pulai Sebatang

Bertempat / Masa :
Pekan Sanglang , 6/05/2009 Rabu 9.00pm

Sekitar Program Ceramah Chegubard dan Hassan Karim

Sesi bergambar bersama Pemuda Pas Pontian,YDP,Hassan karim dan Chegubard

Rakyat yang tekun mendengar ucapan pemimpin Pakatan Rakyat yang kehausan maklumat

Ucapan Chegubard yang amat mantap sekali..terima kasih cikgu kerana sudi hadir ke program kami.

-Alhamdulillah program malam tadi berjalan lancar..hampir 300-400 orang yang hadir untuk mendengar ucapan pemimpin pakatan rakyat.Hanya platfrom ini sahaja lah yang ada.Ucapan dan huraian yang amat mantap malam itu.Kubu kuat UMNO telah digempur malam tadi.Insyallah banyak lagi program yang akan diadakan sepanjang bulan 5 ini....

Vokalis kumpulan Arrow sertai PAS, Amy Search cuma perhati

Salmah Mat Husain / Foto: Rizal Tahir
Sun | Apr 12, 09 | 12:21:05 pm MYT

KOTA BHARU, 12 April (Hrkh) - Sempena program yang bertemakan 'Jom Sertai PAS', vokalis kumpulan rock Arrow, Renggo atau nama sebenarnya Mohd Zin Ramli, 40 telah membut kejutan apabila secarah sah menyertai PAS.

Beliau menyerahkan sendiri borang keahlian itu kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri di atas pentas sebelum majlis berkenaan berakhir tengah hari semalam.

Turut menyaksikan majlis yang penuh bersejarah lagi ceria itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato' Ahmad Yaacob, anggota exco kerajaan negeri Haji Abdul Fatah Mahmood, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah di samping beberapa orang pimpinan peringkat parti.

Renggo yang berasal dari Tanah Merah Kelantan juga terkenal dengan jolokan raja syahdu adalah antara 50 orang golongan belia lain yang turut menyertai PAS sempena majlis yang julung kali pernah diadakan di peringkat negeri itu anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri.

Menurutnya, beliau bersedia menyertai parti Islam itu setelah tertarik dengan ucapan Tuan Guru ketika merasmikan majlis berkenaan, walaupun ringkas namun padat serta berisi dengan mesej yang baik.

Beliau yang tidak pernah mendengar ceramah agama dari pimpinan PAS sebelum ini, mengakui ucapan Tuan Guru cukup meresap dalam jiwanya.

Beliau hadir pada majlis itu hari ini bersama artis lagenda kumpulan rock, Amy Search sempena majlis Himpunan Belia Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bagaimanapun Amy Search yang menjadikan Tuan Guru sebagai 'idolanya' belum berbuat demikian.

Katanya, untuk ketika ini beliau ingin kekal imejnya sebagai seorang penyanyi rock dengan tidak menyertai mana-mana parti politik.

ImageKatanya, pergerakannya dilihat secara halus oleh peminatnya sendiri, jadi untuk ketika ini beliau ingin berdiri sebagaimana artis biasa.

"Namun pada masa hadapan saya belum dapat tentukan lagi keadaan saya, jika itu (sertai PAS) kehendak Allah tidak mustahil saya akan berbuat demikian," ujarnya.

Sambungnya, beliau bersedia menerima undangan Dewan Pemuda PAS Negeri atas dasar tanggungjawabnya tanpa melihat risiko pada masa hadapan, kerana beliau tidak pernah memikirkan soal itu.

"Tidak perlu fikir soal risiko sebab kedatangan saya ke sini langsung tidak pernah saya fikir ianya suatu risiko bahkan saya sebagai artis berhak ke mana-mana untuk tujuan yang baik dan untuk bersama peminat," ujarnya lagi.

Namun bagi Amy jemputan menghadiri program tersebut merupakan suatu rezeki Allah yang tidak ternilai, apa lagi dapat membuat persembahan di hadapan Tuan Guru.

Amy ketika berucap pada majlis itu turut menceritakan saat mula beliau bertemu dengan Tuan Guru yang turut hadir ke restorennya Cheng Ho di Kuala Lumpur.

Selepas itu bertemu lagi di tanah suci Mekah selepas tiga hari berada di sana untuk menunaikan umrah.

Peminat kedua-dua artis rock itu tidak melepaskan peluang untuk melihat Amy dan Renggo dari dekat di samping untuk bersalaman sehingga memaksa pengawal keselamatan bertindak untuk menjaga keselamatan Amy untuk menaiki kereta selepas majlis berakhir.

Sabtu, 11 April 2009

Mesej jelas, tegas dari Bukit Gantang

Ahmad Lutfi Othman

Sesungguhnya ia bukan sekadar kemenangan berganda (sebenarnya di Semenanjung sudah 4-0, bermula Permatang Pauh, Kuala Terengganu, seterusnya Bukit Gantang dan Bukit Selambau), tetapi kejayaan Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dalam pilihan raya kecil semalam, 7 April, lebih terasa manis dan lazatnya.
Memang cukup mendebarkan. Ya, persaingan yang sengit dan sukar diramal. Malah lebih ramai menjangkakan Nizar bakal kecundang ekoran tidak mendapat sokongan majoriti pengundi Melayu. Isu-isu seperti tohmahan menjadi "boneka DAP" dan "sembah derhaka" dibimbangi berjaya mempengaruhi pengundi untuk kembali menyokong BN. Tidak sedikit teman-teman yang turun berkempen di Bukit Gantang meluahkan rasa curiga terhadap kemampuan Nizar untuk memenangi hati pengundi Melayu.

"Ada kawasan Melayu yang kita langsung tak dapat masuk untuk berkempen. Malah, banyak rumah yang menaikkan bendera Umno dan BN. Jentera BN juga agak agresif berkempen," lapor wartawan Harakah Perak. "Tak ramai orang yang hadir dalam program ceramah kita, kadang-kadang hanya sekitar 50 orangdalam program melibatkan pimpinan tertinggi," tambahnya lagi.

Di samping itu, kehadiran Dr Mahathir Mohamad di hari akhir kempen pula dikatakan boleh menyebabkan pengundi bukan Melayu memikirkan semula sokongan terhadap calon Pakatan Rakyat. Tidak kurang juga yang membayangkan "situasi terburuk" jika ada pengundi yang terpengaruh dengan beberapa langkah awal Dato' Seri Najib Razak, yang baru empat hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Saya pula memang tidak suka meletakkan harapan tinggi kepada sesuatu impian bimbang kecewa akhirnya.

Dibandingkan dengan debar pilihan raya kecil Kuala Terengganu, saya kira Bukit Gantang lebih mencemaskan lagi. Pertama, ia kerusi yang PAS pertahankan, di kawasan yang selama ini kubu tradisi Umno. Kedua, sejak awal kita sudah isytiharkan keputusannya nanti melambangkan referendum seluruh rakyat Perak terhadap krisis politik dan perlembagaan yang tercetus awal Februari lalu. Tidak dapat saya bayangkan apa akan terjadi sekiranya Nizar dikalahkan, seolah-olah ini pertandingan hidup atau mati.

Pendek kata, jika berjumpa sepuluh orang yang balik berkempen dari Bukit Gantang, atau sekadar membuat tinjauan rambang di sana, lebih separuh daripadanya tidak meletakkan harapan tinggi PAS dapat mengekalkan kerusi berkenaan. "Saya hanya menyandarkan impian kepada ketokohan Nizar semata-mata, dari sudut lain, terutama kepada pengundi Melayu, saya benar-benar bimbang," kata seorang kawan.

"Bukankah semasa penamaan calon baru-baru ini, jumlah penyokong Pakatan jauh lebih ramai," saya cuba menduganya. "Itulah masalahnya, kita sudah melepasi kemuncak. Selepas hari penamaan calon, 29 Mac, kita terus merosot," reaksi pantas kawan saya itu menambahkan lagi kerisauan.

"Saya pula tak pasti apakah Nizar kini menjadi asset atau liabiliti kepada kita di Bukit Gantang. Tuduhan dia boneka DAP atau jual tanah kepada orang Cina menyebabkan pengundi Melayu meraguinya," kata seorang lagi kawan yang agak mengejutkan kami.

"Kalau setakat dua isu itu, tak payah susah hatilah, kita ada fakta konkrit yang cukup untuk menyanggahnya," saya pula cuba mententeramkan hati mereka Imagedan sekali gus menenangkan gelodak rasa saya sendiri. "Ini bukan soal fakta, ini soal sentimen dan persepsi," balas seorang daripada mereka.

Rupanya kadang-kadang kita sendiri terkeliru untuk membaca realiti sebenar di lapangan. Pengamat politik juga boleh tersilau sehingga membuat rumusan yang agak terpesong, sedangkan para pengundi, khususnya generasi di bawah 50 tahun, sudah melangkah ke dunia politik baru. Emosi mereka tidak mudah lagi dipancing dengan sentimen perkauman atau dakyah politik lama yang dangkal dan hodoh itu.

Apatah lagi sosok tubuh Nizar yang karismatik dan kini menjadi ikon baru itu sudah cukup untuk mematikan segala tohmahan tidak berasas, sebaliknya menyuntik keyakinan baru yang luar biasa kesannya kepada rakyat Perak. Ketokohan Nizar sudah melangkah melampaui sempadan negeri dan bersedia untuk menawan hati audien yang lebih luas di seluruh pelosok negara.

Kemenangan calon PAS dan KeADILan, masing-masing di Bukit Gantang dan Bukit ImageSelambau, dengan majoriti lebih besar, pastinya membuatkan tidur Najib pada malam Selasa lalu terganggu. Ia satu mesej jelas penolakan akar umbi terhadap kepimpinan beliau yang cuba untuk melakukan kejutan dengan beberapa pembaharuan kosmetik pada hari pertama dinobatkan sebagai Perdana Menteri keenam.

Membebaskan 13 tahanan ISA (dan terus mengurung tahanan yang lebih lama tersiksa di Kamunting) serta menarik balik penggantungan penerbitan Harakah dan Suara Keadilan (serta mengekalkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, juga peraturan karut-marut yang dikenakan ke atas semua lidah rasmi parti) jelas tidak berupaya untuk mengelirukan rakyat yang semakin benci dan muak dengan pendekatan politik lama.

Bukankah orang masih ingat, itulah juga yang dilakukan Dr Mahathir ketika mula-mula dilantik menjadi perdana menteri; membebaskan tahanan ISA dan melakonkan beberapa adegan yang menunjukkan sikap terbukanya? Tindakan Najib hanya memperkukuhkan tanggapan umum bahawa era Mahathirisme seolah-olah sekali lagi bakal mencengkam tanahair tercinta.

Apa pun telahan yang dibuat, senario politik Malaysia selepas tsunami pertama pada Mac 2008 menjadi semakin menarik, walapun kadang-kadang sukar dijangka. Ia tidak mungkin berpatah balik ke era lama, seperti yang cuba diusahakan Dr Mahathir. Pilihan Najib semakin terbatas. Peluangnya untuk mewariskan takhta di Seri Perdana kepada pemimpin Umno-BN nampak tipis jika Najib dan Umno sukar untuk berubah. Ya, berubah secara menyeluruh dengan menanggalkan terus budaya politik lama. Dan terpulang kepada pemimpin utama Pakatan Rakyat untuk mengisi kekosongan ini .

Ceramah Umum


Bersama ,
1) CheguBard @ Badrul Hisham Shahrin
( MT PKR Pusat )
2) Hassan Karim
( Presiden PRM Pusat )

Bertempat dan Masa ,
Jalan Tampok Darat , Kg Pt Stan , Benut, Pontian.
11/04/2009 , Sabtu 9.00Pm